Pagi kelmarin seperti hari-hari lain, masuk saja kereta, saya terus buka radio. Seperti biasa, segmen pagi Suria FM dengan trio Ajak, Fizi Ali dan Issey sangat menghiburkan.Tajuk perbincangan pagi kelmarin di Suria FM ialah "Benarkah wanita tak suka mengalah?".
Ramai juga yang menelefon Suria FM beri pendapat. Tak kira lelaki atau perempuan yang menelefon kebanyakannya setuju: perempuan dicipta Tuhan dengan perangai tak suka mengalah. Sama ada perempuan itu berada di pihak benar atau salah, namun mereka tidak akan mudah mengalah!
Betul ke perempuan tak suka mengalah? Bagi saya tak suka mengalah, degil, keras kepala, ketegaq (dialek Utara bererti degil) itu bukan sifat hakiki wanita. Lelaki juga ada yang tak suka mengalah. Lelaki perempuan 2x5 je...
Dalam kehidupan rumah tangga jika suami dan isteri sama-sama tak suka mengalah, alamat tak lamalah rumah tangga tu. Kalau api bertemu api hanguslah rumah. Kerana itu jika satu pihak bersifat api, satu pihak lagi kena jadi air yang mendinginkan api, baru rumah tangga aman.
Apa pun, saya ada beberapa pengalaman tentang tajuk perempuan tak suka mengalah:
1. Pengalaman Masa Kecil
Saya mempunyai sembilan orang adik beradik. Empat lelaki, lima perempuan. Semua adik beradik perempuan mempunyai sifat yang sama: tak suka mengalah. Adik beradik lelaki pula rata-rata mudah bertolak ansur. Mungkin kebetulan begitu dalam keluarga saya.2. Pengalaman Atas Jalan
Ketika itu saya tinggal di KL. Suatu pagi ketika kalut-kalut bawa kereta nak pergi kerja, traffic light berdekatan Taman Kosas bertukar merah. Kereta Merc di depan saya brek mengejut. Saya yang mengekori kereta itu juga membrek mengejut. Dan....bammmmm!Bukan kereta saya yang langgar Merc di depan. Tapi kereta saya dilanggar sebuah Myvi dari belakang. Kuat juga bunyi dentumannya.
Saya turun kereta, periksa ada kecederaan atau tidak. Nampak jelas bumper belakang kereta saya kemek teruk. No plet patah. Mujur lampu tak pecah. Myvi di belakang yang langgar kereta saya hanya calar sikit saja. Hebat juga kereta Malaysia.
Pemandu di belakang saya seorang wanita Melayu umur 30an. Dia tak keluar kereta pun. Hanya duduk atas seat perhati saya. Mukanya masam. Pandangannya ke arah saya macam muka orang tak bersalah.
Saya mendekati wanita itu. Mekapnya tebal, lipstick merah menyala melumuri bibir. Macam pelakon opera Cina.
"Mengapa buat emergency brake? Kan dah kena langgar?" marah wanita tersebut.
Eh dia yang langgar kereta aku, aku pula yang dipersalahkannya? Cantiknya muka!
"Kalau saya tak brake, kereta saya akan langgar kereta depan. Nanti tak pasal-pasal saya kena bayar ganti rugi," kata saya cuba bersikap tenang.
"Tapi awak yang buat emergency brake. Kalau tak, saya tak akan langgar". Lagi-lagi dia yang betul.
"Undang-undang Malaysia kata, sapa yang langgar, dialah yang salah. Puan rapat sangat dengan kereta saya, jika ikut jarak tak le langgar kereta orang" kata saya masih cuba mengawal suara supaya tidak tinggi.
Wanita itu membuka purse. Nampak beberapa keping duit RM50 tersusun rapi dalam pursenya.
"Nah, ambik ni. Ni saja saya ada" kata wanita itu sambil menghulurkan sekeping duit RM50 kepada saya.
"RM50? Duit ni nak bayar duit cat pun tak cukup. Belum lagi upah ketuk, welding lagi". Bengang juga saya masa itu. Tapi nak gaduh dengan perempuan rasa malu pula.
"Saya dah kata duit ni saja saya ada. Lagi pun saya tak salah. Sapa suruh awak brek emergency?". Dia masih tak mau mengalah. Masih guna alasan sama: salah saya kerana membrek!
Kereta di belakang mula berlumba-lumba membunyikan hon. Saya pula perlu segera ke ofis kerana pukul 9.00 ada mesyuarat penting dan saya adalah Setiausaha mesyuarat itu. Kalau saya terus bertekak dengan perempuan tak reti mengalah itu, nanti kena hampuk dengan Datuk di pejabat kerana Setiausaha yang patut sampai awal mesyuarat tapi datang lambat pula!
"Kalau puan tak nak bayar pun tak pa lah". Saya hulurkan balik duit RM50 kepada wanita itu, "Puan simpan balik duit ni beli lipstick" kata saya sambil menjeling bibirnya yang terlebih merah itu.
Petang itu lepas ofis saya ke bengkel kereta. RM300 melayang untuk kesalahan yang tidak saya lakukan!
3. Pengalaman Jadi Suami
Rasanya ramai suami di dunia ini macam saya - suka mengalah dengan isteri. Kalau bertengkar saya selalu beri isteri menang. Saya kerap mengalah. Dalam 100 kes pertengkaran rasanya 95 kes saya beri isteri menang.Saya mengalah dengan isteri bukan sebab takut bini tapi saya tak suka kes berpanjangan. Kalau bertengkar dengan perempuan 14 hari pun tak selesai. Lagi pun tak elok bergaduh depan anak-anak, nanti besar mereka juga akan jadi kaki gaduh. Lebih baik saya diam, pergi dapur buat milo ais untuk sejukkan kepala yang bengang.
4. Pengalaman Di Ofis
Saya pernah kerja dengan boss perempuan. Boss perempuan ini pula umur dah dekat 50 tahun tapi masih cantik. Dan satu lagi - dia masih single. Kata orang dia single sebab tiada lelaki berani mengoratnya. Garang, ketegaq dan tak pernah mengalah adalah sifatnya. Walaupun dia salah, mengaku salah tidak sekali!Masa boss perempuan itu mula-mula bertukar ke division saya, banyak kali juga saya bertekak dengannya. Bukan sifat saya suka bergaduh tapi saya tak boleh terima yang salah dikatakan benar.
Bila saya tegur boss kerana buat polisi baru yang tak masuk akal, saya dimarahinya. Bila saya tidak bersetuju dengan arahan dia yang bertentangan dengan prosedur agensi kami, saya disergahnya. Bagi boss sama ada dia salah atau tak salah, dia tak akan mengalah. Beri 1,000 dalil yang kata tindakannya salah pun tak guna sebab dia tetap kata dia betul.
Hingga bila masuk minggu ketiga dia jadi boss baru division kami, saya ambil keputusan untuk berdamai dengan boss. Demi keharmonian ofis, biarlah saya mengalah, ikut saja apa arahannya. Kan dia boss perempuan? Mana ada perempuan mahu mengalah?
Seperti kata orang putih if you can't beat her, join her! Saya pun mula cuba belajar memahami jiwanya yang tak suka mengalah. Mungkin status sebagai andartu pada usia setengah abad membuat boss saya tertekan. Maka lebih baik saya ikut saja semua arahannya tanpa berbalah. Betul tak betul arahannya perkara nombor 30!
Sejak saya hanya mengalah dengan boss, tak menyanggah ideanya, saya mula menjadi anak emas boss. Bukan anak ikan ye tapi anak emas - orang harapan boss! Bila berpeluang naik pangkat, boss buat perakuan dengan bahasa memuji yang sungguh dahsyat menyokong kenaikan pangkat saya!
🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀
Jadi Betul Ke Perempuan Tak Suka Mengalah?
Jawapannya tak betul! Tak suka mengalah bukan dipengaruhi oleh gender, bangsa atau budaya. Lelaki spesis tak suka mengalah pun ramai. Contohnya ahli politik yang didominasi lelaki itu. Arena politik dipenuhi manusia yang menganggap dirinya sentiasa betul, dirinya saja sempurna walau penilaian rakyat berbeza. Lelaki atau wanita jika jadi ahli politik sama saja: tak pernah mahu mengalah. Sebab itu di dalam parlimen mereka suka bergaduh macam budak tadika kerana menganggap diri mereka saja betul.NOTA KAKI:
Jangan vote jika tulisan ini tak menarik dan tak bermanfaat. Saya faham dan tak kecil hati jika tiada yang sudi vote. Maafkan saya membuang masa berharga anda 🙏🤦🙏
YOU ARE READING
Nota Dari Penjara
De TodoCatatan suka duka seorang banduan yang terkurung dalam sebuah penjara besar berkeluasan 330,000 kilometer persegi dengan penghuni seramai 33 juta orang. Di penjara ini tercatat banyak cerita duka. Tapi dalam duka sesekali terselit cerita suka. Keran...