Bab 41

1.3K 96 32
                                    

Mata Ayden ralit membaca dokumen di hadapannya. Namun, perhatian tidak seratus peratus kepada isi kandungan dokumen itu. Ingatannya kembali kepada pertemuannya dengan Syahran dan Adam itu.

Ayden mengeluh berat. Dia meraup-raup wajahnya. Sungguh, apa yang diperkatakan oleh Syahran itu benar. Dia berada dalam bahaya kerana sindiket itu sudah berubah tempat operasinya.

Pihak imegresen Jepun sudah memberi amaran bahawa Ren sudah berada di Jepun. Ramai yang memberi amaran kepada bahawa sindiket itu sudah bertapak di negara matahari terbit itu. Apabila ditanyakan kepada bapa saudaranya, Reishi mengenai perkara itu, langsung bapa saudaranya itu menidakkan.

Sekali lagi, keluhan terhambur daripada mulutnya. Dia bersandar di kerusi yang didudukinya. Sungguh, dia lelah dengan kes itu. Dia mahu selesaikan semuanya secepat mungkin kerana tidak mahu mendatangkan bahaya pada isterinya.

Apabila mengenangkan isterinya pula, dia jadi risau. Takut-takut mereka akan apa-apakan Yasmin. Namun, dia yakin, Ren takkan biarkan Yasmin diusik oleh sindiket itu kerana lelaki itu sendiri mempunyai perasaan terhadap isterinya.

Kedengaran pintu bilik terbuka tiba-tiba. Terus Ayden menegakkan badannya lalu mula menyibukkan dirinya. Dari ekor matanya dia nampak Yasmin datang mendekatinya.

"Awak nak kopi?" soal Yasmin.

"Boleh juga," jawab Ayden tanpa mengangkat kepalanya. Sengaja dia tidak mahu Yasmin melihat wajahnya yang tegang itu.

Apabila Yasmin melangkah ke dapur, dia terus angkat kepalanya lalu memandang tubuh Yasmin yang sibuk menyiapkan air minuman untuknya. Bibirnya kembali terukir senyuman apabila melihat isterinya itu.

Ayden kembali menundukkan kepalanya apabila Yasmin sudah membancuh kopinya. Dia meneruskan pembacaan dokumen-dokumen yang berada di hadapannya itu.

---------------------------------------------------------

Yasmin keluar daripada bilik tidur utamanya. Matanya meliar mencari kelibat suaminya yang menghilang sejak isyak lagi. Seusai menunaikan solat isyak berjemaah, Ayden keluar ke ruang tamu untuk menyelesaikan kerjanya yang tertangguh.

Bibir Yasmin terukir senyuman apabila melihat kelibat suaminya di meja ruang makan itu. Nampak Ayden begitu sibuk menghadap dokumen-dokumen di atas meja itu.

"Awak nak kopi?" soal Yasmin, perlahan.

"Boleh juga," jawab Ayden tanpa mengangkat kepalanya daripada dokumen itu.

Tergeleng kepala Yasmin melihat Ayden yang begitu asyik dengan kerjanya itu. Perlahan-lahan dia melangkah ke dapur. Sekarang ini, dia tinggal di rumah yang disediakan khas oleh Ayden. Katanya senang untuknya menginap di rumah itu sekiranya dia datang ke London.

Yasmin terus mengambil mug yang tersedia di kitchen island lalu mula membancuh kopi kegemaran Ayden itu. Seusai dia selesai membancuh kopi, dia terus membawa kepada Ayden.

Mug kopi itu diletakkan di hadapan Ayden. "Nah, awak!" ucap Yasmin sambil mengambil tempat di hadapan Ayden.

Ayden angguk tanpa mengangkat kepalanya. Yasmin hanya tergeleng melihat suaminya yang sibuk itu. Dia menongkat dagu sambil matanya memandang wajah Ayden yang tekun membaca dokumen-dokumen di hadapannya. Sesekali Ayden memandang komputer riba yang sedia terbuka di sebelahnya.

Lama dia memerhati suaminya yang begitu khusyuk itu. Dia terpegun melihat wajah serius Ayden yang pada hematnya amat kacak sekali. Betul kata orang. Lelaki yang tekun dalam membuat kerjanya amatlah menarik dan kacak.

"Seronok tengok muka saya?" soal Ayden tanpa mengangkat kepalanya daripada dokumen itu memecah kesunyian antara mereka berdua.

Yasmin angguk. "Awak kacak," kata Yasmin.

Aku Milik KamuWhere stories live. Discover now