"AAKIF... bagitahu aku, jujur. Siapa budak lelaki ni?" Jarinya dituding tepat ke arah seorang remaja lelaki yang terbaring tidak sedarkan diri bersama tangan yang digari di tempat duduk belakang. Dia hilang tak sampai 30 minit, balik-balik ada orang asing dalam kereta? Entah budak mana si Aakif ini culik!
"Aakif!" Nama sahabatnya itu dipanggil sekali lagi. Sekali lagi juga, tiada jawapan yang diterima. Aliff bercekak pinggang bersama elengan. Kenal sangat dengan perangai rakan sekerjanya yang seorang ini. Manakala Aakif, sedang selesa merehatkan kepala pada tangan bersama mata yang terpejam.
Bukanlah Aakif sengaja tidak mahu menjawab soalan Aliff itu. Namun apa yang berlaku sebentar tadi masih lagi berlegar-legar di kepala. Hatinya berasa panas. Hanya dengan mendiamkan diri dan tidak menghiraukan sekeliling, perlahan-lahan dapat menenangkan dirinya. Walaupun dia tahu perlakuan sebegini mungkin akan mengguris hati seseorang, tetapi dia tidak kisah. Lagipun, siapa sahaja yang berada dengannya sekarang? Aliff? Sudah pasti jejaka itu sudah masak dengan perangainya.
Perlahan, Aakif menghembus nafas keluhan.
"Aku harap ini kali pertama dan terakhir aku jumpa kau." Bisiknya.
***
Pegawai polis itu hanya mampu mengurut kepalanya. Pening memikirkan remaja di hadapannya. Baru berumur 17 tahun, sudah pandai meragut? Allah, Allah, Allah... itu sahajalah yang mampu diungkapnya kini. Sakit kepala juga memikirkan kesanggupan remaja-remaja zaman kini. Apakah memang sudah tipis harapan untuk melihat pemuda-pemuda ini bangkit mencegah kemungkaran? Atau memang selamanya akan terus begini? Bagaimanakah caranya untuk mendisiplinkan mereka? Makin sakit jadinya.
Aakif memeluk tubuh sambil memerhatikan soal siasat antara Inspektor Malik dengan remaja itu. Sekali-sekala juga dia menggeleng kepala.
"Aku tak fahamlah dengan remaja zaman sekarang. Macam-macam jenayah mereka boleh buat. Ibubapa tak ajar ke?" Aakif berkata, cepat sahaja meletakkan kesalahan pada ibubapa.
"Kadang aku hairan, tahu? Kenapa bila ada saja jenayah melibatkan remaja, semua kesalahan diletak atas bahu ibubapa? Ya, ada yang memang salah ibubapa sebab tak jalankan tanggungjawab dengan sempurna. Tapi, tak semua. Ada saja yang dekat rumah, berbuih mulut ibubapa nasihat itu ini... tapi bila keluar dari rumah, terus dilupa segala nasihat tu.
Boleh kata, pesalah sebenarnya adalah pengaruh rakan sebaya juga media massa. Pada peringkat awal, kanak-kanak memang mudah terpengaruh. Segala yang orang buat, mereka nak cuba. Keburukan mereka tak nampak, yang mereka nampak hanyalah keseronokan dan perasaan "tak apa... semua orang buat. Jadi aku pun boleh,".
Itu yang bahaya sebenarnya. Sebab tulah anak-anak kena pandai pilih kawan, dan ibubapa pula perlu pantau apa yang dilakukan anak-anak serta dengan siapa mereka berkawan. Dan, nak mendisiplinkan mereka perlulah sejak kecil lagi. Didiklah mereka sebagaimana didikan nabi dahulu, Insha-Allah besar nanti mereka akan jadi manusia yang berguna." Panjang lebar Aliff menyuarakan ketidak-setujuannya. Beginilah perwatakan Aliff Hazmi. Suka berfikir secara rasional dan tidak suka meletakkan seratus peratus kesalahan pada satu pihak. Perwatakan yang patut dicontohi ramai.
Aakif menundukkan sedikit pandangannya bagi melihat sahabatnya yang sedang duduk, manakala dia sedang berdiri sambil menyandarkan badannya ke meja. Mukanya berkerut memandang Aliff. Aliff perasan akan pandangan itu, lantas dia memandang Aakif.
"Apa?" Pelik Aliff dibuatnya apabila dipandang sebegitu rupa.
"Kau cakap macam tu macam kau dah ada anak." Aakif menyuarakan juga apa yang dirasanya.

ANDA SEDANG MEMBACA
Misi IVTG
Mystery / ThrillerIVTG - singkatan 'investigation' ---- Azhad Aakif telah kehilangan ibu bapanya dalam sebuah tragedi ngeri. Lapan tahun kemudian, sahabatnya pula yang pergi mengikuti langkah ibubapanya. Melihatkan sahabat yang dianggap seperti keluarga sendiri dibun...