K E S 1 1 : T R A G I S

199 26 6
                                        

SETELAH hampir 12 jam dia bekerja, akhirnya tiba masa untuknya pulang dan berehat. Dia berjalan keluar bersama beg kerja yang dibimbit. Senyumannya terukir indah memikirkan kegembiraan sang isteri apabila dirinya tiba nanti. Mendengar si isteri memanggilnya lalu memeluk erat tubuhnya yang penat sudah dapat dibayang-bayang. Ah, indah sungguh!

Makin pantas kakinya dikorak keluar daripada pejabat. Dia perlu segera ke kereta yang terletak di tempat parkir seberang jalan, berhadapan dengan pejabat tempatnya bekerja. Keluar sahaja daripada pejabat, dia mengeluh.

"Haih... hujanlah pula." Ujarnya. Percakapannya kedengaran pelat. Terselit loghat Cina di dalamnya.

Beg yang dibimbit dipandang sekilas. Beg kulit itu lantas diangkat dan dijunjung di atas kepala. Dalam kiraan tiga, dia berlari dengan sekuat yang dia mampu. Tiba sahaja di seberang jalan, cepat-cepat dia menukar arah mencari kenderaannya. Hujan tidaklah lebat. Tetapi cukup untuk membuat pakaiaannya basah.

Pintu kereta Honda City itu dibuka. Tanpa membuang masa lagi, dia terus masuk dan duduk di kerusi pemandu. Pintu terkatup kembali. Nafas lega dilepaskan. Beg kulit yang sudah basah diletak di atas kerusi penumpang. Selamat beg itu diperbuat daripada kulit. Jika tidak, pasti barangan dan dokumen-dokumen di dalamnya basah kuyup. Malah, mungkin ada yang terkoyak ataupun rosak.

Enjin kereta dihidupkan dengan lancar. Gear ditarik dan berhenti di D. Kedua belah tangan kuat memegang stereng kereta. Pedal minyak ditekan sebelum...

BOOM!!

***

Televisyen dipandang tanpa kerlipan. Drama yang ditayang langsung tidak menjadi tatapan. Fikiran Hilmi menerawang. Dia termenung.

Aakif dan Aliff tiada di rumah kini. Kedua-dua mereka sedang bekerja. Hanya dirinya yang berada di sini sekarang. Akibat lukanya yang sedikit parah berbanding dua yang lain, dia akhirnya diberi cuti.

Walaupun tidak bekerja, otaknya tetap tidak dapat berhenti berfikir. Lebih-lebih lagi mengenai kejadian yang berlaku malam semalam. Hanya dengan satu pembongkaran, mampu menukar perspektifnya terhadap seseorang.

Imbas kembali...

Kunci pintu dibuka. Dengan hanya sekali pulas, pintu itu pun terkuak dengan luas. Aakif melangkah masuk dengan mukanya yang dipenuhi luka dan lebam akibat perlawanan tadi. Di belakangnya adalah Aliff yang sedang memapah Hilmi. Tidak nafi, luka dan sakit pada badan Hilmi adalah lebih teruk daripada yang ada pada dirinya.

Aakif menghempas badannya pada sofa. Namun, perbuatannya itu diakhiri dengan satu penyesalan. Akibat hempasan yang kuat, belakang badannya yang lebam sakit kembali. Aliff meletakkan Hilmi perlahan-lahan di atas sofa berhadapan Aakif. Kemudian, barulah dia selesa untuk melabuhkan punggung ke atas sofa yang berada di hadapan antara Aakif dan Hilmi.

Sunyi. Hanya bunyi kipas berpusing menjadi melodi. Masing-masing senyap membisu, masih kelu lidah dengan apa yang baru berlaku.

Aakif menukar posisi duduknya. Kini, dia tidak lagi bersandar. Kedua belah bahunya ditongkat pada lutut. Jari-jemari kiri dan kanan bercantum. Wajahnya tertunduk rendah, memandang lantai yang sedikit berhabuk. Kepalanya dieleng berkali-kali.

"Aku tak sangka. Dia dah tak ada. Mereka dah bunuh dia. Mereka bunuh cikgu aku, Aliff! Aku dah gagal... gagal sebagai seorang polis, dan gagal sebagai seorang murid. Aku..." Aakif tidak mampu menamatkan kata-katanya. Dia menekap wajah dengan kedua belah telapak tangan. Mutiara-mutiara jernih yang mula berkaca pada matanya cuba ditahan supaya tidak tumpah.

Misi IVTGTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang