Hari itu adalah hari malang untuk adik perempuan saya, Nur. Dia tertinggal dompet duitnya di dalam sebuah tandas di Bukit Mertajam. Bila dia kembali semula ke tandas, beg tangannya cuma tinggal sejarah. IC, lesen memandu, kad debit semuanya lesap.
Alangkah baiknya jika ada seseorang seperti Billy Ray yang memasuki tandas itu. Kalau ada orang seperti Billy Ray, tidaklah dompet Nur hilang!
Billy Ray? Korang pernah dengar cerita Billy Ray?
Kisah Billy Ray bermula pada suatu hari cerah di bulan Februari 2013:
Di satu sudut jalan di Kansas City, Amerika, seorang lelaki kulit hitam 55 tahun bernama Billy Ray Harris sedang mengemis. Itu saja punca rezekinya ketika tulang empat kerat tidak mampu lagi bekerja seperti orang muda.
Billy sedang mengemis
Billy tidak punya rumah, juga tidak punya kereta. Yang menjadi miliknya cuma sebuah basikal tua bagi memudahkan pergerakannya. Dia seorang geladangan yang tinggal di bawah jambatan. Setiap hari kerjanya cuma mengemis, mengharap ada insan berhati emas yang sudi menghulur sedikit wang untuk dia melapik perut kosong.Setiap hari menjelang petang, Billy akan mengira pendapatannya untuk hari itu. Tapi pada suatu petang bertuah, Billy begitu terkejut ada 'rezeki dari langit' yang jatuh ke dalam cawannya.
Billy melihat sebentuk cincin berada di dalam cawannya. Billy tidak tahu siapa pemilik cincin itu. Pada mulanya Billy menyangka ia cuma cincin palsu yang diberi oleh pejalan kaki yang lalu di depannya.
Ketika melalui sebuah kedai barang kemas, terdetik hati Billy untuk bertanya nilai cincin 'palsu' itu.
"Harganya cincin ni $4,000" kata pekedai barang kemas, "Tuan ingin menjualnya?"
$4,000 (RM16,200) adalah satu jumlah sangat besar untuk seorang pengemis. Syaitan pun datang berbisik di hati Billy: "kau perlukan wang, jual cepat cincin itu. Jual..jual..jual..jual!!!'
Tapi Billy tiba-tiba teringat kepada pesan datuknya: jangan mengambil sesuatu yang bukan hak kita kerana Tuhan sentiasa melihat apa yang kita buat.
🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀
Sementara itu, seorang wanita kulit putih bernama Sarah Darling bangun pada suatu pagi dengan wajah muram. Pagi itu baru dia perasan cincin berlian pertunangannya sudah hilang. Bayangkan cincin pertunangan. Ia bukan sekadar cincin. Ia lebih kepada sebuah nilai sentimental ikatan cinta suci dua insan yang kehilangannya pasti sangat menyedihkan!
Sarah bertekad untuk mencari cincinnya yang hilang itu. Sarah segera menyusuri jalan yang dilaluinya petang kelmarin. Walaupun dalam hati dia tidak yakin cincin itu akan ditemuinya semula, tapi dia harus mencubanya dulu.
Sarah teringat kepada seorang pengemis yang dibantunya dengan sedikit sumbangan wang kelmarin. Mungkin lelaki itu ternampak cincinnya yang tercicir di tengah jalan?
YOU ARE READING
Nota Dari Penjara
RandomCatatan suka duka seorang banduan yang terkurung dalam sebuah penjara besar berkeluasan 330,000 kilometer persegi dengan penghuni seramai 33 juta orang. Di penjara ini tercatat banyak cerita duka. Tapi dalam duka sesekali terselit cerita suka. Keran...