K E S 2 0 : K E B E N A R A N

187 23 6
                                    

"EH? Tuan buat apa dekat sini malam-malam begini?" Mursyid yang masih berada di tempat duduknya bertanya. Hairan dengan keberadaan Aakif di balai. Sempat dia mencicip kopi yang dibancuhnya tadi sambil mata tepat memandang ke arah Aakif.

"Aku ada hal sikit. Ha, Mursyid. Boleh kau tolong aku dalam hal ni?" Aakif terus meletakkan telefon pintarnya di atas meja Mursyid. Tanpa sebarang kata, Aakif berdiri sambil menongkatkan tangan ke atas meja lalu pandangan dilempar ke arah komputer Mursyid yang masih terang menyala.

Mursyid memandang telefon pintar itu. Kemudian, dia memandang Aakif pula dengan dahi yang berkerut seribu. Perasan dirinya sedang diperhati, Aakif memalingkan wajah. Membuatkan mata dua pegawai polis itu bertembung.

"Apa?" Aakif menyoal.

Lambat-lambat Mursyid menjawab, "Arahannya... apa, tuan?"

Barulah Aakif sedar dia hanya meletakkan telefon tanpa memberitahu apa yang perlu dibuat. Cepat-cepat dia membuka sejarah panggilan dalam telefonnya dan menunjukkan nombor tidak dikenali itu kepada Mursyid.

"Aku nak kau buka balik conversation dengan nombor ni." Mendengar arahan tersebut, Mursyid terus mengambil telefon pintar Aakif lalu meneliti nombor tersebut. Tidak lama kemudian, dia memandang Aakif semula.

"Tuan tak ingat apa yang tuan borakkan, ya?" Mursyid tersenyum nakal. Sengaja mahu menyakat Aakif. Siku kirinya digerakkan menyentuh lengan Aakif berkali-kali. Keningnya juga terangkat-angkat. Hendak kata Aakif semakin tua-lah itu.

"Masalah sekarang ni, bukan aku yang jawab. Macam mana aku nak ingat conversation-nya kalau bukan aku yang bercakap?" Nada Aakif kedengaran tegas. Serta-merta menghilangkan senyuman nakal Mursyid.

"Okey, okey." Mursyid pasrah. Tidak mahu lagi bergurau. Terus dia menyambungkan telefon tersebut dengan wayar yang ada di komputer.

Bermacam-macam punat ditekan. Dari satu halaman ke halaman yang lain. Berbagai-bagai perkara yang keluar. Semuanya langsung tidak difahami mata. Jari Mursyid terlihat laju menari-nari di atas papan kekunci. Matanya juga bercahaya dek memantulkan sinar daripada komputer. Apa yang dilihatnya, pasti kelihatan pada iris matanya. Aakif sekadar melihat tanpa mencelah.

Beberapa minit berlalu. Akhirnya, Mursyid menghentikan persembahannya dengan mengangkat tangan tinggi ke udara. Lalu tangan itu dijatuhkan pada kekunci enter. Skrin yang tadinya kosong kini perlahan-lahan menimbulkan huruf dan nombor.

"Voila." Mursyid berkata teruja. Dia kemudian menyandarkan badannya pada kerusi. Cawan berisi kopi diambil lantas dia menghirupnya. Namun, cepat-cepat dia menjauhkan mug itu daripada bibir apabila menyedari ia telah kosong, dan yang dihirupnya hanyalah angin.

Aakif mendekatkan wajahnya dengan skrin. Satu persatu tulisan yang tertera dibaca dengan teliti. Pada awalnya, Aakif mengerutkan dahi. Tetapi, apabila terbaca satu mesej, perlahan-lahan kerutan itu mengendur dan digantikan dengan mata yang kian membuntal.

'Rahsia mengenai kematian Khairul Mustakim'

'12 tengah malam'

'Hospital terbakar Klang'

Dalam banyak-banyak perkataan, tiga ayat itu yang paling menarik perhatiaannya. Dia yakin. Aliff sudah menjawab panggilan tersebut. Apabila dia mengetahui bahawa pemanggil itu tahu mengenai kematian Akim, dia bersetuju untuk pergi tanpa memberitahu Aakif. Jadi, itulah sebab mengapa Aliff menyuruhnya balik dahulu. Rupa-rupanya, inilah 'hal' yang Aliff katakan itu.

Aakif tidak boleh biarkan. Itu mungkin adalah perangkap dan nyawa sahabatnya itu mungkin sedang berada di hujung tanduk. Dia perlu pergi ke sana segera, sebelum semuanya terlambat.

Misi IVTGWhere stories live. Discover now