BAB 3

64 7 0
                                    


"ASSALAMUALAIKUM." Qaliff Yusuf dan Qisha Qaisara serentak memberi salam sebelum pintu pagar kecil dibuka.

Kebiasaan hari minggu, memang Qisha Qaisara kerap bertandang ke rumah Qaliff Yusuf memandangkan Puan Humaira sendiri tidak keberatan.

Berkat persahabatan orang tua mereka, Qaliff Yusuf dan Qisha Qaisara juga berkawan dan mengenali masing-masing sejak kecil. Mungkin kerana ibu bapa mereka sudah sedia berteman, secara tidak langsung mereka berdua juga turut menjadi rapat.

"Waalaikumsalam." Sahut Puan Humaira bersama senyuman. Dia yang sedang mencantas pokok-pokok bunga di taman mininya, berhenti buat sekejapan.

"Aunty Maira!" Jerit Qisha Qaisara teruja lantas membaling beg sandangnya ke dada Qaliff Yusuf sejurus kaki melangkah masuk ke dalam perkarangan banglo milik keluarga Encik Hilman. Qisha Qaisara laju menghampiri wanita 40-an itu. Dipeluk lalu dikucup hangat kekuranya. Lagak seperti Qisha Qaisara pula adalah anak kandung kepada Puan Humaira dan bukan sebaliknya.

"Berapa kali nak cakap, panggil umi saja. Tak payah nak ber'aunty-aunty' bagai." Tukas Puan Humaira menepuk lembut lengan Qisha Qaisara. Dia lebih senang jika gadis itu memanggilnya dengan gelaran umi berbanding 'aunty', barulah kelihatan akrab.

Qaliff Yusuf sudah menjulingkan anak mata mendengarnya. "Biarlah dia panggil aunty, bukannya dia anak umi pun." Selarnya.

"Eh, biarlah. Umi yang suruh, lagipun apa salahnya? Kalau kau orang kahwin, Sara akan panggil umi juga." Balas Puan Humaira bersangkut usikan.

"Merepeklah umi ni, mana boleh kahwin dengan lelaki."

"Ish! Apa Liff ni cakap macam tu," Tegur Puan Humaira tidak berkenan dengan cara gurau anaknya.. Tak budiman langsung, juga kurang akhlaknya.

Qaliff Yusuf ketawa galak. Cebikan Qisha Qaisara mengundang seringai jahat di bibirnya.

"Betul apa Liff cakap... Sara ni bukannya perempuan umi, tapi lelaki yang terperangkap dalam badan perempuan adalah." Kutuk Qaliff Yusuf selamba. Badan yang lenguh dihempas ke sofa empuk yang berada di ruang tamu.

"Amboi, mulut kau! Kucilikan karang baru tahu." Qisha Qaisara mendecit halus. Kurang asam betul.

"Haihh... macam-macamlah kamu berdua ni. Dah, umi nak solat zohor. Liff, pergilah buat air untuk Sara ya? Umi nak masuk bilik dulu." Pamit Puan Humaira lantas menghilang ke dalam kamar tidurnya.

"Woi! Nak air apa?" Hilang saja kelibat si ibu, Qaliff Yusuf bertanya sambil bercekak pinggang menanti jawapan.

"Air love you." Canda Qisha Qaisara dengan senyum manis lalu sebelah matanya dikenyitkan. Sengaja dia mahu melihat reaksi lelaki itu.

Qaliff Yusuf agak terpempan pada mulanya namun perlahan-lahan wajahnya bertukar cemberut.

"Tak kelakarlah Sara, cepatlah."

Qisha Qaisara pura-pura ketawa, cuba menutup kesedihan hati yang terguris dek reaksi Qaliff Yusuf yang jelas tidak selesa dengan gurauannya.

"Tak payahlah, kalau kau yang buat air mesti potong kaki. Boleh kencing manis aku nanti. Biar aku saja yang buat." Tukas Qisha Qaisara. Meskipun mulut menghasilkan tawa, tapi hatinya jelas terluka. Tapi apa yang dia mahu harapkan. Tiada apa yang pantas untuk diharapkan pun. Dan dia sedar akan hal itu.

Mereka hanya sekadar teman, tidak lebih dari itu. Mengapa pula dia perlu berharap adanya lebih dari sebuah persahabatan?

Penantian Yang BersisaWhere stories live. Discover now