"LIFF, cantik kan Sara tu?" Puji Puan Humaira cuba memancing perhatian anak bujangnya yang asyik dengan telefon pintar dari tadi."Hmm."
"Umi suka dia," Tambah Puan Humaira lagi. Masih mencuba untuk mengajak si anak berbicara.
"Hmm."
"Hish! Kamu ni, umi bercakap dengan kamu ni Muhammad Qaliff Yusuf bin Hilman." Tekan Puan Humaira yang mula geram apabila mendapat respon tidak memberangsangkan.
"Iyaa... Liff dengarlah umi." Qaliff Yusuf beralah. Telefon pintar di tangan kini diletakkan di atas meja kaca, memberikan perhatian pada Puan Humaira. Risau pula tak fasal-fasal uminya merajuk dan terasa hati.
"Kan bagus kalau dia jadi menantu umi, mak ayah dia pun umi kenal." Kata Puan Humaira dengan ceria bersama senyum anganan.
"Merepeklah umi ni."
"Eh, apa pula yang merepeknya? Umi serius, Umi suka si Sara tu. Baik, sederhana, lemah lembut, pandai, cantik pula tu. Lagipun kan kamu dah kenal lama dengan dia, apa salahnya ke peringkat yang seterusnya?" Berbakul-bakul pujian diberikan oleh Puan Humaira buat si gadis pilihan.
"Lemah lembut? Umi tak tengok dia karate Liff masa sekolah dulu." Cerita Qaliff Yusuf dengan tawa kecil. Kepalanya digeleng perlahan pabila teringat kenangan lucu zaman sekolah menengah.
"Itu kan dulu, masa sekolah. Budak-budak... memanglah. Sekarang dah besar, dah lain."
"Umi ni... pantang nampak yang elok sikit, semua nak dijadikan menantu. Kalau ramai sangat pilihan umi tu, haa pilih terus empat. Untunglah Liff dapat berpoligami." Canda Qaliff Yusuf bersama sengihan gatal.
Puan Humaira mencebik dia mendengar gurauan yang dilempar. "E'eh budak ini. Kita cakapkan, ada aje dia nak melawan."
Terhambur tawa Qaliff Yusuf melihat riak wajah Puan Humaira. Geli hati dapat mengenakan uminya. Itulah, suka sangat mengkenen-kenenkan. Lebih baik uminya buka sahaja servis mencari jodoh, dapat juga duit dari hobinya yang suka mengganding-gandingkan orang itu.
"Abang, abang setuju tak kalau Sara tu jadi menantu kita?" Kini, Encik Hilman pula ditarik masuk ke dalam perbualan ini.
"Abang tak kisah, apa-apa yang baiklah Maira. Kalau Liff boleh terima, saya pun terima. Tapi kalau dah tuan punya badan sendiri tak mahu, tak akanlah kita nak paksa." Balas Encik Hilman tenang dan rasional.
"Betul, Liff sangat setuju dengan walid. Bagilah Liff ruang, sampai masa nanti Liff bawalah balik jodoh Liff, menantu umi. Umi jangan risau-risau, jangan pening-pening fikir untuk Liff ya? Pandailah Liff cari sendiri nanti. Okaylah, Liff naik dulu. Night umi, walid." Ujar Qaliff Yusuf lantas bingkas bangun dari sofa dan meninggalkan ruang itu.
Malas dia mahu berlama-lama disitu, mendengar bebelan uminya soal jodoh. Asal ada yang berkenan sikit, semua hendak dijodohkan dengannya. Dia tidak mahu begitu. Paling tidak bagilah dia ruang untuk saling mengenali. Ini tidak, terus mahu dijodohkan.
"Itulah awak, jangan dipaksa budak itu. Pandailah dia nanti."
"Saya bukan apa bang, saya risau. Anak kita tu ada rupa, berpendidikan, berharta lagi tu. Mesti ramai perempuan kat luar sana yang tunggu masa nak cucuk jarum. Saya ni perempuan, saya taulah apa yang dia orang fikir bang."
"Macam awak cakap, Qaliff tu berpendidikan. Tahulah dia bezakan mana yang baik, mana yang buruk."
"Eh, awak apa tahu? Cinta ni bahaya tau... sekali dia menyengat, orang yang sihat walafiat pun boleh sakit, pekak, tuli dan buta." Tukas Puan Humaira tidak bersetuju dengan suaminya.
"Amboi... jauh sangat Puan Humaira kita ni berfikir. Daripada awak overthinking pasal anak awak tu, lebih baik awak layan suami awak ni. Lagi bagus, dapat pahala pula tu."
"Hishh abang ni, saya cakap benda betullah."
"Iyaa... saya tahu. Tepat masanya nanti, tahulah dia mana yang terbaik. Kita doa saja yang baik-baik." Nasihat Tuan Hilman yang tidak mahu isterinya terlampau mengatur hidup anak terunanya. Dia faham perasaan si anak apabila terlalu didesak begitu.
"Hmm iyalah bang. Ohh by the way, dekat syarikat kita tu tak ada jawatan kosong ke bang?"
"Saya tak pasti, kena cek dengan HR balik. Tapi rasanya tak ada, kenapa awak tanya?"
"Sara, tengah cari kerja. Saya ingat kalau ada jawatan kosong dekat pejabat tu, apa salahnya dia kerja dengan kita ya tak? Kalau ada rezeki, Qaliff dengan Sara boleh rapat macam dulu balik. Ada peluanglah kita nak berbesan dengan Hazira dan Nazri."
Encik Hilman menggeleng dengan senyum nipis. Tinggi betul harapan isterinya ingin bermenantukan budak Sara tu. Tapi memang tidak dinafikan, gadis itu cukup serba serbinya. Memang elok sangat ingin dijadikan calon menantu.

ANDA SEDANG MEMBACA
Penantian Yang Bersisa
RomanceBerkawan tak semestinya bercinta, rapat tak bermakna saling suka. Begitu jugalah ceritera Qisha Qaisara dalam menyembunyikan sebuah rasa. Bagi dirinya, cukup mencintai si dia dalam diam tanpa ada orang yang tahu selain aku dan Tuhan. Jika ini adalah...