BAB 7

63 5 0
                                    


KEESOKAN harinya, mereka bertiga pun bertandang ke rumah Qaliff Yusuf seperti yang direncanakan.

"Sara, lama tak datang. Rindu umi dibuatnya. Sara sihat?" Terjerit kecil Puan Humaira melihat kedatangan anak gadis Puan Hazira di kediamannya. Pipi Qisha Qaisara dikucup kanan dan kiri.

Yasmin Rania yang melihat adegan itu hanya tersenyum janggal. Nampaknya, Qisha Qaisara memang rapat benar dengan keluarga Qaliff Yusuf. Detik hati kecilnya. Mendengar Puan Humaira membahasakan dirinya sebagai 'umi' pada Qisha Qaisara membuat Yasmin Rania cemburu dengan kemesraan yang ditayang. Entah kenapa, Qisha Qaisara yang dulunya tak pernah dicemburui dalam hal apa pun mula dipandang sebagai saingan. Bukan hendak riak, tapi rasanya pakej dirinya lebih lengkap.

"Apa yang lamanya? Baru minggu lepas dia datang." Seperti biasa, Qaliff Yusuf hanya menayang muka tak berperasaan.

Qisha Qaisara mencebik. "Sihat Alhamdulillah, kami nak ulangkaji untuk peperiksaan percubaan SPM nanti. Itu yang datang sini, boleh kan umi?"

"Boleh, apa pula tak boleh. Macamlah tak biasa pula ke mari." Puan Humaira tersenyum senang.

"Eh, ini siapa?" Tanya Puan Humaira apabila perasan ada wajah asing yang turut berada di situ.  Seingatnya tak pernah pula Qaliff Yusuf menjemput gadis lain selain Qisha Qaisara datang ke rumah mereka, mukanya juga tidak dicam Puan Humaira.

"Rania, kawan sekelas kami juga umi." Jawab Qisha Qaisara memperkenalkan si rakan.

Puan Humaira sekadar mengangguk-angguk dan menghadiahkan secalit senyuman sebagai menyantuni tetamu.

"Ohh ya... sebelum terlupa, umi ada barang nak bagi pada emak. Nanti sebelum Sara nak balik, ingatkan ya?" Pesan Puan Humaira kerana risau dirinya yang memang sejenis pelupa.

"Barang apa tu?"

"Adalah, rahsia. Nanti Sara akan tahu juga nanti." Sengaja Puan Humaira bermain teka-teki sambil mengenyitkan sebelah matanya.

Qisha Qaisara ketawa lepas seraya angguk mengiakan. Malas merisik lebih bila Puan Humaira sudah kata begitu.

"Eh, siapa nama tadi? Rania? Haa, marilah masuk. Aunty buat air sekejap." Pelawa Puan Humaira mesra. Hampir terlupa kalau gadis itu turut ada bersama.

"Biar saya tolong aunty," Tawar Yasmin Rania cuba ingin memberi persepsi awal yang baik. Dia juga inginkan layanan mesra dari Puan Humaira seperti yang Qisha Qaisara dapat.

Memandangkan tawarannya tidak ditegah, Yasmin Rania lantas mengikut langkah Puan Humaira ke dapur.

Sedang mengacau air di dalam jag, suara gelak tawa dari ruang tamu hadapan menggamit perhatian Puan Humaira dan Yasmin Rania yang sedang berbual kosong.

"Comelkan mereka berdua tu? Sepadan." Puji Puan Humaira sambil pandangannya terarah pada si anak teruna dan anak gadis sahabat baiknya.

Yasmin Rania diam. Terkedu dengan komen dari ibu kepada Qaliff Yusuf.

"Aunty memang dah lama berangan nak satukan mereka bila tiba masanya. Kamu rasa bagaimana, sesuai tak mereka berdua tu bersama?" Tanya Puan Humaira sekadar ingin tahu pendapat orang luar.

"Ohh... mereka tahu ke tentang ni? Setahu saya mereka hanya berkawan rapat, tak bercinta." Yasmin Rania menidakkan harapan ibu kepada lelaki yang dia turut menaruh hati. Kalau Qaliff Yusuf bersama Qisha Qaisara, habis bagaimana dengan dia?

"Kalau dah rapat tu... senang saja perasaan suka nak timbul, betul tak?" Kata Puan Humaira senang, masih menjunjung tinggi angannya.

"Hmm... betul." Jawab Yasmin Rania perlahan. Dia yang turut menyimpan perasaan pada Qaliff Yusuf kini dalam dilemma. Dulu dia berfikir harapannya cerah kerana sikap positif Qaliff Yusuf terhadapnya. Tapi begitu melihat si ibu lebih memilih yang lain, ke mana harus dikuburkan niat dan rasa hati pada si anak lelaki?

Dia sukakan Qaliff Yusuf, dan dia juga yakin bahawa lelaki itu turut punya perasaan yang sama terhadapnya. Tapi mengapa takdir seakan tak memihak pada mereka?

Yasmin Rania mengeluh kecil. Tak mengapa, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan dan spekulasi sendiri, bisiknya cuba menyedapkan hati sendiri.

Penantian Yang BersisaWhere stories live. Discover now