"UMI, Aniq pergi dulu!" Laung Aniq yang sudah berada di pintu, mengikat tali kasut. Hampir sahaja dia terjatuh ketika bangun daripada duduk kerana tali kasut yang tidak diikat dengan kemas.
Hari ini hari Selasa. Guru paling garang sekolah bertugas pada hari ini. Dia tidak mahu lewat kerana silap hari bulan, kepalanya mungkin tergantung menggantikan bendera sekolah. Bukanlah dia tidak tahu. Sudah ramai kawan-kawannya yang pernah kena libasan lagenda Cikgu Samad. Mungkin tidak ada lagi yang dipenggal - yalah itu sesuatu yang kejam. Tidak mungkin seorang guru sanggup bertindak sedemikian. Tetapi, libasan rotan dan juga suara lantang guru berusia itu rasanya mampu mengejutkan singa yang sedang tidur. Tidak padan langsung dengan tubuhnya yang kurus lagikan keding.
Bagi mengelak daripada denda, maka dia perlulah menjadi pantas sepantas harimau bintang.
Dengan sekali lompat, Aniq sudah berada di atas motorsikalnya. Kunci dimasukkan ke dalam lubang yang tersedia. Starter ditolak pantas. Namun, tiada apa-apa berlaku membuatkan Aniq mula berkerut kehairanan. Dia melakukan perkara yang sama sekali lagi.
Senyap. Enjin langsung tidak mengaum sebagaimana yang sepatutnya. Dicuba buat kali ketiga, sama sahaja. Aniq mula naik bengang. Maka, makin ganas-lah dia menolak starter yang sudah kelihatan mahu patah. Tidak juga hidup. Dia memandang bar minyak. Masih penuh. Tahulah dia bahawa motor itu bukan kehabisan minyak, tetapi telah rosak.
"Masa-masa nilah kau nak buat hal, kan motor? Dasar syayatin!" Kaca meter motor tersebut dipukul kasar. Bunyi yang kuat terhasil disulami erangan daripada Aniq. Sedikit menyesal dengan perbuatan tadi kerana yang sakit adalah dia, bukan motor tersebut. Andai motor itu bernyawa, maka pasti halaman rumah itu sudah dipenuhi dengan tawa sinis daripada sang motor.
Aniq melihat jam tangan. Dia menghela nafas. Sekolahnya tidaklah terlalu jauh daripada rumah. Sekitar 300 meter sahaja. Namun untuk berjalan kaki pada waktu sesingkat ini, pastinya dia tidak akan tiba tepat pada masa. Natijahnya, dia akan didenda jua. Dia berfikir untuk ponteng. Tetapi memikirkan alasan yang tidak kukuh, pasti dia akan kena lebih teruk pada hari keesokannya. Tambahan pula, bagaimana dia mahu memberikan alasan kepada umi dan abi sekiranya dia hendak ponteng? Berpura-pura demam? Tidak. Itu adalah satu penipuan. Dia tidak mahu menipu, apatah lagi menipu ibubapanya.
Aniq menghempap kepalanya pada motor. Sesungguhnya, dia telah mati akal.
"Motor rosak-kah? Nak abang tumpangkan?" Datangnya suara itu membuatkan Aniq mengangkat wajahnya kembali, melihat tepat ke arah empunya suara.
Aliff yang sedang tersenyum lebar bersama bahu yang disandar pada muka pintu dipandang. Kelihatan tangan kanan abangnya itu diangkat separa dada. Kling kling berbunyi sebaik sahaja kunci digoncang-goncang bersentuhan antara satu sama lain.
Wajah yang tadinya resah seolah hilang dimamah angin mendayu pagi. Aniq kini tersenyum kembali.
***
"Weh, asal kau lambat? Mati-mati aku ingat kau tak datang." Faiz menyoal sebaik sahaja melihat gerangan seorang remaja lelaki berbaju putih melangkah masuk ke dalam kelas bersama beg galas yang tidak digalas. Sekadar dibimbit. Remaja itu menghampiri Faiz sebelum melabuhkan punggung di tempat duduk sebelah. Beg yang tadi dibimbit sudah terlentang di atas meja.
"Motor aku rosak." Ringkas sahaja Aniq menjawab persoalan itu. Faiz menggeleng. Tahu benar dia mengenai motor Aniq yang sudah berkurun lamanya. Sudah berbuih mulut disuruh agar Aniq memberitahu ibubapanya agar ditukat baru. Jawapan tetap sama: "boleh guna lagi.". Tengok apa yang berlaku sekarang.
Tetapi Faiz tidak juga menyalahkan Aniq. Dia tahu sahabatnya itu seorang anak yang baik dan tidak suka membebankan ibubapanya. Walaupun Aniq bukanlah daripada keluarga yang cukup-cukup makan, malah bapanya mampu sahaja membelikannya motor baharu, tetap juga Aniq tidak mahu. Atas alasan apa lagi, Faiz sendiri tidak tahu. Dia sekadar berdiam dan menghormati pilihan rakannya.
YOU ARE READING
Misi IVTG
Misterio / SuspensoIVTG - singkatan 'investigation' ---- Azhad Aakif telah kehilangan ibu bapanya dalam sebuah tragedi ngeri. Lapan tahun kemudian, sahabatnya pula yang pergi mengikuti langkah ibubapanya. Melihatkan sahabat yang dianggap seperti keluarga sendiri dibun...