PROLOG

148 7 0
                                        


SORAKAN dan tepukan gemuruh semua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi menggamatkan suasana perlawanan persahabatan antara daerah yang sedang berlangsung. Semua tingkatan pakat turun padang dan mengerumuni bagi menunjukkan sokongan yang hebat untuk wakil sekolah dalam acara bola sepak.

"Sara, nak air." Pinta Qaliff Yusuf pada Qisha Qaisara yang setia menanti di tepi padang.

Qisha Qaisara merenung sebentar wajah Qaliff Yusuf yang basah dek peluh sebelum menghulur sebotol air mineral.

Lelaki itu memang bijak menempah nama sejak dari sekolah rendah lagi. Pelbagai jenis kompetensi atau sukan pertandingan yang dianjur pihak sekolah, dia pasti akan turut serta. Maka tak heran jika badannya fit dan ideal kerana rajin berolah raga.

Selain menjadi kesayangan para guru kerana aktif menaikkan nama sekolah, dia juga antara pelajar yang popular dalam kalangan murid. Sudahlah ada rupa, aktif bersukan, malah tak kurang pandai dalam pelajaran akademik. Dalam kata lain, pakej lengkap orang kata.

Kalau beginilah, siapa yang tidak suka? Memang beraturlah peminatnya.

Qaliff Yusuf menyambut huluran Qisha Qaisara. Dibuka pantas penutupnya lalu diteguk sehingga berbaki separuh botol, air selebihnya dijirus ke atas kepala bagi membasahkan rambut yang terasa panas dek haba dari matahari yang memancar tegak di atas kepala.

Qisha Qaisara telan air liur melihat aksi itu. Dia ni nak buat iklan jual air mineral atau sengaja tayang 'thirst trap'? Desis Qisha Qaisara dalam hati. Meminta betul!

"Aku hensem kan?" Usik Qaliff Yusuf bila Qisha Qaisara kelihatan terlalu fokus dalam menatapnya. Wajahnya sengaja didekatkan ke wajah Qisha Qaisara dengan niat hendak mengusik.

Perlakuan lepas itu mengundang debaran dan bahang di muka Qisha Qaisara tanpa dipinta, namun si pelaku hanya tersenyum menayang muka tak berdosa. Kerana rasa tak selesa dengan kedudukan yang terlalu dekat, Qisha Qaisara menjarakkan sedikit tubuhnya dengan mengundur ke belakang.

"Eh, tak kuasalah! Kau jangan nak perasan lebih." Tukas Qisha Qaisara. Mencebik dia bila si rakan tanpa segan silu masuk bakul angkat sendiri. Memang meluat jika tahap keyakinan diri lelaki itu sudah sampai ke tahap perah santan, tapi kalau boleh jujur Qaliff Yusuf memang seorang yang berupa dan ada gaya. Hanya saja, dia tak mahu memberi makan pada hati dan perasaan yang meminta. Takut yang ada, malah dia yang jatuh ke dalam lubang kecewa.

Qaliff Yusuf ketawa dengan reaksi yang diterima. Sudah terbiasa bergurau begitu dengan Qisha Qaisara yang merupakan sahabat karibnya dari tadika. Sempat dia mengenyit sebelah mata sebelum masuk semula ke dalam kawasan padang bagi meneruskan perlawanan.

Kenyitan nakal itu drastik membawa tangan Qisha Qaisara naik memegang dada. Jantung yang tugasnya mengepam darah, mula berdegup tak kena tempo. Terkedu dia sekejapan bila terpaksa menghadap sisi menggoda Qaliff Yusuf.

Kenapa?

Wahai Qaliff Yusuf yang kusayangi, tolonglah jangan begini jika kau tiada hati. Takut kalau aku sudah terjatuh nanti, malah kau yang akan menjauh pergi. Sungguh aku sayangkan persahabatan ini, tapi isi hati seakan tak mampu membohongi

Penantian Yang BersisaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang