Danish hampir saja menyumpah seranah nasib diri. Dia terhenti di hadapan pintu lif dan tangannya terangkat sendiri untuk menekan butang tutup pada panel butang lif. Tetapi dia sendiri sedar yang tindakannya tidak pantas.
"Sayangggg."
Jijik sekali pada pendengaran Danish tetapi ditahankan saja, lebih-lebih lagi ramai stafnya di lobi yang ingin pulang, sedang menjadi pemerhati. Danish mematikan niatnya untuk menutup semula pintu lif, menegakkan tubuhnya lalu melangkah keluar.
"Maaf bos, dia ni degil. Nak juga tunggu di sini," kata Mira dengan nada bersalah.
"It's okay Mira. Awak dan Lisa boleh balik. Saya akan uruskan hal ni," balas Danish.
Mira menganggukkan kepala, menarik Lisa yang masih cuba menghalang Rita dari mendekati Danish. Dengan tiadanya Lisa sebagai tembok, Rita mengambil kesempatan itu lalu melingkari tangannya ke lengan Danish. Tubuh Danish serta-merta kaku. Tapi demi tidak memuaskan penonton yang tentunya mahukan sebuah drama, dibiarkan saja Rita menggesel tubuhnya ibarat kucing miang.
Danish meneruskan langkah keluar dari Menara Hendra, dituruti oleh Rita walaupun agak perlahan, terutamanya dengan kasut tumit tinggi lima inci yang dipakainya. Pemandu peribadinya, Ali, terus membuka pintu sebaik terlihat kelibatnya. Danish melangkah masuk dan apbila Rita masih tidak mahu melepaskan tangannya, terpaksa berganjak ke tepi untuk memberi ruang kepada perempuan itu.
Ali menutup pintu, masuk ke tempatnya lalu mula memandu meninggalkan Menara Hendra. Setiap kali Ali akan memandu ke rumah mama Danish dan dari situ Danish akan memandu sendiri ke rumahnya pula.
"Ali, kita ke restoran berdekatan," kata Danish.
"Err restoran paling dekat restoran mamak tepi simpang tu bos," balas Ali.
"Baik, kita ke situ." Danish menganggukkan kepala walaupun dia yakin Ali tidak dapat melihatnya.
"Eee sayang, I tak nak la makan kat situ. Kotor dan busuk," kata Rita dengan nada manjanya.
Geli anak telinga Danish mendengar suara itu. Sekali lagi dia bertanyakan kepada diri apa yang dilihatnya dulu pada Rita sehingga dia tergila-gilakan perempuan itu. Danish hanya mendiamkan diri, tidak ambil peduli akan Rita yang cuba menarik perhatiannya. Sebaik sampai di restoran yang dimaksudkan, Danish meletak tangan ke atas bahu Ali.
"Awak tak payah turun. Awak parking keretadulu dan kemudian cari saya di restoran, kita makan bersama," kata Danish.
Ali kelihatan sedikit tersentak dengan arahan itu. Bukannya Danish tidak pernah makan bersama stafnya tetapi sebagai pemandu, Ali sering-kali menolak ajakkan kerana merasakan tarafnya tidak sama dengan yang lain.
"Baik bos," kata Ali perlahan.
Sekali lagi Danish menganggukkan kepala sebelum membuka pintu dan melangkah keluar. Rita yang masih erat memegang tangannya turut melangkah keluar. Berkerut wajah Rita melihat restoran mamak yang menjadi pilihan Ali. Beberap pelanggan berhenti dari aktiviti mereka untuk melihat ke arahnya. Masakkan tidak, dengan mekapnya yang tebal, bajunya yang sendat dan kasut tumit tingginya, Rita kelihatan lain dari yang lain. Tambahan pula dia merupakan pengacara sebuah rancangan tv.
YOU ARE READING
ONGOING Kau Yang Satu
Romance[A Novel] Cinta yang diupah membawa ke jinjang pelamin. Bahagia yang diimpi, derita yang tiba. Dendam itu manis. Tetapi setelah kebenaran terbongkar, masihkah ada sisa cinta?