"HAI, saya ke sini nak daftar masuk ujibakat pelakon yang RidzCo Film tawarkan tu." Farhan menyapa penjaga kaunter dengan penuh riang.
Wanita awal 20-an yang tadinya ralit menyusun buku-buku di atas kaunter terhincut sedikit bahunya, terkejut dengan kehadiran Farhan. Dadanya diurut beberapa kali. Nasib sajalah dia tidak punya penyakit jantung.
Selepas berjaya menenangkan diri, Gadis Penjaga Kaunter mengalihkan pandangannya ke arah Farhan. Riak wajahnya tidak kelihatan mesra. Sebaliknya, kelihatan bingung. Dia memandang kiri dan kanan silih berganti sebelum membuka bicara.
"Encik, encik datang dari mana?" Soalannya membuatkan Farhan mengerutkan dahi. Datang dari mana, dia tanya?
"Datang dari luarlah. Tak kan datang dari bawah tanah kut." Balas Farhan, sarkastik. Di akhir kata, sempat dia tergelak kecil. Namun, wajah gadis itu jelas menunjukkan dia tidak terhibur.
"Tapi, pintu hadapan belah kanan. Encik datang dari belah kiri. Belah kiri pintu belakang bangunan."
"Err... ya, memang saya datang dari belah kiri. Tapi itu tak bermakna saya masuk guna pintu belakang. Tadi, saya pergi tandas kejap. So technically, saya dari tandas." Gadis Penjaga Kaunter terangguk-angguk mendengar penjelasan itu.
"Erm, mana borangnya? Saya tak sabar-sabar dah ni nak daftar." Farhan menukar topik.
"Oh, maaf ya, encik. Saya tak boleh beri borang tu kepada encik." Farhan sedikit terkejut mendengar jawapan gadis di hadapannya itu.
"Kenapa?"
"Sebab kami dah tutup. Kalau encik nak daftar, boleh daftar esok." Bersama sekuntum senyuman, gadis itu berkata.
"Tapi, hari ni kan tarikh tamat tawaran tu?"
"Ya, benar. Itulah sebabnya saya kata encik boleh datang esok." Farhan menggaru kepala. Apa ke pelik sangat ayatnya tu?
"Ala, bolehlah..."
"Maaf encik, tak boleh." Gadis itu masih berkeras.
"Please..." Rayu Farhan sambil membuat puppy eyes. Acah cute.
Gadis Penjaga Kaunter masih tersenyum. Kali ini, senyumannya lebih lebar. Dia mengangkat tangannya lalu berkata, "Pintu keluar belah sana, ya." Sambil jarinya menuding ke arah pintu utama.
Farhan memandang Gadis Penjaga Kaunter dengan pandangan tidak percaya. Senyuman yang diberikan gadis itu tidak kelihatan manis di mata Farhan, kerana senyuman itu seoalah-olah diukir untuk menyindirnya. Cis!
Farhan merenung gadis itu, tajam. Dia akhirnya pasrah dan beredar dari situ. Almaklumlah, sudah dihalau. Apa lagi yang boleh dia buat?
Belum sempat melangkah keluar dari pintu, dia berpatah balik.
Dia berdehem beberapa kali. "Tertinggal pen saya." Pen biru di atas kaunter lantas diambil. Kali ini, barulah dia benar-benar beredar.
Gadis Penjaga Kaunter tidak lepas memandang Farhan. Masih, dengan senyuman jengkelnya. Dia menghantar Farhan dengan ekor mata sahaja.
Setelah kelibat Farhan hilang dari pandangan, dia kembali melakukan kerja yang terbantut tadi - menyusun buku-buku di kaunter. Selang beberapa saat kemudian, penggera di pintu utama berbunyi, menandakan ada orang masuk. Gadis itu mengeluh. Seolah-olah sudah mengetahui siapa gerangannya.
'Nak apa lagi mamat ni? Tak cukup ke aku halau dia tadi?' Getus hatinya.
Secara malas-malas dia mengalihkan pandangan ke muka pintu. Sangkaannya tepat, Farhan. Tetapi bezanya, wajah Farhan tidaklah kelihatan bengis seperti tadi. Sebaliknya, ia kelihatan pucat. Matanya juga turut sama membulat.
YOU ARE READING
Misi IVTG
Mystery / ThrillerIVTG - singkatan 'investigation' ---- Azhad Aakif telah kehilangan ibu bapanya dalam sebuah tragedi ngeri. Lapan tahun kemudian, sahabatnya pula yang pergi mengikuti langkah ibubapanya. Melihatkan sahabat yang dianggap seperti keluarga sendiri dibun...