K E S 2 : P E R M U L A A N

298 32 28
                                    

DALAM keheningan malam, bunyi cengkerik memecah sunyi. Di dalam sebuah bilik yang malap, keadaan sekelilingnya sunyi tanpa sebarang bunyi. Dapat dilihat di penjuru bilik tersebut sesusuk tubuh kecil seseorang sedang memeluk lutut dengan mukanya yang disebam. Dia menangis.

"I... ibu hiks... ibu..." Esak tangis kanak-kanak itu jelas kedengaran. Jika dilihat dari sudut dekat, dapat dilihat tangannya yang penuh dengan parut dan luka, seolah-olah telah beribu kali dipukul oleh sesuatu yang keras.

Krak~

Bunyi pintu dikuak bergema, memenuhi segenap sudut ruang bilik. Cahaya terang benderang masuk melalui celahan dedaun pintu lalu menerangi segelintir bilik. Tapak kaki seorang lelaki lingkungan 30-an kedengaran, membuatkan kanak-kanak itu mengangkat mukanya. Matanya yang terbelalak jelas menunjukkan riak takut. Badannya menggigil.

Di tangan lelaki itu terdapat seutas tali pinggang kulit yang dihayun-hayun beberapa kali. Bunyi yang kuat terhasil dek hayunan tersebut. Kelajuan yang sesuai dicari. Dia perlu melunaskan segala amarahnya kepada anak kecil di hadapan.

Sungguh, lelaki itu tidak punya hati.

"Aliff... Aliff minta maaf, ayah. Aliff minta maaf. Maafkan Aliff!" Jeritan kanak-kanak itu langsung tidak diendah. Wajah bengis ayahnya semakin menghampiri sebelum tali pinggang itu dihayun mencium kulit nipis kanak-kanak yang hanya mampu menjerit dan menangis kesakitan.

Seksa.

***

Hari berganti hari, minggu berganti minggu. Hari yang selama ini menghantui kini telah pun tiba. Para pelajar lainnya mulai bercuti, namun mereka masih lagi di sini. Masih dalam perjuangan yang belum berakhir. Harapan tinggi diletakkan di atas bahu mereka. Betapa beratnya ia, sehingga terkadang mengalirnya air mata. Merekalah, calon-calon SPM.

Dewan umpama medan perang. Soalan peperiksaan umpama musuh yang datang menyerang. Senjata mereka adalah pen, ilmu di dada adalah perisai. Jika tanpa perisai seorang pahlawan boleh terbunuh, tanpa ilmu pula seseorang pelajar itu akan jatuh menyembah lembah kegagalan.

Jam di dinding berdetik. Tik tok.. tik tok... pengawas yang bertugas tidak berhenti berjalan mengelilingi para pelajar bagi memastikan tiada percubaan meniru. Mata para pengawas tidak ubah seperti mata Sang Helang, amat tajam, hanya menunggu masa untuk menyerang. Jam dikerlih beberapa kali. Apabila waktunya tepat, semuanya akan tamat tanpa terlambat walau sesaat.

"Baiklah, masa sudah tamat. Sila letakkan pen dan berhenti menulis." Ketua pengawas memberi arahan, membuatkan semua pelajar tergamam. Mahu tidak mahu, pen yang dipegang terpaksa juga diletakkan. Siap atau belum, semuanya kena.

"Alamak! Satu soalan lagi belum siap! Macam mana ni?" Aakif mulai panik. Jika ditinggal tidak berjawab, nanti rugilah markah. Kalau mahu difikirkan jawapan, pengawas sudahpun bergerak mengutip kertas. Apa patut dia lakukan?

"Ah! Tembak sajalah!" Keputusan dibuat. Matanya dipejam. Kalimah suci bismillah dibaca. Tanpa memandang kertas, jawapan dibulat. Tawakkal kepada Allah, moga-moga jawapan itu tepat.

"Baiklah. Dengan tamatnya kertas terakhir, maka tamatlah peperiksaan SPM pada tahun ini." Dewan yang asalnya senyap kini menjadi gempita akibat jeritan keriangan para pelajar. Hari itu merupakan hari bersejarah buat mereka, hari di mana keringat dan penat lelah mereka dibalas dengan satu kebebasan.

Sebaik sahaja tamatnya peperiksaan, pelajar lain bergegas mahu pulang dan meraikan kebebasan ini. Namun, tidak bagi Aakif dan Akim. Kedua mereka tidak terlebih dahulu pulang. Sebaliknya, mereka menuju ke kantin untuk menarik mafas lega terlebih dahulu.

Misi IVTGWhere stories live. Discover now