E P I L O G

260 32 23
                                    

BEBERAPA hari sudah berlalu. Kejadian hari itu umpama satu sejarah hitam yang tiada siapa mahu ingati. Apatah lagi, bagi aku yang merupakan mangsa kepada kejahatan dunia.

Keadaan menjadi semakin baik dan baik. Aku dan Aliff kembali ke balai seperti biasa. Dan kami terus menerus merungkai misteri dan menangkap penjenayah seperti polis-polis yang lain. Tiada lagi misteri sticky note. Tiada lagi pembunuhan berisiri.

Hilmi sudah pulang ke kampung halamannya, yakni di Terengganu dan terus berkhidmat menangkap penyangak di sana. Kami sudah lama tidak berhubung. Tetapi kali terakhir aku melihatnya, dia dalam keadaan yang baik dan sihat.

Aliff pula apa kurangnya. Masalah antara dia dan keluarganya sudahpun selesai. Penyakit schizophernia-nya tidak lagi menunjukkan sebarang masalah. Dia kembali sihat. Kembali ceria sepertimana yang aku kenal dahulu. Walaupun dia juga hampir mati dalam pertarungan Paksu hari itu.

Paksu. Lama aku tidak sebut nama itu. Nama seorang lelaki yang aku anggap seperti abang sendiri. Tetapi rupa-rupanya seseorang yang berdendam hingga sanggup membunuh abang sendiri. Tapi... itu tidak pula memberi makna aku gembira dengan pemergiannya. Cerita ini pasti akan jadi lebih gembira seandainya Paksu masih hidup dan diberikan peluang kedua. Macam Farhan.

Oh, ya. Dengar cerita, lepas keluar penjara hari itu, Farhan kini menguruskan syarikat ibu saudaranya. Siapa sangka? Orang yang pernah diupah untuk membunuh aku dahulu, sebenarnya adalah anak saudara kepada isteri Paksu sendiri (senang cerita anak saudara Paksu-lah). Tambahan pula, orang yang asalnya diburu pihak berkuasa, kini merupakan seorang lelaki yang banyak berjasa kepada negara.

Ah! Look on how the table has turned.

Kadang-kadang juga, Farhan membantu aku dan Aliff dalam menyelesaikan kes bunuh. Memandangkan dia pernah menjadi seorang pembunuh, maka mudah untuknya faham motif dan cara pembunuhan mangsa. Memang membantu. Tidak kurang juga masa kosong yang diluangkan di rumah kami. Dia sering juga datang membawa pelbagai juadah.

Kami yang asalnya memburu satu sama lain, kini telah menjadi satu kumpulan bersahabat. Hebat bukan plot twist yang dibuat Allah?

Hari demi hari juga, aku belajar benda baharu. Sebenarnya, dari awal tertubuhnya Misi IVTG ini lagi aku sudah banyak peroleh benda baharu. Kini, aku sudah sepenuhnya redha dengan pemergian Akim. Begitu juga dengan ujian-ujian yang aku hadapi. Benarlah kata Aliff, masakan muncul pelangi jikalau tanpa hujan?

Aku datang ke Bukit Aman untuk menghukum pembunuh Akim. Tapi, nampaknya... itu bukan lagi tujuan sebenar aku. Mulai hari ini, aku akan berusaha untuk menjadi seorang inspektor berjaya. Segala kejahatan akan aku berkas kerana sekecil-kecil kebenaran pasti akan timbul menyuluhi kegelapan.

Aku masih belum cerita apa yang berlaku dekat keluarga Paksu, bukan? Selepas kematian Paksu, Maksu memang sangat terkilan. Dia juga turut sama terkejut dengan kebenaran tersebut. Berhari-hari dia telefon dan memohon maaf daripada aku. Setiap kali dia telefon juga, aku pasti akan kata, "Tak apa... saya dah lama maafkan Paksu." Ayat aku itu serba sedikit melegakan Maksu.

Tapi... tetap tidak boleh nafi hakikat Maksu kini bersendirian tanpa suami mahupun anak. Maksu pernah bercadang hendak pulang ke kampung. Namun segera dihalang oleh Farhan. Katanya, dia akan jaga Maksu. Sebagaimana Maksu menjaganya dahulu.

Walaupun nampak tegas, Farhan sebenarnya seorang yang baik hati. Lebih lama aku kenal dia, lebih banyak sisi baik yang aku nampak. Sampai pada satu tahap, aku langsung tidak teringat bahawa Farhan merupakan seorang pembunuh bersiri suatu ketik dahulu. Ah, tidak mengapalah! Benda yang lepas buat apa hendak dikenang?

Hm.. kadang-kadang, kata-kata Akim pasti akan jengah fikiran aku. "Setiap yang hadir, pasti akan pergi. Setiap yang pergi, pasti akan diganti." Serba-sedikit, aku mula faham dan merasakan ianya benar. Aku mungkin kehilangan ibubapa dan juga sahabat, tapi kemudian Allah hadirkan pelbagai jenis manusia yang akan membantu aku dalam kehidupan.

Tambahan pula....

***

"Oi, jauh termenung." Aliff menyapa bersama senyuman yang tidak lekang. Di tangannya ialah dua bekas kopi yang masih panas. Satu untuknya, satu lagi dihulur kepada Aakif.

"Ha'ah. Dah sampai Korea, kau tahu?" Seloroh Aakif lantas menyambut huluran tersebut. Aliff pula sudah melabuhkan punggungnya bersebelahan Aakif.

"Eh, Aliff. Dah berbulan juga kan kita tak dapat kes?" Aakif memula bicara.

"Hm, itulah. Aku pun dah bosan dah ni. Tapi bagus juga. Paling kurang, kita dapat tahu yang tempat ni makin selamat."

"Cuba bayangkan seandainya satu hari nanti, Malaysia mencatatkan 0% kadar jenayah. Agak-agak apa yang akan jadi dekat kita eh?"

"Jadi apa lagi? Mereput dekat rumah makan popcorn saja lah. Haha." Aakif turut tergelak mendengar lawak Aliff. Ada-ada saja.

"Kau rasa... ada tak eh tempat dalam negara ni yang penuh dengan jenayah?"

"Entahlah, Kif... tapi seandainya ada, kita pasti akan ke sana suatu hari nanti." Ujar Aliff sebelum menghirup sedikit kopinya. Aakif memandang Aliff sekilas sebelum melemparkan kembali pandangannya ke arah hamparan tasik di hadapan.

"Eh, Aliff."

"Apa?"

"Akim pernah cakap dekat aku, yang setiap yang pergi pasti akan diganti. Apa pendapat kau?" Aakif menduga. Wajahnya ditoleh melihat Aliff.

"Hm... kalau kau tanya aku, aku akan cakap aku setuju. Tapi kurang setuju." Aliff menjawab tanpa perlu berfikir panjang.

"Kenapa?"

"Sebab... belum tentu semua orang yang tinggalkan kita tu boleh diganti. Contohnya macam ibubapa. Hilang mereka tiada berganti. Tetapi jika sahabat, maka aku kata boleh diganti. Cumanya... belum tentu pengganti tu benar-benar sama dengan sahabat lama kita."

Aakif terangguk-angguk.

"Tapi... aku ada jumpa orang yang hampir gila samanya dengan Akim. Aku rasa... dialah pengganti yang Allah hadirkan."

Aliff memandang Aakif. Wajahnya nampak teruja.

"Serius-lah? Siapa orang tu?"

"Kau." Aliff terkedu. Dia memandang Aakif dengan wajah tidak percaya. Biar betul?

Aakif faham dengan ekspresi itu. Lantas dia mengukir senyum seraya berkata, "Ya, betul. Banyak benda yang ada pada kau, ada juga pada Akim. Cuma bezanya... kau lembut sikit. Akim kasar."

"Kau tahu tak, Aakif? Kau tak gantikan siapa-siapa dalam hidup aku. Sebab..." leher Aakif dirangkul kasar. "Kau adalah sahabat pertama aku."

Aakif gelak kecil. Begitu juga dengan Aliff. Mereka sama-sama tersenyum bahagia. Bahagia kerana masih diberikan nikmat bersahabat. Sahabat yang baik, adalah mereka yang ada bersama ketika susah dan senang. Sahabat yang baik juga, adalah sahabat yang akan berusaha membimbing sahabatnya bersama ke syurga.

Itulah definisi sahabat.

***

Misi: IVTG
Status: berjaya

Inspektor Azhad, out.

-TAMAT-








Misi IVTGWhere stories live. Discover now