Sekuntum mawar merah elok terletak di atas cadar merah jambu yang menghias kamar Nayla. Nayla mengambil mawar merah itu. Harumannya bagai baru sahaja dipetik dan diletakkan di atas katilnya.
Siapa pulak yang letakkan bunga ini? Abby? Jiah? Tapi untuk apa? Nayla duduk di birai katil. Mawar merah diletakkan ditepi. Hatinya tertanya sendiri. Siapa? Haruman dari mawar itu bagaikan sejambak mawar yang ada. Bagai ruang kamar ini dipenuhi dengan bunga-bunga segar.
Tiba-tiba angin bertiup dingin dari jendela yang terbuka. Bagai ada semangat baru yang muncul dalam diri. Angin itu bagaikan membawa satu pesanan.
Nayla membuka matanya. Tiba-tiba dia ternampak seseorang berdiri di anjung luar. Seorang lelaki yang sedang tersenyum memandang dia. Nayla kedipkan mata dan figura lelaki itu langsung hilang dari pandangannya.
Dia berlari keluar. Bunga mawar masih ditangan. Matanya meliar mencari. Dia menjenguk ke bawah balkoni. Tiada tanda-tanda rumahnya diceroboh. Matanya liar memandang pagar yang tertutup rapat. Cuma ada keretanya dan kereta Abby yang diparkir bersebelahan.
Bukan perasaan. Dia yakin die nampak seseorang tadi.
Nayla menjenguk ke bawah yang ada cuma kedengaran desiran angin yang berbisik. Dedaunan kering dari pohon di depan rumahnya berterbangan.
"Kau cari apa, Nayla?"
Seorang wanita tua muncul di hadapan matanya. Melayang di luar balkoni bilik dalam remang senja yang semakin kelam.
"Bukan urusan kau." Mata Nayla juga tajam memandang.
Wanita tua itu menyeringai menampakkan giginya yang runcing dan tajam. Matanya yang merah dihiasi warna hitam yang menakutkan. Rambutnya yang mengerbang dan tubuhnya yang merangka. Jemarinya yang panjang tiga kali daripada jemari manusia biasa. Runcing dan tajam. Ya, kerana dia bukan manusia. Kerana dia hadir dalam satu alam yang lain. Alam yang berbeza dimensinya. Alam yang sering menjadi ketakutan pada manusia biasa. Anehnya tiada langsung ketakutan di hati Nayla.
"Buangkan mawar itu. Jangan pernah kau simpan."
"Aku tak perlukan pendapat kau dalam hal ini. Jangan ganggu urusan aku." ujar Nayla.
"Urusanmu adalah urusanku. Kerana kau dan aku adalah satu. Aku tak akan benarkan engkau menjadi milik orang lain selain aku. Kau ingat Nayla. Kau tak akan mampu lari dari genggaman aku. Hahahaha........ Kau milikku. Selamanya kau milikku..... Nayla. Milik aku yang abadi. Tiada siapa yang mampu pisahkan kita." Ilaian ketawa wanita tua membingitkan telinga Nayla.
"PERGIIII! Jangan ganggu urusan aku."
Angin mula bertiup kencang. Tubuh di hadapan Nayla perlahan-lahan terbang bagai dibawa angin. Namun hilaian ketawanya masih bergema di setiap sudut. Meremangkan bulu roma bagi sesiapa yang mendengar.
Abby yang berdiri di muka pintu dari tadi sudah menggeletar seluruh badan. Lututnya lemah tiba-tiba. Saat dia buka pintu bilik Nayla seketika tadi dia nampak seorang wanita tua di dalam refleksi cermin sedang memandangnya dengan tajam. Dia cuma nampak Nayla berdiri kaku di balkoni bilik. Saat muazzin melaungkan azan baru muncul kekuatan dalam dirinya.
"Nayla...... " panggil Abby. Nayla berpaling. Entah kenapa Abby merasakan sesuatu yang lain dalam pandangan Nayla
"Ada apa Abby?"
Abby geleng. Cepat-cepat dia ke bilik Nazihah.
YOU ARE READING
2. Kerana Kau Aku Kembali (ON GOING)
HororNayla terus hidup bertemankan iblis sehingga satu saat seorang lelaki muncul. Siapa lelaki itu yang menuntut janji Nayla? Dan ustaz Zarul yang selalu menganggu ketenangan dirinya. "Takdir aku untuknya dan aku akan bawa dia ke syurga." Iblis...