12. SIAPA KITA UNTUK MENILAI MEREKA?

101 33 7
                                    

Pagi tadi saya hantar ibu ke hospital. Biasalah orang tua, sentiasa ada appointment untuk rawatan susulan.

Masa hendak keluar dari kereta datang seorang lelaki awal 30an yang menunggang sebuah motor kapcai.

"Encik boleh tolong dak?" kata lelaki itu menghampiri saya, "Motor saya pancit. Duit dalam dompet tinggai RM5 jer. Upah baiki tayar pancit pula RM12."

Saya jeling tayar motornya. Entahlah, tidak nampakpun tanda pancit di tayarnya. Tapi saya hulurkan juga sekeping wang merah kepada lelaki tersebut.

Lelaki itu berlalu pergi tanpa mengucapkan apa-apa.

Sebenarnya ini bukan kali pertama orang datang minta duit dari saya. Suatu petang pada minggu lepas ketika saya sedang menyapu sampah di luar rumah, seorang wanita awal 20an menghampiri pagar rumah. Wanita berambut tocang itu menunggang sebuah motorsikal yang dibonceng seorang kanak-kanak perempuan.

"Abang boleh tolong saya dak? Saya dah hilang kerja. Anak ni dari pagi sampai la ni belum makan apa-apa lagi," kata wanita tersebut sambil tangannya menunjuk kearah seorang budak perempuan yang memboncengnya.

"Tunggu sini sat" kata saya lalu masuk ke dalam rumah.

"Sapa tu?" tanya isteri di dalam rumah.

"Ada pompuan tu, dia kata anaknya belum makan dari pagi hingga la ni. Nak hulur sikit kat dia. Duit abang tertinggai dalam bilik pula." Saya masuk ke dalam bilik dan ambil beberapa keping duit dalam dompet.

"Abang percaya ka dengan cerita pompuan tu? Entah-entah cerita rekaan jer. Mana laki dia? Tak kan biar anak bini kebuluran?" kata isteri.

"Laki dia? Entah. Abang tak tanya pun" jawab saya.

Saya keluar rumah. Beberapa keping wang merah saya hulurkan kepada wanita itu.

Wanita itu mengucapkan terima kasih dan berlalu pergi.

Banyak pengalaman saya tentang cerita orang datang minta duit ni. Alasan minta duit macam-macam: motor rosak, kereta rosak, belum makan seharian, anak sakit, bayar bil letrik yang nak dipotong TNB, bla bla bla.

Seperti biasa saya tidak pernah tanya apa-apa kepada mereka yang minta duit. Lepas mereka datang minta duit, tanpa tanya apa-apa saya akan terus bagi duit ikut kemampuan saya ketika itu.

Saya tak pernah melayan kesangsian orang lain yang ragu-ragu dengan niat orang yang meminta duit. Siapalah kita nak tentukan niat orang yang minta duit itu jujur atau tidak? Saya bukan malaikat penjaga pintu hati yang mahir membaca niat orang. Kalau orang itu bercakap betul, mungkin saya dapat pahala kerana membantunya. Kalau orang itu menipu, biar Tuhan yang menjadi hakimnya.

Beberapa tahun lepas ada satu peristiwa di surau taman perumahan saya tinggal di Alor Setar. Peristiwa itu berlaku lepas solat maghrib berjemaah.

Seorang lelaki lewat 30an bersama anak gadisnya berusia lebih kurang 12 tahun menghampiri surau ketika semua jemaah hendak meninggalkan surau.

"Boleh saya jumpa tuan imam?" kata lelaki itu kepada saya

"Tu..yang berjubah putih dekat pintu surau tu. Tu laa imam" jawab saya sambil jari menunjuk ke arah imam.

"Tuan..boleh dak saya nak minta bantuan sikit dari surau ni" kata lelaki itu menghampiri imam.

"Encik nak minta bantuan apa?" tanya imam dengan wajah kelat.

"Begini tuan..saya dari KL melawat adik di Baling. Malam ni saya nak balik KL semula. Tadi masa di stesen bas nak beli tiket, baru saya sedar duit saya tu tercicir. Sekarang dalam poket ada RM20 jer. Kad ATM ada dengan isteri di KL. Tambang bas saya dan anak ke KL pula lebih kurang RM90 juga. Duit yang ada kat saya tak cukup untuk balik ke KL" kata lelaki itu dengan wajah sedih.

"Begini tuan. Saya bukan tak nak bantu. Tapi SOP surau ni tak benarkan bayaran tunai. Sekarang ni banyak sangat penipuan. Lagi pun duit ada dengan bendahari. Bendahari pula berkursus di Ipoh.."

Lelaki itu hanya memerhati wajah imam dengan pandangan kosong tanpa berkata apa-apa. Kekecewaan jelas terpancar di wajahnya.

"Tak apalah tuan. Kalau tak boleh tolong, apa nak buat. Saya minta diri dulu". Lelaki itu memegang tangan anak perempuannya dan mengajaknya beredar tinggalkan surau.

Ketika lelaki itu meningalkan surau, beberapa jemaah mula bersuara:

"Boleh percaya ka duit dia hilang?"

"Ya laa. Entah-entah wayang jer tu. Ramai yang pandai berlakon la ni. Layak dapat oscar pelakon terbaik"

"Zaman sekarang banyak sangat penipuan. Ada yang bawa anak untuk jadikan umpan menarik simpati orang"

"Entah-entah orang tu bukan orang KL pun. Saja acah-acah cakap slang KL. Entah-entah dia pun orang Kedah macam kita juga.".

Saya hanya dengar perbualan ahli jemaah tanpa campur perbualan mereka. Hati saya berbisik: siapa kita untuk menilai niat orang ikhlas atau tidak? Kalau apa yang dikatakan lelaki itu betul, bagaimana? Di mana dia dan anak gadisnya akan tidur malam ini?

Dengan langkah pantas, saya mengejar lelaki dengan anak perempuannya itu.

"Encik ikut saya" kata saya yang kebetulan hari itu ke surau naik kereta. Biasanya saya cuma naik motor ke surau. Tapi hari itu motor ada sedikit problema, terpaksalah saya naik kereta.

Saya bawa lelaki itu balik ke rumah. Di dalam kereta dia beritahu namanya Zakuan.

"Jom encik Zakuan, kita masuk rumah saya dulu. Kita minum sikit" ajak saya bila kereta berhenti di depan rumah.

"Tak payah masuklah, encik. Saya ingat nak ke stesen bas lepas ni. Mana la tau ada rezeki di sana" kata Zakuan sambil cuba membuka pintu kereta untuk keluar.

"Encik Zakuan jangan keluar. Tunggu dalam kereta dulu. Saya nak ambik IC sekejap, tadi terlupa bawa. Nanti saya hantar encik Zakuan ke stesen bas. Tunggu dalam kereta ya?"

Saya masuk dalam rumah, mengambil dompet duit. Biasanya kalau ke surau saya memang tidak bawa dompet. Jarak surau dengan rumah pun bukan jauh sangat dalam 100 meter saja.

Kemudian saya hantar Zakuan dan anaknya ke stesen bas. Sebelum beredar saya hulurkan sedikit wang kepada Zakuan. Rasanya wang tersebut mencukupi untuk beli tiket dua beranak itu balik ke KL.

Masa kereta mula bergerak meninggalkan stesen bas, hati saya berkata: kalau tiket bas habis, bagaimana? Di mana dua beranak tu nak tidur malam ini? Stesen bas bukan tempat terbaik untuk dijadikan hotel penginapan. Di situ ramai penyangak berkeliaran. Saya perlu pastikan mereka ada tiket, lepas itu baru saya balik rumah. Sekurang-kurangnya jika tiket habis dua beranak itu boleh tumpang tidur semalam di rumah saya.

Saya parkir kereta. Kemudian saya masuk ke stesen bas.

Dari jauh ternampak sosok lelaki itu sedang berada di kaunter bas Plusliner. Anak gadisnya berdiri di sebelah. Selepas nampak kerani kaunter menghulurkan tiket kepadanya baru saya keluar dari stesen bas. Lega hati kerana dua beranak itu dapat menaiki bas balik ke rumah mereka.

Saya tidak boleh bayangkan jika saya terpengaruh dengan bisik-bisik jemaah surau yang mencurigai niat Zakuan. Di mana dia dan anak gadisnya akan tidur malam itu jika di dalam poket hanya tinggal RM20?

Malam itu saya tidur dengan nyenyak. Saya telah membuat keputusan yang tepat apabila membantu Zakuan pulang ke KL. Saya bersyukur kerana tidak terpengaruh dengan hasutan manusia suci berjubah labuh dan berserban putih di surau...

NOTA KAKI:
Jangan vote jika tulisan ini tak menarik dan tak bermanfaat. Saya faham dan tak kecil hati jika tiada yang sudi vote. Maafkan saya membuang masa berharga anda 🙏🤦🙏


Nota Dari PenjaraWhere stories live. Discover now