MAJLIS sudah tamat setengah jam yang lepas, tapi ruang tamu banglo sederhana mewah kepunyaan Encik Hilman dan Puan Humaira masih gamat dihiasi gelak tawa dan gurau senda. Meski jarum jam sudah menginjak ke pukul 10 malam, Encik Hilman dan Encik Nazri masih ralit menyembang."Dah besar anak-anak kita ya, Naz." Ujar Encik Hilman dengan nada tidak percaya. Cepat benar rasanya masa berlalu.
"Itulah man... ingat lagi masa muda-muda dulu, bukan main kita berangan cadang nak satukan anak-anak kita bila mereka besar."
"Apa pulak angan-angannya Nazri, boleh saja kita jadikan kenyataan, kan bang?" Sampuk Puan Humaira dengan senyuman penuh makna. Riba si suami yang duduk di sebelah ditepuk sekilas.
Tersedak Qisha Qaisara dengan air liur sendiri. Satukan? Anak-anak?
"Kalau tuan badan setuju, kami tiada halangan." Balas Encik Nazri dengan disusuli dengan anggukan Puan Hazira mengiakan bicara suaminya. Kedua pasangan veteran itu galak berbual sesama sendiri tanpa mengetahui kecanggungan menimpa anak-anak mereka yang turut sama mendengar perbualan itu.
"Sara study Admin kan? Kerja mana sekarang?" Tanya Puan Humaira sekadar beramah mesra. Dari tadi dilihat Qisha Qaisara hanya diam sahaja, jadi dia sengaja menarik gadis itu ke dalam perbualan.
"Ha'ah umi, err... Sara tak mula kerja lagi. Ni pun tengah cari-cari lagi." Qisha Qaisara membalas dengan sopan.
"Bulan lepas baru lepas graduate, tengah cari-cari lagi tu. Biasalah Mai, sekarang kerja yang bagus dengan gaji yang berpatutan payah nak jumpa." Ujar Puan Hazira tolong menjawabkan bagi pihak anaknya.
"Ohh tak apa, tak apa. Nanti umi cuba tanya kenalan umi, mana tahu kut mereka ada nak pakai orang."
Qisha Qaisara hanya tersengih kelat. Mahu ditolak nanti dikatakan sombong, mahu menerima pula terasa kerdil dan malu. Sudahlah Qaliff Yusuf yang duduk bertentangan dengannya asyik merenung serupa nak tembus badan. Mana tak gugup jantung Qisha Qaisara jika pandangan lelaki itu sedari tadi lagi tertancap padanya.

ANDA SEDANG MEMBACA
Penantian Yang Bersisa
RomansaBerkawan tak semestinya bercinta, rapat tak bermakna saling suka. Begitu jugalah ceritera Qisha Qaisara dalam menyembunyikan sebuah rasa. Bagi dirinya, cukup mencintai si dia dalam diam tanpa ada orang yang tahu selain aku dan Tuhan. Jika ini adalah...