"WHOA..." Aakif dan Aliff berbunyi serentak, kagum dengan apa yang dilihatnya sekarang. Semasa kereta memasuki perkarangan hotel, mereka sudahpun teruja. Apabila masuk sahaja ke dalam dewan tempat di mana majlis bertapa, makin terkejut dan kagum dibuatnya.
"Selamat datang. Sila selesakan diri, ya?" Seorang gadis cantik berpakaiaan hitam merah menyapa mereka di muka pintu. Dari pakaiaannya, dapat diagak dia merupakan salah seorang dari pelayan di majlis ini. Aliff dan Aakif memandang satu sama lain sebelum sama-sama kembali ber'whoa' dengan lebih kuat. Hilmi hanya mampu menggelengkan kepalanya melihat gelagat tidak matang dua sekawan itu. Buat malu sahaja.
"Aku tak tahu pula cikgu kau kaya sampai macam ni. Siap boleh tempah hotel 5 bintang lagi untuk majlis perkahwinan anak dia." Aliff berkata teruja. Hilmi sekadar memasang telinga.
"Seandainya aku tahu, maka semestinya aku tak akan terkejut macam ni." Kata-kata Aakif itu membawa senyuman sinis pada mulut Hilmi. Cermin matanya ditekan sedikit bagi memastikan ia tidak jatuh.
"Amri Jamaluddin. Bekas seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Lipis. Walaupun sudah pencen dan usia juga meningkat, ia tetap tidak menjadi halangan untuknya memulakan bisnes sendiri. Bisnes penjualan kerepek ubi ini jelas memberi untung juga berjaya menjadi buah mulut para pelanggan. Keenakan dan keserasian perisa yang pelbagai telah menjadi 'enjin' yang menyebarkan iklan kerepek ubi ini dengan pantas. Dari bisnes yang biasa-biasa, akhirnya berjaya menjadi untung besar buat diri juga keluarganya. Dari seorang guru sekolah, akhirnya menjadi businessman yang hebat dan gah." Terang Hilmi dengan panjang lebar. Aliff dan Aakif ternganga tidak percaya. Banyak sangat masa mamat ini sampai boleh tahu semuanya, sedangkan Aakif sendiri pun tidak tahu.
Mungkin ianya kerana cikgu telah menyorokkan perkara ini dari anak-anak muridnya. Aakif yakin, bukan hanya dia. Pasti rakan-rakannya yang lain juga tidak mengetahui hal ini. Sesiapa sahaja dikalangan mereka yang dijemput hadir, pasti akan terpinga-pinga dan terkejut buat beberapa ketika. Sama seperti dirinya. Bagaimana Hilmi boleh mengetahui semua ini? Dia sendiri tidak pasti.
"Seriuslah? Aku tak pernah tahu pun." Sekali lagi Hilmi tersenyum mendengar kejujuran Aakif itu. Senyumannya bukanlah senyuman mesra mahupun manja, tetapi senyuman mengejek yang sengaja disembunyikan supaya tidak kelihatan. Nampak sangat 'budak' ini terlalu sibuk dengan benda yang entah apa-apa sehingga tidak sempat mengetahui dan mengkaji hal-hal sekeliling.
Soalan Aakif itu tidak terjawab. Hilmi terus tersenyum sendirian seperti kerang busuk. Terlampau bangga dengan dirinya kerana lebih beberapa tapak ke hadapan daripada Aakif. Jika diikutkan, seandainya Hilmi tidak memberitahu perkara itu tadi sekalipun, dia tetap akan berada beberapa tapak di hadapan berbanding Aakif.
Sedang mereka berjalan, mata Aakif menangkap sesusuk figura yang berdiri tidak jauh dari mereka. Badan figura itu sedikit gempal. Wajahnya tidak terlihat dek posisinya yang membelakangi mereka. Walaupun begitu, Aakif tetap yakin itu merupakan orang yang dicarinya. Dia tersenyum sendiri.
"Weh, kau berdua pergi cari meja dulu. Aku nak pergi sana sekejap." Ujar Aakif. Belum sempat Aliff menjawab, Aakif sudahpun hilang dari pandangan. Pantas betul.
Aakif berjalan perlahan-lahan ke arah figura itu. Seketika kemudian, dia memberi salam.
"Assalamualaikum, cikgu." Sapanya. Figura yang dipanggil 'cikgu' itu berpaling seraya mulutnya menjawab salam.
"Waalaikummusalam. Eh, Aakif? Aakif, kan?" Di bibir Cikgu Amri terukir satu senyuman manis. Aakif juga turut tersenyum, bangga kerana guru itu masih mengingati wajahnya.
"Ya, cikgu. Saya Aakif. Cikgu apa khabar?" Tangannya dihulur bagi menyalami insan yang telah bertungkus-lumus menaburkan ilmu kepadanya. Andai bukan disebabkan guru-guru, pasti dia tidak berada di sini hari ini, berdiri sebagai seorang wira negara.
YOU ARE READING
Misi IVTG
Mystery / ThrillerIVTG - singkatan 'investigation' ---- Azhad Aakif telah kehilangan ibu bapanya dalam sebuah tragedi ngeri. Lapan tahun kemudian, sahabatnya pula yang pergi mengikuti langkah ibubapanya. Melihatkan sahabat yang dianggap seperti keluarga sendiri dibun...