BAB 14

56 6 0
                                    


QALIFF Yusuf melangkah masuk ke dalam H&H Holdings sambil mengemaskan sut hitam yang tersarung di tubuh. Butang lif ditekan sebelum ia naik bergerak ke tingkat tujuh, aras di mana terletak bilik pejabatnya.

Pagi tadi, walidnya ada memberitahu bahawa Qisha Qaisara akan mula bekerja di syarikat mereka hari ini.

"Qisha Qaisara, in my room now." Arah Qaliff Yusuf sejurus lalu di hadapan meja gadis itu. Jam di pergelangan tangan dikerling sekilas. Langkah kaki laju diayun masuk ke dalam bilik kerjanya. Dia sudah maklum gadis itu akan melapor diri di syarikat walidnya hari ini.

"Masuk." Ujar Qaliff Yusuf apabila pintu biliknya diketuk.

"Yani dah briefing?" Qaliff bertanya sesudah melabuhkan punggung di atas kerusi kulit.

"Sudah." Jawab Qisha Qaisara pantas. Sejak dia sampai awal pagi tadi lagi, Ariyani si gadis genit yang ramah sudah menjelaskan itu dan ini kepadanya. Dari perihal pejabat, jabatan, hal ehwal kerja sehinggalah sesi suai kenal bersama staf-staf yang lain.

"Hmm... bagus." Qaliff Yusuf mengangguk kecil sambil tangannya sibuk menyelak satu persatu fail yang berada di atas mejanya.

"Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu." Pamit Qisha Qaisara bila Qaliff Yusuf tiada ura-ura mahu berkata apa-apa lagi.

"Err... Sara, wait." Panggil Qaliff Yusuf menghalang langkah Qisha Qaisara. Direnung seraut wajah yang dulu sering dia bergurau senda. Benarlah masa memang mengubah banyak perkara. Dia dan Qisha Qaisara yang dulunya tak boleh dipisah, sekarang malah jadi seasing ini. Masing-masing kaku seperti tak pernah mengenali antara satu sama lain. Hendak memula perbualan dan borak biasa pun terasa amat janggal.

"Yes?" Qisha Qaisara kembali berpaling apabila namanya dipanggil. Menanti butir bicara yang mahu ditutur lelaki itu.

"Dekat pejabat, awak pembantu saya. Dekat luar, kau masih kawan aku. Kalau ada apa-apa, just inform me okay?"

"Ya, baik Encik Qaliff. Saya faham." Qisha Qaisara mengangguk lalu menghadiahkan senyum nipis. Faham akan apa yang lelaki itu cuba sampaikan. Meskipun Qaliff Yusuf sekarang adalah majikan kepadanya, tapi lelaki itu masih tidak meletakkan penghalang untuk persahabatan mereka. Dia hanya bersikap profesional di tempat kerja dan Qisha Qaisara mengerti akan hal itu.

Keluar saja dari bilik Qaliff Yusuf, Qisha Qaisara menapak kembali ke mejanya. Keluhan dilepas sejurus punggung bertemu dengan kerusi empuk yang tersedia. Jauh di sudut hati, dia merasa senang kerana dapat berada dekat dengan Qaliff Yusuf kendatipun perasaan gembira, malu dan risau sudah bercampur-baur.

Meski sehingga ke hari ini Qaliff Yusuf tidak pernah tahu akan rahsia hatinya, dia tidak kisah. Rasanya lebih baik begitu. Biarlah waktu yang menentukan segalanya. Bak kata pepatah... kalau sudah jodoh, pasti tak ke mana.

Malas mahu melayan hati yang bercempera segala rasa, komputer dihidupkan. Beberapa fail dan buku panduan yang ditinggalkan oleh pekerja sebelumnya diselak satu persatu. Bermulalah tugasnya sebagai pembantu peribadi buat Qaliff Yusuf mulai detik ini.

Penantian Yang BersisaWhere stories live. Discover now