"SAYA nak minta putus. Maafkan saya, tapi saya rasa saya dah jumpa orang yang jauh lebih sesuai untuk saya."
Telefon yang ditekup ke telinga, jatuh mencium lantai. Hatinya seolah-olah dihempas ke batu. Pecah. Hancur. Berkecai. Air mata tidak dapat ditahan lagi. Jatuh jua membasahi pipi. Dia tergamam. Tiada kata-kata yang mampu meniti keluar. Hanya kesunyian menjadi peneman.
"Umaira? Umaira?" Panggilan tunangnya dari corong telefon tidak diendah. Dibiarkan begitu tidak berjawab.
"B-bagaimana dengan perkahwinan kita?" Perlahan sahaja ia diucap. Cukup-cukup untuk didengarinya sahaja.
Sungguh hati lembutnya hancur. Retak seribu, tanpa langsung boleh dibaiki. Mengapa? Mengapa sanggup jejaka itu membuatnya sedemikian? Setelah apa yang mereka lalui, setelah mencipta beribu-ribu kenangan indah bersama, bagaimanakah dia sanggup meninggalkannya terkelu sebegini? Semata-mata untuk seorang gadis yang lebih baik darinya, segala memori itu sanggup dibuang dan dilupakan.
Sewaktu hatinya mulai sayang, dia meninggalkannya.
Mengapa?
***
Tali yang terikat pada siling diketatkan. Ditariknya tali itu beberapa kali bagi melihat keteguhannya. Dia perlu memastikan tali itu cukup teguh untuk menampung berat seorang manusia.
Nafasnya ditarik sedalam yang mungkin. Kaki kanan diangkat lalu memijak permukaan kerusi, diikuti dengan kaki kiri. Kini, ketinggiannya separas tali yang terikat. Dia memejamkan mata, mengalirkan mutiara-mutiara jernih.
Tangannya menggapai tali yang telah dibentuk bulat. Perlahan-lahan, dia memasukkan kepalanya ke dalam bulatan itu. Cubaannya satu,
Bunuh diri.
***
Punat-punat pada alat kawalan jauh ditekan. Dari satu siaran, ke siaran yang lain. Namun, tiada satu pun yang berjaya menarik perhatian. Dia sendiri tidak pasti sama ada siaran pada hari ini memang membosankan atau sebenarnya dia yang 'takde life'.
Farhan mengeluh.
Gurp~
Secara spontan dia memegang perut. Jam yang melekat pada dinding dipandang. Sudah pukul 2.00 tengah hari. Baru dia tersedar, dia masih belum sarapan pagi! Patutlah semacam sahaja laparnya.
Alat kawalan jauh diletak di atas meja kopi berhadapan televisyen. Farhan bingkas bangun lalu kakinya dikorak ke dapur.
Peti ais dibuka, berharap ada sesuatu untuk dimakan. Namun, hampa... apa yang dijumpa tidak sama dengan apa yang diminta. Peti aisnya kosong.
Sekali lagi, dia mengeluh.
Pintu peti ditutup. Kini, Farhan berjalan pula mendekati meja di biliknya. Di atas meja tersebut terdapat sebuah dompet kecil. Farhan mengambil dompet tersebut lantas ianya dibuka.
Di dalam dompetnya hanya terdapat sekeping duit berwarna merah. Itu sahaja, tiada apa-apa lagi selain itu. Sekali lagi, hampa menyapa dia.
Farhan sudah tidak ada pilihan lain. Telefon pintar yang berada di dalam kocek seluar dicapai lalu jarinya ligat menekan nombor seseorang untuk didail. Beberapa ketika telefon itu berdering, sebelum bunyi deringan itu hilang.
"Helo, assalamualaikum. Farhan, kenapa telefon?" Kedengaran suara seorang wanita di corong telefon. Mungkin berumur lingkungan awal 30-an.

ANDA SEDANG MEMBACA
Misi IVTG
Misteri / ThrillerIVTG - singkatan 'investigation' ---- Azhad Aakif telah kehilangan ibu bapanya dalam sebuah tragedi ngeri. Lapan tahun kemudian, sahabatnya pula yang pergi mengikuti langkah ibubapanya. Melihatkan sahabat yang dianggap seperti keluarga sendiri dibun...