10. SEPI HATI SEORANG LELAKI

151 35 14
                                    

SĒPÍ

Seringkali aku terjaga di tengah dinihari
teraba-raba mencari
sebuah mimpi yang hilang
mimpi tentang anak
mimpi tentang isteri
sehingga aku dikejutkan sebuah realiti kejam:
cuma aku di sini
tiada siapa di sisi.

Tidak tahan lagi rasanya diri
sendiri di ranjang ini
keseorangan dihimpit sepi demi sepi demi sepi
tilam dan bantal-bantal kaku menambah sebuah rasa rindu
akankah muncul jua
satu hari indah
kita bersatu seperti dahulu?

Malam-malam sepi begini
ingin sekali aku terbang menghampiri kau bernama isteri
berkongsi melayari mimpi
atau berenang menyusuri
hilai tawa anak-anak
kerana aku tidak tahan lagi digilis keterasingan ini
kerana ranjang ini terlalu besar untuk ku tiduri sendiri.

Sepi ini seperti belati  menyiat-nyiat hati
pedih pilu saling berganti
dalam lena engkau menjelma
dalam jaga engkau tiada.

Malam-malam sepi begini
terjaga aku lagi di tengah dinihari
seperti mengharapkan seseorang di sisi bergelar isteri
tapi segala yang indah hanyalah mimpi
dan engkau tidak akan kembali.

~ JeffHamz

😢😭😢😭💞💕💖💗😢😭😢😭

Malam tadi ketika mengemas beberapa buku yang bersepah di rak buku di ruang tamu, saya terjumpa puisi di atas. Ia sebuah puisi lama yang saya hasilkan beberapa tahun lalu.

Ketika saya hasilkan puisi itu saya bekerja di KL, isteri pula kerja di Alor Setar. Saya tinggal di Ampang seorang diri dalam sebuah rumah empat bilik yang saya dan isteri beli bersama. Anak-anak tinggal bersama isteri di Alor Setar.  

Sepinya hidup ketika itu tinggal seorang diri tanpa anak isteri di sisi. Dalam kesepian itu, banyak pula puisi yang terhasil, yang di atas salah satunya. Kebanyakan puisi bertemakan cinta dan rindu kepada isteri dan anak-anak.

Tapi itu cerita lama, sekarang saya, isteri dan anak-anak sudah bersatu semula dalam sebuah rumah di Alor Setar.

Walaupun saya dan isteri sudah tinggal sebumbung semula, puisi lama ini terus tersimpan. Bila kadang-kadang ada pertelagahan, ketika ada amarah menjadi tembok pemisah cinta, puisi di atas saya deklamasi buat penyejuk hati sang isteri.

Indahnya cinta jika kita sering memahami....

NOTA KAKI:
Jangan vote  jika tulisan ini tak menarik dan tak bermanfaat. Saya faham dan tak kecil hati jika tiada yang sudi vote. Maafkan saya membuang masa berharga anda 🙏🤦🙏

Nota Dari PenjaraWhere stories live. Discover now