Ini bukan cerpen fiksyen. Ini kisah benar. Kisah ini berlaku pada 2009.Ia kisah tentang seorang lelaki bernama Mohd Firdaus Ramlan. Ketika kisah ini berlaku Firdaus berusia 27 tahun.
Firdaus seorang bekas pelajar Sekolah Menengah Agama. Dia seorang pelajar pintar yang taat kepada agamanya. Sejak kecil kedua ibu bapa mengajar Firdaus nilai sopan santun dan menghormati orang tua. Di sekolah agama pula selain pendidikan akademik dan agama, Firdaus dan rakan-rakan sentiasa diterapkan nilai- nilai murni yang mendidik mereka menjadi insan berguna.
Sejak kecil Firdaus meminati bidang guaman. Cita-citanya cuma satu: menjadi hakim yang adil atau peguam penegak keadilan.
Cita-cita Firdaus menjadi kenyataan. Ayah dan ibu adalah manusia paling gembira apabila Firdaus akhirnya berjaya menggenggam ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari UiTM. Mereka berdua juga lebih gembira kerana tidak lama selepas keluar universiti Firdaus terus mendapat kerja sebagai Penasihat Undang-Undang di Majlis Bandaraya Kelang dan kemudiannya Pendaftar Kanan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
Pada usia 26 tahun Firdaus ditukarkan pula ke Mahkamah Kuala Kerai/Machang. Ia suatu cabaran besar memegang kuasa tampuk keadilan pada usia semuda itu ketika kemàtangan belum berada di puncaknya.
Dan di situlah segalanya bermula...
🌿🌷🌿🌷🌿🌷🌿🌷🌿🌷🌿🌷🌿
Sistem yang korup di mahkamah sudah lama ada. Firdaus cuma mewarisi sistem korup di mahkamah dari generasi terdahulu. Sistem keadilan yang korup merupakan rahsia terbuka. Semua orang tahu tapi bukan mudah untuk dibuktikan.
Ketika melaporkan diri di Mahkamah Majistret Gua Musang Firdaus disambut oleh seseorang. Rupanya dia adalah seorang broker mahkamah. Broker mahkamah ini merupakan orang tengah antara hakim dan penjenayah. Penjenayah akan terlepas dari hukuman jika dia mampu menyogok hakim dengan satu jumlah suapan tertentu.
Pada mulanya Firdaus terkejut dengan kehadiran broker mahkamah yang mahu menggadai sistem keadilan dengan suapan wang bernilai beribu ringgit. Itu bukan prinsipnya. Itu bukan perkara yang diajar kedua ibu bapanya. Bukankah Nabi pernah berkata dalam tiga orang hakim, dua akan masuk neraka dan cuma seorang yang akan masuk syurga? Biarlah majoriti hakim masuk neraka seperti kata Nabi tapi Firdaus ingin ke syurga!
Tapi godaan iblis terlampau besar. Broker mahkamah ini membayar makanan setiap kali Firdaus makan. Mereka juga begitu baik mencari rumah selesa untuk Firdaus tinggal. Rupanya segala kebaikan kerana ada udang di sebalik koeteow.
Perlahan-lahan Firdaus terpaksa menerima kenyataan, sebagai seorang yang dihormati di daerah itu, dia perlu berktrampilan menarik. Seorang majistret yang dipanggil Yang Arif di mahkamah tak kan cuma memandu Vios atau Honda City? Tak kan seorang majistret cuma menyewa rumah teres tiga bilik? Jika ada pilihan untuk mendapat sesuatu yang lebih baik, mengapa menolaknya?
Ketika itu 12 tahun lepas, gaji pokok permulaan seorang majistret gred L41 cuma sekitar RM1,500. Campur elaun dapatlah pendapatan RM2,000++ sebulan. (Sekarang gaji pokok majistret RM2,418 sebulan tidak termasuk elaun).
Tapi Firdaus tidak pernah menyentuh satu sen pun wang gaji yang diterimanya yang jumlahnya cuma beberapa ribu saja itu. Mengapa?
Yaa..kerana Firdaus boleh mendapat pendapatan di antara RM5,000 sehingga RM10,000 bagi setiap kes bila dia melepaskan orang bersalah dari menerima hukuman!
Bayangkan satu kes boleh dapat antara RM5,000 hingga RM10,000, berapa banyak yang Firdaus dapat sekiranya ada tiga atau empat kes sehari? Bayangkan pendapatan Firdaus sebulan. Sungguh mewah!
YOU ARE READING
Nota Dari Penjara
RandomCatatan suka duka seorang banduan yang terkurung dalam sebuah penjara besar berkeluasan 330,000 kilometer persegi dengan penghuni seramai 33 juta orang. Di penjara ini tercatat banyak cerita duka. Tapi dalam duka sesekali terselit cerita suka. Keran...