PETANG itu seperti yang dirancang, Qaliff Yusuf dan Yasmin Rania berjumpa di tepi pokok tua yang sudah mati di belakang sekolah. Tujuannya hanya satu, ingin jujur soal rasa hati yang sudah lama berputik dalam diri."Jadi, ada apa awak nak jumpa saya?" Soal Yasmin Rania tertanya-tanya. Selepas waktu rehat, Qaliff Yusuf ada berpesan supaya menunggunya sebelum pulang. Ada hal yang mahu dibicarakan katanya.
"Err... sa... saya sebenarnya suka awak Nia." Luah Qaliff Yusuf. Sedikit menunduk kerana malu.
Yasmin Rania terpempan. Tak sangka Qaliff Yusuf bakal meluahkan perasaan di hari-hari akhir mereka bersua. Sudah tentu gembira tak terkata bila lelaki yang ditaruh hati turut punya perasaan yang sama sepertinya.
Tapi bagaimana dengan Puan Humaira? Adakah keluarga Qaliff Yusuf bakal menerima dia seperti mereka menerima Qisha Qaisara? Atau dia bakal dibanding-bandingkan?
Oh tidak! Itu adalah mimpi ngeri setiap perempuan. Teringat akan hal itu, Yasmin Rania jadi takut mahu serius dengan hubungan ini.
"Qaliff,"
"Ya?"
"Maaf, saya tak boleh terima."
"Tapi kenapa? Bukan ke awak ada perasaan yang sama pada saya?" Bentak Qaliff Yusuf tidak berpuas hati dengan penolakan yang diterima. Dia sebenarnya sudah tahu yang gadis itu turut menyimpan perasaan yang sama, cuma mereka tiada masa yang tepat untuk meluahkannya. Tapi kenapa sekarang, dia malah ditolak buta-buta?
Yasmin Rania senyap buat seketika. Wajah Qaliff Yusuf dipandang hiba. Secara jujurnya, memang dia bahagia bila mendapat ayat cinta dari insan yang dipuja, namun apakan daya... keluarga lelaki itu sudah ada pilihan mereka.
Puan Humaira acap kali menyebut ingin menjadikan Qisha Qaisara sebagai menantu padanya, tak akan tiba-tiba dia mahu datang dan diperkenalkan sebagai pilihan si anak teruna?
Tidakkah Puan Humaira bakal salah sangka atau janggal terhadapnya. Ditambah pula, Qisha Qaisara merupakan rakannya dan dia tahu soal rasa hati gadis itu. Itu pun kerana dia pernah terdengar perbualan antara Qisha Qaisara dan Deeja tanpa sengaja. Kendatipun dia sangat berbesar hati menerima lamaran Qaliff Yusuf untuk menjadi kekasihnya, namun tak patut rasanya dia menjadi penghalang, mahupun perosak hubungan sedia ada.
"Saya rasa kita patut tumpukan perhatian pada pelajaran dulu dan fokus capai cita-cita,"
Qaliff Yusuf rasa ingin menjerit dengan jawapan Yasmin Rania. Qisha Qaisara betul, jawapan mereka berdua sama. Ah! Terasa bodoh dan terdesak pula bila menghampar seluruh jiwa raga pada satu rasa yang entah berakhir di mana.
"Jangan risau, kalau berjodoh pasti tak ke mana. Saya masih di sini, menanti sampai kita masing-masing bersedia untuk bersatu." Pujuk Yasmin Rania meyakinkan Qaliff Yusuf bahawa dia bukannya sengaja.

ANDA SEDANG MEMBACA
Penantian Yang Bersisa
RomanceBerkawan tak semestinya bercinta, rapat tak bermakna saling suka. Begitu jugalah ceritera Qisha Qaisara dalam menyembunyikan sebuah rasa. Bagi dirinya, cukup mencintai si dia dalam diam tanpa ada orang yang tahu selain aku dan Tuhan. Jika ini adalah...