BAB 16

76 5 3
                                        


MATA Puan Hazira menangkap figura anak gadisnya yang baru turun ke ruang tamu memunculkan diri. Baru selesai mandi barangkali.

"Macam mana first day? Okay?" Tanya Puan Hazira membuka topik perbualan. Dalam masa yang sama, dia juga cuba untuk mengorek cerita. Semua ini kerana pelan yang dirancang bersama Puan Humaira.

"Hmm." Qisha Qaisara menjawab senada sebelum sepotong kek lapis yang terhidang di atas meja kopi dicapai dan disua ke mulut. Siaran buletin utama yang menghiasi paparan skrin televisyen ditonton tiada perasaan.

Puan Hazira bertindak menyiku lengan suaminya yang dari tadi fokus dengan paparan berita. Memberi isyarat mata agar suaminya pula yang mencuba.

"Okay tak kerja dengan Qaliff, Sara?" Kini Encik Nazri pula bertanya setelah didesak isterinya.

"Okay je, yah." Jawab Qisha Qaisara pendek. Memang semuanya baik, tiada apa yang mahu dirungutkan pun. Orang sudah menawarkan pekerjaan pun dah cukup bersyukur, inikan pula mahu mengomel itu ini.

"Kenapa mak dengan ayah pandang Sara macam tu?" Tanya Qisha Qaisara yang musykil akan renungan aneh dari kedua orang tuanya.

Melihat mereka yang berpandangan sesama sendiri, makin pelik Qisha Qaisara dibuatnya. Dah apa kena pula dengan mak ayah aku ni? Getusnya tidak mengerti.

"Tak ada apa." Nafi Puan Hazira lalu menukar topik perbualan.

"Ni, Sara nak makan nasi tak? Kalau nak makan, mak panaskan lauk." Puan Hazira sudah berura-ura mahu bangun dari duduknya dan ingin ke dapur.

"Eh, tak payahlah mak. Tak lapar pun." Tolak Qisha Qaisara tidak mahu menyusahkan emaknya. Lagipun perutnya tidak pula tidak terasa lapar.

"Betul ni tak lapar?" Duga Puan Hazira dengan mata yang sengaja disepetkan.

Qisha Qaisara angguk mengiakan.

"Hmm... suka hati kamulah. Tengah malam nanti jangan duk menggodek dapur pula." Perli Puan Hazira yang sedia tahu perangai anak daranya.

Mendengarkan perlian itu, Qisha Qaisara hanya menayang sengih. Segan apabila tabiatnya yang satu itu ditegur si emak. Bukannya salah dia, dia juga tidak dapat menjangka bila masa perutnya akan meragam minta diisi. Kadang-kala tengah malam baru terasa lapar.

"Haa, baru balik long?" Tegur Encik Nazri pada anak sulungnya yang sedang menyangkut kunci kereta pada penyangkut di sebelah pintu utama.

"Ha'ah yah, hari ni banyak pula kerja yang dah dateline. Semua nak kena submit." Balas Qaisar Amir lantas kemejanya dibuka beberapa butang teratas.

"Hei, budak baru kerja. Macam mana satu company dengan ex?" Sakat Qaisar Amir lalu mengambil tempat di sebelah Qaira Qaisara. Kot yang sudah dibuka, dilipat dan disangkut pada lengan sofa.

"Dia bukan ex akulah, kau ni kenapa?!" Marah Qaira Qaisara apabila alongnya mula membangkitkan isu yang paling dia sensitif. Kecil besar, kecil besar saja dilihat Qaisar Amir tika ini.

"Angah mana mak?"

"Dia... biasalah, pergi melepak dengan kawan-kawan."

"Mamak la tu." Kata Qaisar Amir lalu cawan adiknya yang masih penuh dengan air teh dicapai dan dihirup sehingga habis.

"Itu aku punyalah!" Bentak Qaira Qaisara. Dia sudah menayang riak tak puas hati. Bahu Qaisar Amir dipukul separa kuat. Puan Hazira dan Encik Nazri yang sudah arif dengan perangai anak-anaknya hanya memandang pertengkaran itu dengan riak biasa.

Kalau bergaduh, memang sah itu anak-anak mereka. Kalau tidak bergaduh itu yang harus dirisaukan. Takut alien dari planet marikh pula yang datang menyamar.

"Laa.. sikitlah. Kedekut!"

"Sikit jadahnya, kau habiskan semua. Tuang balik!" Bidas Qaira Qaisara dengan jelingan tajam. Tetapi alongnya seperti langsung tidak terkesan malah muka sepuluh sen ditayang tanpa rasa bersalah.

"Along nak makan?"

"Sekejap lagilah mak. Nak mandi dulu, berlengas." Qaisar Amir mula hendak mengundurkan diri. Muka ketat adiknya dipandang dengan senyuman sebelum kepala gadis itu dielus kasar. Terlebih kasar sehingga rambut panjang yang dibiar lepas itu berserabai jadinya.

Qaira Qaisara merengus rimas. Inilah padahnya kalau dia seorang sahaja perempuan dalam adik-beradik. Kedua abangnya itu tak sah kalau tidak membuli, mencari gaduh dan membuatnya marah.

Dah tua-tua pun perangai masih sama. Tak matang! Kutuknya dalam hati.

Penantian Yang BersisaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang