Seri senyum ke arah Diana. Hari ini dia akan menghabiskan masanya dengan gadis itu kerana esok, adalah hari dia akan keluar dari banglo mewah itu. Sudah dua kali dia membaca buku Puteri Salju kepada Diana tetapi gadis itu langsung tiada tanda untuk tidur. Seri yakin ubat yang diberikan kepada Diana itulah yang membuatkan dia sering mengantuk dan kelihatan lesu.
Rambut gadis itu diusap lembut oleh Seri. "Akak akan rindu pada Diana. Emtah bila kita boleh jumpa lagi."
"Uhh uhh."
"Akak minta maaf dik, tapi akak tetap perlu lari dari tempat ini," kata Seri lagi.
Diana yang sepertinya faham akan kesusahan yang dialaminya, menggeselkan kepalanya ke pipi Seri. Pipinya masih lagi sakit tetapi tidak bengkak seperti semalam. Seri sekali lagi tersenyum. Danish telah memeluknya sepanjang malam. Memang benar mereka tidur sekatil sejak tiba di banglo mewah itu tetapi tidak sekalipun Danish memeluknya begitu. Hanya sesekali rambutnya akan disisir atau pipinya diusap.
Seri menoleh ke arah pintu bilik Diana yang tiba-tiba terbuka. Annette menyelinap masuk lalu menutup rapat pintu itu. Dia berjalan ke arah Seri dan Diana, lalu menarik tangan Seri jauh sedikit dari Diana.
"Saya beli ini untuk puan."
Sampul surat itu disambut oleh Seri. Dia membukanya dan matanya berkaca dengan airmata sebaik melihat isi di dalamnya. "Oh Annie."
"Saya mahu puan selamat," kata Annette.
Seri menganggukkan kepala. Tiada kata-kata untuk menggambarkan rasa syukur yang dia mempunyai sahabat seperti Annette. Dia menarik Annette ke dalam pelukkan.
"Terima kasih Annie," kata Seri.
Selepas beberapa ketika, pelukkan mereka terlerai. "Esok, jumpa di bilik saya."
Sekali lagi Seri menganggukkan kepala. Annette keluar dari bilik untuk meneruskan kerjanya. Seri bergegas menolak kerusi roda Diana menuju ke bilik tidur Danish yang terletak di hujung koridor bertentangan dengan bilik Diana. Dia menarik nafas lega sebaik sampul itu tersembunyi bersama pasport dan duitnya di dalam beg kecil di bawah katil.
Seri menolak kembali kerusi roda Diana untuk menuju ke bilik Diana. Diana yang kelihatan lebih ceria dari selalu, memerhati sekeliling sambil sesekali bersuara. Seri menjawab apa yang dirasakannya perlu.
"Eee siapa yang benarkan budak cacat ni keluar dari bilik dia?"
Seri menoleh ke belakang. Berdiri di hadapan pintu bilik Dee Dee ialah Rita. Wajahnya dikerutkan apabila melihat Diana dengan air liurnya meleleh di tepi bibir. Seri melihat semula ke hadapan, mahu meneruskan langkahnya ke bilik Diana.
"Nanti." Arahan itu tidak dipedulikan oleh Seri.
"Woi perempuan sial. Kau pekak? Kau tak dengar Rita panggil?"
Kali ini langkah Seri terhenti. Dia tidak menyangka Dee Dee juga ada di dalam biliknya. Selalunya waktu ini Dee Dee akan keluar bersama Rita. Tangannya direntap kasar oleh Dee Dee.
"Aku pantang betul orang degil macam kau ni." Dee Dee melihat tubuh Seri dari atas ke bawah. "Kau ni bukannya hebat mana pun tapi macam mana kau boleh ikat anak saudara aku?"
"Mesti dia guna mandram ni aunty," celah Rita.
"Aku dah agak dah. Kau mesti guna-guna anak saudara aku tu." Tangan Seri direntap lebih kuat. "Kau tahu apa mereka buat pada perempuan sihir macam kau?"
Seri hanya melihat ke arah wajah bengis Dee Dee. Banglo mewah itu terlalu besar dan kemungkinan untuk sesiapa mendengar jeritannya amat tipis.
"Tolong!"
YOU ARE READING
ONGOING Kau Yang Satu
Roman d'amour[A Novel] Cinta yang diupah membawa ke jinjang pelamin. Bahagia yang diimpi, derita yang tiba. Dendam itu manis. Tetapi setelah kebenaran terbongkar, masihkah ada sisa cinta?