BAB 17

76 5 0
                                    


TELEFON pintar yang sedang dicas itu dicapai dan dibuka layar skrin. Melihatkan takat bateri yang lumayan penuh, lantas dicabut wayar USBnya.

Aplikasi WhatsApp dibuka. Terdapat satu panggilan tak berjawab dari Deeja. Tanpa menunggu lama, ikon panggilan video ditekan. Tidak sampai beberapa saat, wajah Deeja menghiasi ruang mata.

"Halu, halu, what's up babe?" Ceria Deeja menyapa.

"Assalamualaikum." Qisha Qaisara memberi salam dan hal itu membuatkan Deeja memutar bola matanya ke atas, sedar sedang disindir.

Qisha Qaisara gelak kecil dengan ekspresi yang diterima. Mana taknya, sudah serupa mat salleh pula duk berhalu halu, memang kena tegurlah cerita dia.

"Ah! Apa-apalah. So how? Macam mana kerja sebumbung dengan 'best friend'?" Deeja menyoal disusuli hilai tawa. Perkataan 'best friend' itu sengaja ditekan kuat.

"Kau tak payah nak perli akulah, Deeja. Salam tak ada, apa tak ada, terus langgar pagar rumah orang ya kau. Cubalah tanya pasal aku ni dulu. Sihat ke tidak? Dah makan ke belum? Tengah buat apa?" Bebel Qisha Qaisara kurang berkenan dengan sikap kepoh Deeja. Sibuk sangat mahu mengorek rahsia, sampaikan aku yang sudah lama tidak bersua empat mata dengannya pun langsung tak dihirau. Gosip pula yang lebih diutamakan.

"Fasal kau tak perlu tanya, aku dah tahu."

Mendengarkan jawapan si rakan, Qisha Qaisara mencebik.

"Cepatlah cerita." Gesa Deeja tidak sabar.

Ewah minah ni, macam dia pula yang suka pada Qaliff Yusuf. Gelojoh yang amat! Komen Qisha Qaisara dalam hati.

"Tak ada apa yang menarik pun untuk diceritakan. Aku kerja bawah dia, jadi pembantu peribadi. Itu saja." Terang Qisha Qaisara malas berharap lebih.

"Tapi kan... instinct aku mengatakan jodoh kau dengan dia kuatlah, Sara."

Qisha Qaisara menepuk dahi. Ini lagi sorang. Balik-balik topik yang sama. Entah kenapa, suka benar orang-orang di sekelilingnya menghasut supaya dia memasang angan-angan mat jenin yang tinggi melangit.

Dia ini sedang hidup di dunia yang nyata. Bukannya kisah di dalam novel atau drama yang diadaptasi. Qaliff Yusuf itu tiada hati pun dengannya, bagaimana mereka mahu bersama?

"Kau jangan nak merepeklah, itu semua jauh panggang dari api." Cepat saja Qisha Qaisara memangkah kata-kata sahabatnya.

"Ah! Engkau tu, semua yang aku cakap kau mana nak percaya. Cubalah kau dengar cakap aku ni. Jodoh tu memang dah ditetapkan. Tapi kalau kita tak ada usaha, celah mana dia nak datang bergolek." Omel Deeja panjang lebar.

"Aku bukan apa, aku cuma tak nak terlalu berharap. Kalau ada jodoh, adalah. Kalau tak ada, tak apa. Aku takut kalau aku terlampau taruh harapan dan kesudahannya tak macam apa yang aku bayangkan, nanti aku sendiri yang sakit." Luah Qisha Qaisara sayu.

Bukan sengaja mengunci rahsia hati yang berkobar dalam mencinta, tapi takut jatuh ke bentala tiada yang menyambutnya. Berangan dan menjujung hasrat setinggi jumantara memang mengujakan, tapi tidak bila terungkapnya segala kebenaran.

"Hmm... ya lah, betul juga." Ujar Deeja perlahan.

Mendengarkan nada Qisha Qaisara yang sudah berubah keruh, pantas Deeja menukar hala topik perbualan. Serba salah pula dia jadinya kerana membawa perbualan mereka ke arah ini.

Tidak mahu suasana terus diselubungi aura pilu, Deeja mula bercerita tentang kisah lucunya. Mereka kemudian menghabiskan masa hampir satu jam berbual dan bertanya khabar antara satu sama lain sebelum masing-masing mengundurkan diri kerana mahu beradu. Enggan berlama-lama, kerana harus diingat masing-masing sudah bekerja. Jika terlambat bangun keesokan harinya, buat naya saja.

Sebelum menutup panggilan, sempat Deeja meminta maaf. Mulai detik itu, dia nekad tak mahu lagi keterlaluan dalam memberi pendapat. Dia juga tak mahu mendesak atau bercakap lebih soal Qaliff Yusuf. Kerana dia sendiri tidak berdiri dalam kasut Qisha Qaisara, masakan faham situasinya?

Jika mendiamkan diri dan merahsiakan rasa hati sehingga mati adalah yang terbaik, maka terpulanglah. Kendatipun tak memahami asbab di balik perlakuan Qisha Qaisara, Deeja masih tetap menghormati keputusannya. Dia sedar bahawa dia tiada hak dalam mengatur urusan hidup orang lain. Dan sebagai kawan, dia patut menyokong apa saja meski ralat kerana tak mampu berbuat apa-apa.

Penantian Yang BersisaWhere stories live. Discover now