Suatu masa belum pun lama
Ada sebuah ceritera bahagia
Hari-hari kita
menuai bebunga cinta
Aroma flora mewangi merata
Langit biru senyum selalu
Bintang gemerlapan memahami impian
Hangat suria tiada terasa
Bulan di awan mengirim salam
Segalanya indah belaka
Bila menyinta dan dicinta.Tapi kau datang suatu hari
tanpa kemanisan lagi
Kau pijak-pijak perasaanku
kau hiris kau rincik kau lapah jiwaku
kau cincang-cincang hati ini
Kau siat-siat kalbu
kau lumatkan segala sesukamu
Hari itu sempurnalah
sebuah pesta kekejaman
Segala cinta pernah berpadu
kini berderai menjadi debu.Awan di langit menangis menitis gerimis
Bayu pilu berembus sayu
Suria tiada lagi ceria
Rangbulan bisu kelu
Sebuah cinta menjadi pusara
Tugu kasih melayang tumbang.Di mana akan ku sangkutkan lagi
kenangan cinta abadi ini
Kerana aku cuma miliki sekeping hati?~ JeffHamz
🥀🌷🥀🌷🥀🌷🥀🌷🥀🌷🥀
Masa remaja dulu, saya suka mencatatkan pengalaman diri di dalam sebuah diari. Sampai sekarang catatan dalam diari masih tersimpan. Kisah suka duka, gembira ceria, keluh kesah, benci marah, semuanya saya catat dalam diari.
Sekarang zaman sudah berubah. Rasanya kini tiada lagi yang menulis diari. Kini banyak catatan tersimpan di dalam instagram, twitter dan sebagainya.
Saya pula masih dilemma dengan diari lama. Banyak catatan mungkin tak sesuai dibaca pihak lain. Rasa nak buang tapi rasa sayang. Nak simpan pula takut ada yang cemburu 👻🤭🤦
Puisi di atas adalah sebuah coretan patah hati di dalam diari usang saya. Masa tu hormon gatal sedang berkembang, tengah bercinta bagai nak rak. Segalanya indah belaka. Kentut pun wangi bila cinta kuasai diri!
Tapi suatu hari durjana, sang dara memusnahkan cinta. Kasih terputus di pinggir jalan. Berbulan juga di bilik mandi hanya lagu kecewa saya alunkan bagi mengurangkan rasa kehilangan.
Apa pun itu semua cuma kenangan lama. Kini saya bahagia dengan keluarga tercinta 😄😃
NOTA KAKI:
Jangan vote jika tulisan ini tak menarik dan tak bermanfaat. Saya faham dan tak kecil hati jika tiada yang sudi vote. Maafkan saya membuang masa berharga anda 🙏🤦🙏
YOU ARE READING
Nota Dari Penjara
DiversosCatatan suka duka seorang banduan yang terkurung dalam sebuah penjara besar berkeluasan 330,000 kilometer persegi dengan penghuni seramai 33 juta orang. Di penjara ini tercatat banyak cerita duka. Tapi dalam duka sesekali terselit cerita suka. Keran...