~08~ Seri - Apa Ada Pada Nama

1.2K 33 7
                                    

Majlis berjalan lancar walaupun terdetik juga di hati Seri supaya majlis itu ada cacat cela. Puas sudah dipujuk hatinya yang luka. Tetapi melihat senyuman gembira di wajah Badrul dan Yati membuatkan hatinya yang sedikit sembuh, luka kembali. Seri melarikan pandangan dari hadapan pentas di mana pasangan pengantin sedang memotong kek tujuh tingkat. Itulah pengakhir majlis sebelum tetamu kehormat melangkah pulang dan majlis diteruskan dengan aktiviti santai.

Seri menoleh ke sisinya. Esok, dia dan Danish akan pulang, kembali kepada kehidupan asal mereka. Adakah waktu itu, hubungan mereka akan masih seperti sekarang? Kadang-kadang realiti tidak seindah yang disangkakan. Tetapi melihat wajah lelaki itu, walaupun tempoh perkenalan mereka singkat, Seri yakin yang mereka mampu mengharunginya bersama. Lelaki di sisinya ini telah berjaya menyemai satu perasaan di dalam hatinya yang dia sendiri tidak dapat tafsirkan.

Adakah ini cinta?

"Sayang."

Seri menoleh ke kiri dan kanan, tersedar dari lamunan. Dia tergesa-gesa bangun apabila melihat semua hadirin melakukannya. Dia melemparkan pandangan penuh persoalan ke arah Danish yang masih memerhatikannya.

"Tetamu kerhormat nak berangkat pulang," bisik Danish.

Seri cuba menenangkan hatinya. Selepas ini, dia tidak boleh lari lagi dari bergaul dengan tetamu yang ada, terutamanya rakan-rakannya.

"Relaks, sayang nampak tegang sangat," kata Danish lagi.

Seri mengetap gigi. Tentulah Danish tidak merasa apa-apa. Lelaki itu tidak berada di tempatnya. Danish menarik tangan Seri. Mereka bergerak ke satu sudut dewan sebaik tetamu kehormat keluar dari dewan. Sebahagian tetamu turut mengambil kesempatan bersalaman dengan pengantin dan ahli keluarga. Ada yang sudah melangkah keluar, mungkin ke bilik masing-masing dan ada yang masih berlegar di kawasan sekitar sambil mengambil gambar. Ini malam terakhir mereka di sini, tentu setiap sudut ingin diabadikan.

"I can't do this," kata Seri tiba-tiba.

Seri cuba melarikan diri tetapi tangannya berjaya dicapai oleh Danish. Tubuh Seri ditolak lembut ke dinding, memberi laluan kepada ahli jawatankuasa yang masih sibuk selagi majlis tidak selesai sepenuhnya, dan dilindungi oleh tubuh sasa Danish. Seri mengambil kesempatan itu untuk melihat wajah lelaki yang berdiri di hadapannya. Sebelah tangannya diletakkan di dinding, bersebelahan kepala Seri, manakala sebelah lagi masih bertaut dengan tangan Seri.

"Sayang boleh buat. Abang yakin. Abang ada di sisi sayang. Abang takkan tinggalkan sayang," bisik Danish.

Seri dapat merasa hembusan nafas Danish di pipinya. Matanya dipejamkan, cuba untuk merakam perasaan ini ke dalam kotak ingatannya. Jantungnya berdegup kencang, nafasnya turun naik, lidahnya kelu untuk berbicara.

"Itu pun mereka."

Suara ibunya menjadikan Seri panik lalu tubuh Danish ditolak keras. Seri melangkah dari dinding sebelum menoleh seketika ke arah Danish sambil memberikan isyarat mata tanda maaf kerana diperlakukan sedikit kasar oleh Seri tadi.

"Ibu," tutur Seri dengan senyuman.

Mata Seri melirik ke arah ibu Yati. Wanita itu menghadiahkan senyuman ke arahnya tetapi pandangan matanya, ada riak bersalah di mata itu. Hati Seri yang luka tadi, kembali pulih, kerana tidak mungkin dia menyimpan dendam terhadap wanita yang seusia dengan ibunya itu hanya kerana Yati.

ONGOING Kau Yang SatuWhere stories live. Discover now