FARHAN memanjangkan tengkuknya. Tercari-cari kelibat seorang wanita yang bakal menemuinya tidak lama lagi. Hari itu, dia sengaja minta keluar kerja awal semata-mata mahu berjumpa dengan si gadis pujaan hati.
Jam di tangan ditilik. Sudah 15 minit dia menunggu, namun kelibat gadis itu belum juga muncul. Farhan cuba positif. Mungkin bos sang gadis tidak melepasnya awal.
Tidak lama selepas itu, kelibat seorang wanita berumur lingkungan awal 20-an muncul di balik daun pintu. Senyuman manis akhirnya terukir di bibir Farhan. Dia bangun, ingin menyambut kedatangan gadis pujaan.
"Lama ke tunggu? Maaflah, awak. Bos tak bagi saya keluar awal." Gadis itu meminta maaf sebelum melabuhkan punggungnya ke atas kerusi berhadapan jejaka itu.
"Eh, tak apa. Saya dah agak dah. Bos awak tu bukannya jenis boleh bawa bincang. Jadi, jangan risau... saya tak marah." Senyuman penuh manis terukir di akhir kata. Hanya dengan satu senyuman, cukup membuatkan Tenessa cair. Bukan sahaja baik, kacak pula itu. Memang tepat pilihannya!
"Eh, apa yang awak sengih-sengih lagi tu? Pergilah pesan makanan. Ni tak. Tengok saya macam tengah tengok sesuatu yang luar biasa saja." Terus Farhan mengalihkan pandangannya menghadap minuman yang telah dipesan tadi. Jus oren itu dihirup penuh nikmat. Sejuk. Sangat sesuai diminum ketika panas begini.
"Seandainya bidadari itu wujud, maka pastilah bidadara pun wujud. Kan? Lagipun, saya ada bukti bahawa bidadara itu ada." Tenessa merehatkan kepalanya di atas tangan yang ditongkat. Dia memandang Farhan dengan senyuman. Tersedak jejaka itu dibuatnya.
"Ish, awak ni. Janganlah macam-macam. Ketuk kang..." Farhan mengangkat tangan, konon mahu memukul. Perbuatan itu akhirnya menjemput tawa dari gadis genit itu.
"Awak..." panggil Tenessa.
"Hm?"
"Saya dah fikir masak-masak. Saya rasa saya nak masuk Islam lah." Buat kali kedua, Farhan tersedak. Betulkah apa yang didengarinya kini?
"Tapi, kenapa?" Bukanlah dia tidak gembira akan hal itu. Tapi, sengaja mahu tahu sebab gadis itu membuat keputusan drastik sebegitu.
"Entahlah... sepanjang perkenalan kita, awak banyak tunjuk ajar saya mengenai agama Islam. Memang awak tak ajar secara direct, tapi tindak-tanduk awak sudah cukup untuk buang persepsi buruk yang saya nampak pada agama mulia ni." Farhan tidak dapat menahan dirinya. Perlahan-lahan senyuman lebar terukir mendengar penjelasan Tenessa. Siapa sahaja tidak gembira apabila mengetahui rakan non-muslim mereka tertarik dengan agama tercinta ini kerana tingkah-laku mereka? Sungguh, hidayah itu milik Allah!
Farhan tersengih mengingatkan kata-kata gadis itu semalam. Sungguh indah keputusan gadis itu. Sungguh dia terharu akan pilihan gadis itu. Namun...
"Jadi, Tenessa. Satu saja aku minta..."
Kayu itu dilibas, tepat mengenai kepala Tenessa. Mayatnya jatuh ke tanah, mewarnai lantai dengan warna merah pekat.
"...maafkan aku."
Farhan tergelak kecil. Terasa dirinya bodoh. Terasa dirinya jahil.
"Aku tak sangka aku baru saja bunuh seorang wanita yang dah terbuka hati nak peluk Islam. Apatah lagi, dia terbuka hati disebabkan aku? Farhan... Farhan... kau memang munafik." Dia mengherdik dirinya sendiri. Baginya, memang patut dia dihina. Segala perilaku dan perbuatannya, semua hanya membawa murka Yang Maha Esa. Andai ada yang tahu mengenai perbuatannya ini, pasti dia akan dilabel ahli neraka. Ironinya, dia langsung tidak kisah. Mungkin memang benar tempatnya adalah di neraka jahanam. Sudah tiada harapan lagi untuknya menikmati keindahan syurga. Entah-entah, bau syurga pun dia tidak dapat hidu.
YOU ARE READING
Misi IVTG
Misterio / SuspensoIVTG - singkatan 'investigation' ---- Azhad Aakif telah kehilangan ibu bapanya dalam sebuah tragedi ngeri. Lapan tahun kemudian, sahabatnya pula yang pergi mengikuti langkah ibubapanya. Melihatkan sahabat yang dianggap seperti keluarga sendiri dibun...