SEMINGGU berlalu, Qisha Qaisara mula dapat menyelesakan diri dengan rentak budaya kerja di syarikat ini. Badan yang terasa lenguh kerana duduk terlalu lama diregangkan perlahan.Sedang sibuk membetulkan kembali urat-urat yang bersimpul, seorang gadis yang mengenakan gaun paras lutut warna merah hati mampir ke mejanya. "Hai, Qaliff ada?"
Qisha Qaisara sedikit terkedu awalnya, namun cepat-cepat dia menayang senyum. Siapa yang tidak terkedu kalau kecantikannya benar-benar buat rahang ternganga?
Dengan kulit cerah dan pandai bergaya, ditambah pula rambut hitam kecoklatan yang indah dan sihat menandakan si pemilik sangat menitikberatkan penjagaannya. Sungguh menawan dan mempesonakan! Dia yang perempuan pun tak lepas menatap, apatah lagi lelaki-lelaki di luar sana.
"Err... maaf ya, boleh saya tahu cik ni siapa? Ada buat appointment tak?" Soal Qisha Qaisara.
"My name is Merlin. Erm... sorry, tak adalah pula."
"Okay, tak apa. Cik duduk dulu, saya tanya bos sekejap ya?" Belum sempat Qisha Qaisara ingin bangun, terpacul Qaliff Yusuf di muka pintu.
"Sara, saya nak..." Kata-kata Qaliff Yusuf mati apabila matanya perasan kehadiran gadis cantik itu.
"Merlin... bila you balik? I thought you tak nak balik Malaysia dah. You buat apa dekat sini?" Qaliff Yusuf mula menyoal dengan riak teruja. Langkahnya dibawa menghampiri gadis itu.
"Amboi... perli eh? I datang nak jumpa you lah, tak akan menoreh getah pula kat sini." Seloroh Merlin mesra. Qaliff Yusuf tergelak kecil. Sedar akan soalannya yang kurang bernas.
"Kenapa tak call dulu?"
"I'm bored at home, that's why saja nak kacau you kerja. At the same time, nak surprisekan you. I call Zafran tapi tak angkat." Beritahunya dengan riak tidak puas hati.
Qaliff Yusuf tergelak melihatnya, tahu sangat perangai kawannya yang satu itu. Payah benar mahu mengangkat telefon ketika waktu bekerja. Macamlah sibuk sangat, mengalahkan dia yang CEO ini pula.
"Zafran, biasalah. Macam tak kenal pula dia. Eh, dah nak lunch hour ni. Jom kita pergi makan?" Ajak Qaliff Yusuf seraya melihat ke arah jam di pergelangan tangannya.
Merlin merupakan gadis yang sama-sama menyambung pelajaran di universiti yang sama dengannya ketika di London dulu. Ketika pertama kali berjumpa, dia dan Zafran terus rapat dengan gadis itu memandangkan mereka sama-sama orang Malaysia yang menyambung pelajaran di sana.
"Sara, petang ni saya tak masuk. Terus gerak pergi site visit."
Belum sempat Qisha Qaisara mengangguk atau membalas apa-apa, Qaliff Yusuf sudah berlalu bersama gadis yang bernama Merlin itu.
Mereka nampak rapat semacam, siapakah gadis yang bertuah itu? Tak pernah pula Qisha Qaisara lihat mukanya di mana-mana. Adakah itu teman wanita Qaliff Yusuf yang sekarang? Dia mula berteka-teka.
Keluhan kecil dilepaskan sebelum dia kembali menghenyakkan punggungnya di atas kerusi. Cemburu ke tu Cik Sara? Suara hatinya mula mengejek.
Ah! Tidaklah. Buat apa nak cemburu? Dia bukannya siapa-siapa aku. Tak pantas rasanya untuk timbul sebarang rasa begitu. Akalnya membalas.
Hilang dalam lamunan, suara nyaring Ariyani menjengah cuping telinga. "Saraaaaa..." Panggil Ariyani meleret.
"Ya."
"Lunch hari ni kita try mee kolok, nak?"
"Mee kolok? Apa tu? Sedap ke?" Soal Qisha Qaisara apabila nama makanan yang disebut oleh Ariyani terdengar asing di telinganya.
"Eh, mestilah cenggini. Dekat Dayang Sarawak depan tu haa. Yani pun baru tahu, rasanya dia baru buka. Kak Sal yang cakap tadi." Bersungguh Ariyani bercerita sambil ibu jarinya dinaikkan. Menandakan pilihannya itu boleh dipercayai.
"Hmm okay." Qisha Qaisara bersetuju. Melihatkan Ariyani yang bersungguh, kesian pula dia mahu menolak. Walaupun dia tidak pernah merasa makanan itu, tapi apa salahnya mencuba. Lagipula rasa macam tak baik pula mahu mengecewakan gadis kecil molek itu sesudah beria mencari menu untuk mereka.
"Macam biasa, dekat lobi. Jangan lambat! Kedai tu ramai orang tau, beratur nak makan." Sempat Ariyani berpesan.
"Aip! Aip! Kapten." Tabik Qisha Qaisara seiring sebelah kakinya dihentak. Tak disangka, perlakuannya itu mengundang hilai tawa Ariyani.
Membulat mata Qisha Qaisara kerana terkejut sebelum meletakkan jari telunjuknya di bibir tanda supaya gadis itu mengawal tawanya yang seakan-akan mak lampir. Takut tak fasal-fasal mereka dituduh buat pencemaran bunyi pula. Namun Ariyani hanya menyeringai saja.

ANDA SEDANG MEMBACA
Penantian Yang Bersisa
RomanceBerkawan tak semestinya bercinta, rapat tak bermakna saling suka. Begitu jugalah ceritera Qisha Qaisara dalam menyembunyikan sebuah rasa. Bagi dirinya, cukup mencintai si dia dalam diam tanpa ada orang yang tahu selain aku dan Tuhan. Jika ini adalah...