BAB 10

65 5 0
                                    


7 TAHUN KEMUDIAN...

Seusai berdoa panjang, tangan diraup ke seluruh wajah. Menungan panjang Qisha Qaisara dicantas oleh teguran dari si emak yang menjenguk di muka pintu.

"Sara, dah sudah solat kan? Pergi bersiap." Arah Puan Hazira bersama senyum tipis.

"Bersiap? Nak ke mana mak?" Soal Qisha Qaisara aneh.

"Ada kenduri kesyukuran."

Jawapan ringkas Puan Hazira mengundang kerutan di dahi Qisha Qaisara. Sejak bila adanya majlis-majlis begini, dia perlu turut serta? Selama ini pun ibunya itu memang sudah maklum kalau dia kurang gemar akan majlis-majlis keramaian seperti itu.

"Mak pergi sajalah dengan ayah, macam biasa." Balas Qisha Qaisara tidak berminat.

"Ini majlis rumah umi, kamu kena pergi. Lagipun kan anak bujang umi, si Qaliff itu kawan kamu juga? Tak akan majlis kawan sendiri pun tak mahu pergi."

"Hmm... ya lah." Qisha Qaisara akur. Ujaran Puan Hazira yang berbaur perintah itu tak mampu lagi ditolak.

Qaliff Yusuf... sebaris nama yang dulunya pernah melekat di dasar jiwa, bahkan tak pernah beranjak hingga dewasa. Masih tersimpan rapi di sudut hati. Sejenak mindanya teringat akan segala kenangan zaman sekolah. Lelaki itulah si penceria tika duka, pengisi ruang lompong dan pelengkap hari-harinya. Kini, satu persatu memori seakan kembali berputar layak pita yang kembali diulang tayang. Rindu, tapi untuk kembali rasanya tak mampu.

Sejak masing-masing membawa diri, mereka sudah hilang komunikasi. Entah apalah tanggapan lelaki itu padanya sekarang? Marahkah kerana dirinya pergi tanpa khabar berita? Atau tidak peduli kerana sudah ada Yasmin Rania yang menemani?

"Berangan apa lagi tu, lekas. Mak, ayah, along dan angah tunggu kamu di bawah." Tegur Puan Hazira apabila melihat anak perempuannya masih mengelamun.

Dengan langkah berat, Qisha Qaisara mencabut telekung yang sedang dipakainya lalu dilipat kemas bersama sejadah. Jubah hitam yang tersangkut dalam almari disarung malas. Tudung dari rona warna yang sama dan sudah tersedia gosok dicapai lantas dipin. Lebihan kain di sebelah kanan hanya diselempang tanpa dirapikan. Namun masih nampak terletak dan elegan. Wajah pula dirapikan dengan solekan tipis. Sesudah dirasakan penampilannya tidak terlampau berlebihan, kaki dihayun menuruni tangga.

Penantian Yang BersisaWhere stories live. Discover now