"HAISH... mana Aakif ni? Beli makanan tak sampai sepuluh barang pun lama ke? Atau dia pergi melahap dekat mana-mana dulu?" Omel Aliff setelah melihat jam yang tergantung di dinding. Pukul 11:50. Lagi 10 minit hendak masuk tengah malam, namun kelibat Aakif tidak juga kelihatan.
Beberapa minit lepas - selepas makan malam, Aliff telah meminta Aakif pergi membeli sedikit makanan untuk diratah sementara dia dan Hilmi cuba merungkai misteri sticky note ini. Walaupun sudah dekat setengah jam mereka menghadap fail-fail dan gambar-gambar bukti, tetap juga tidak temui apa-apa. Setiap huruf masih tidak terungkai maknanya. Setiap mangsa juga belum dijumpai perkaitannya.
Buntu. Semuanya seolah temui jalan mati.
Aliff bersandar pada kerusi. Hilmi berdiri dengan tangannya yang diletak pada dagu tanda sedang berfikir. Matanya tertumpu pada bukti-bukti di atas meja. Dahinya berkerut, otaknya ligat mencari teori yang sesuai.
"Kita dah pernah susun ke huruf-huruf ni?" Soal Hilmi sambil jarinya dituding ke arah sticky note yang bertaburan di atas meja.
Aliff mengangkat muka. "Entah. Rasa macam tak pernah. Kenapa?"
"Mungkin kita boleh cuba susunnya. Mana tahu ia akan menghasilkan apa-apa perkataan?" Hilmi memberi cadangan. Aakif berfikir sejenak sebelum mengangguk setuju. Dia bangun berdiri ingin mendekati Hilmi yang berada di seberang meja bulat itu. Namun, niatnya terbantut sebaik sahaja telefon pintarnya berdering.
'Aakif'. Lantas dia menjawab panggilan itu.
***
Kaki Aakif laju melangkah. Sekejap-sekejap dia melangkau dua mahupun tiga anak tangga bagi mempercepatkan lariannya. Nasib sahajalah kakinya panjang. Wajahnya berkerut, giginya diketap. Air mukanya jelas menunjukkan riak runsing. Risau seandainya dia tidak tiba tepat pada waktu. Nafasnya turun naik dengan pantas sekali.
"Ha, Aakif. Kau dekat mana?" Suara Aliff bergema di corong telefon.
"Aliff! Telefon balai, bomba dan ambulans. Suruh mereka datang ke jalan Cempaka, bangunan depan 7-eleven!" Aakif tidak menjawab pertanyaan Aliff. Terus mengarah sahabatnya memanggil pasukan penyelamat.
Di seberang telefon, Aliff sedang memandang pelik ke arah Hilmi. Hilmi juga sama, memandang dengan penuh hairan. Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba suruh buat report.
"Tapi, kenapa? Ada apa-apa berlaku ke, Aakif?" Aliff menyoal lagi. Aakif tidak berhenti berlari walaupun sekejap. Malah, makin pantas pula kakinya dikorak.
"Tak ada masa nak cerita! Buat saja apa yang aku suruh!" Panggilan lantas dimatikan.
Aakif memandang ke arah dinding yang padanya tertera nombor aras. Dia kemudian mengeluh. Ah, baru aras 5! Dia masih perlu mendaki banyak anak tangga untuk tiba ke aras paling atas, iaitu aras 11. Mampukah dia?
Tidak. Dia perlu lakukannya. Demi nyawa seseorang!
Setelah tiba di aras 6, dia terpandang timbunan-timbunan kotak yang tersusun rapi di tepi dinding. Dia memandang telefon yang masih di tangan sekilas sebelum melemparkannya ke atas timbunan-timbunan kotak itu. Dia tiada masa mahu meletakkannya kembali ke dalam kocek seluar. Maka, terpaksalah ditinggalkan di situ buat sementara waktu.
Setelah hampir 20 minit mendaki tangga dari aras bawah, dia akhirnya tiba ke aras yang ditujunya - aras 11. Senyumannya terukir sebaik sahaja terlihat pintu yang memisahkan tangga dan rooftop. Tanpa berfikir panjang, pintu itu lantas dirempuh.

ANDA SEDANG MEMBACA
Misi IVTG
Mystery / ThrillerIVTG - singkatan 'investigation' ---- Azhad Aakif telah kehilangan ibu bapanya dalam sebuah tragedi ngeri. Lapan tahun kemudian, sahabatnya pula yang pergi mengikuti langkah ibubapanya. Melihatkan sahabat yang dianggap seperti keluarga sendiri dibun...