SEBUAH pagi yang indah menjelma lagi. Burung-burung saling berbalas kicauan, menghasilkan melodi-melodi yang enak didengar. Kesemua burung-burung itu turut sama bertebangan di awanan bagi mencari rezeki di awal pagi. Tetapi kewujudan mereka tidak berapa dikesan oleh orang-orang yang sedang sibuk memandu. Hanya segelintir sahaja yang sanggup membuka tingkap bagi melihat keindahan alam. Itu pun dari kalangan anak-anak kecil. Senyuman terukir di bibir mereka. Jelas mereka teruja.
Kenderaan yang berpusu-pusu membelah jalan langsung tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti. Kesemuanya dengan kelajuan masing-masing seolah berlumba untuk keluar daripada jalan yang sesak ini. Begitu juga lagaknya dengan sebuah kereta Honda berwarna hitam yang sedang membawa sebuah keluarga bahagia.
"Ibu, lambat lagi ke nak sampai?" Seorang kanak-kanak lelaki, berumur 9 tahun yang sedang duduk bersama seatbelt yang dipakai bertanya. Senyuman terukir manis pada bibirnya, menanti jawapan daripada ibu.
Jika seatbelt ini tidak tersarung, semestinya kanak-kanak itu sudah melompat-lompat keterujaan di atas kerusi belakang kereta. Mana tidaknya, mereka kini dalam perjalanan ke sebuah taman tema air yang besar. Bagi kanak-kanak seumurnya, pastilah ia sesuatu yang mengujakan. Namun demi keselamatan, terpaksa juga dia redha dengan seatbelt tersebut.
"Lambat lagi, sayang. Dalam 30 minit lagi baru sampai. Kamu tidurlah dulu. Rehatkan badan. Nanti barulah cukup tenaga nak main air." jawab Si Ibu penuh lembut. Sempat dijeling anak lelakinya yang seorang itu dalam senyuman. Gembiranya kanak-kanak itu turut meresap ke dalam jiwa keibuannya. Ibu mana yang tidak suka melihat anak mereka bahagia?
Setelah beberapa bulan dia dan suaminya sibuk bekerja, akhirnya kedua mereka memperoleh cuti yang kemudiannya digunakan untuk membawa anak tunggal mereka berjalan-jalan. Tidak dapat meluangkan masa di hari biasa, paling kurang dapat membuat anak itu tersenyum di hari rehatnya.
"Baik!" kanak-kanak lelaki tersebut menyahut dengan gembira. Dia kemudian membetulkan kedudukannya pada kerusi sebelum menutup mata serapat-rapatnya. Action figure Ultraman dipegangnya erat langsung tidak mahu lepas. Kalau boleh, ingin sahaja dibawa masuk bersama ke alam mimpi.
Walaupun dikerahnya diri untuk lelap, keadaan langsung tidak membenarkan. Dia mahu menukar posisi kepada baring. Tetapi, tali pinggang keledar yang dipakainya menghalang. Oleh itu, terus tali pinggang itu dibuka dan dilepaskan, membuatkan tali pinggang itu tanpa disuruh kembali ke tempat asal.
Mahu sahaja kanak-kanak itu baring, kepalanya terhantuk ke pintu sebelah kanannya. Dia menggosok kepala yang sakit. Dia memandang ke hadapan. Jalan kelihatan bergerak-gerak dan langsung tidak tetap. Buat kali kedua, dia terhantuk pula pada pintu sebelah kiri. Kini, barulah dia perasan. Kereta ini sedang bergoyang.
Apa jadi?
"Abang, kenapa ni?" Si Ibu menyoal dalam keadaan cemas. Terus dia melihat suaminya di sebelah.
"Kereta kita hilang kawalan!" Jawab si suami tanpa memandang isterinya. Tangannya bertungkus-lumus memulas stereng kereta, ingin membetulkan keadaan. Namun, usaha itu langsing tidak membuahkan apa-apa hasil. Kereta makin galak berpusing.
"Ibu..." kanak-kanak itu memanggil dalam nada bergetar. Si ibu memandang, melihat wajah anaknya yang pucat ketakutan sambil kedua belah tangan kecil itu cuba untuk menahan badannya daripada tergolek.
"Jangan risau, sayang. Kita akan selamat. Pakai tali pinggang keledar kamu dan pejam mata rapat-rapat. Boleh, Aakif?" Senyuman diukir dalam keterpaksaan. Dia tidak boleh menunjukkan riak cemas kepada anaknya. Dia tidak mahu anaknya berasa takut.
Kanak-kanak bernama Aakif itu mengangguk perlahan. Sedaya upaya dia mencapai kepala tali pinggang keledar yang sedikit tinggi tempatnya. Tidak sampai. Akhirnya, Aakif memanjat kerusi tersebut sambil cuba untuk tidak jatuh. Tangan kecilnya cuba dipanjangkan bagi mencapai tali pinggang tersebut. Dalam masa yang sama, air matanya mengalir ketakutan. Dia takut andai apa-apa yang buruk akan berlaku. Dia takut akan tercedera. Dia takut akan meninggalkan ibubapanya atau mungkin, ditinggalkan.
YOU ARE READING
Misi IVTG
Mystery / ThrillerIVTG - singkatan 'investigation' ---- Azhad Aakif telah kehilangan ibu bapanya dalam sebuah tragedi ngeri. Lapan tahun kemudian, sahabatnya pula yang pergi mengikuti langkah ibubapanya. Melihatkan sahabat yang dianggap seperti keluarga sendiri dibun...