"BERITA terkini. Pembunuh misteri yang telahpun membunuh dan menghuru-harakan Kuala Lumpur kini telah berjaya diberkas." Ayat yang dikeluarkan oleh pemberita dari televisyen telah berjaya menarik minat Fatasya yang sedari tadi sibuk mengelap gelas. Dia berjalan keluar daripada dapur semata-mata mahu melihat dengan lebih jelas gambar yang terpapar pada televisyen restoran.
Dia melengguk memandang ke arah televisyen yang terletak di atas kepalanya. Berita kali ini agak sensasi. Penangkapan pembunuh misteri yang dinanti-nanti para anggota polis juga rakyat menjadikan suasana di dalam restoran sedikit kecoh. Kesemuanya mahu melihat wajah manusia yang tidak berhati perut itu.
Ada yang sudah mula mengomel disusuli dengan kecaman dan hinaan tanpa mengenal tuan empunya badan. Biasalah, manusia.
"Weh, Farhan ada telefon kau tak? Dah berapa hari dah ni dia tak masuk kerja. Berapa kali aku telefon pun tak diangkatnya. Apalah yang dibuatnya ya..." Farin mengomel sendirian.
Telefon yang dipegang ditatap lama. Dia mengeluh kecil. Hampa. Ditelefon rakan sekerjanya, suara perempuan yang memberitahu 'harap maaf nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi' pula yang berbunyi.
"Tak ada. Weh, Farin. Mari sini. Tengok siapa masuk TV!" Panggil Fatasya penuh teruja. Siap ditarik-tarik lagi lengan adiknya mahu mempercepatkan langkah Farin.
Tiba sahaja Farin berdekatan televisyen, terus Fatasya menuding jari telunjuknya ke arah televisyen di atas. Farin melihat. Nampaknya, jari Fatasya itu sedang dituding ke arah satu muka tampan yang sedang ditemu ramah oleh seorang pemberita. Mulutnya pula terkumat-kamit menjawab soalan demi soalan.
Farin yang melihat membulat matanya. Tidak percaya.
"Tu kan..." kata-kata Farin tidak sempat dihabiskan akibat dipotong.
"Ya! Tulah abang polis kau hari tu! Tak sangka pula dia siasat kes ni." Ujar Fatasya kedengaran penuh teruja. Farin memandang kakaknya dengan pandangan jelek. Lelaki idaman orang lain, orang lain pula yang teruja.
Tidak lama kemudian, Farin kembali menatap telefon pintarnya yang sedari tadi berada di dalam genggaman. Dia membelek-belek senarai kontak-nya untuk mencari nombor seseorang. Nombor yang sama didailnya tadi, tidak lain dan tidak bukan Farhan.
Fatasya yang tadinya tersenyum lebar memandang televisyen kini berubah air muka. Wajahnya kelihatan terkejut bercampur tidak percaya. Gambar inspektor kacak tadi telahpun bertukar kepada gambar suspek yang mereka temui. Kelihatan seorang lelaki yang sedang berjalan diiringi dua orang polis memasuki kereta. Pada awalnya, wajah penjenayah tersebut tidak berapa jelas. Apabila kamera mula bergerak mendekati kereta polis tersebut, satu kejutan menyapa Fatasya.
Dia mencuit-cuit lengan adik di sebelahnya. Farin memandang dengan dahi yang berkerut seolah bertanyakan 'apa?'.
Tanpa memandang adiknya, Fatasya berkata, "aku rasa aku tahu mana Farhan." Perlahan-lahan jari dituding kembali ke arah skrin televisyen yang memaparkan wajah di penjenayah. Farin memandang. Matanya membulat.
"F... Farhan?"
***
"Seorang lelaki berumur 26 tahun dan berbangsa Melayu ini telah disyaki dalang pembunuhan bersiri selama ini. Suspek yang diberi nama Farhan Fahimi Bin Daud ini juga mengaku telah membunuh seorang remaja berumur 17 tahun 6 tahun lalu. Suspek akan terus disoal siasat dengan lebih lanjut sebelum hukuman dijalankan."
Alat kawalan jauh dicapai. Punat berwarna merah ditekan. Bilik yang tadinya terang dengan cahaya televisyen mulai malap. Hanya cahaya daripada lampu lantai berketinggian 1 meter sahaja yang menerangi segenap ruang bilik kecil itu.
YOU ARE READING
Misi IVTG
Mistério / SuspenseIVTG - singkatan 'investigation' ---- Azhad Aakif telah kehilangan ibu bapanya dalam sebuah tragedi ngeri. Lapan tahun kemudian, sahabatnya pula yang pergi mengikuti langkah ibubapanya. Melihatkan sahabat yang dianggap seperti keluarga sendiri dibun...