"Nama penuh?" tanya Seri.
Mereka sudah selesai makan dan Seri mencadangkan agar mereka mengambil peluang ini untuk mengenali antara satu sama lain lebih dengan dekat lagi supaya lakonan mereka menjadi. Setakat ini dia hanya tahu pekerjaan dan nama lelaki itu. Itu pun nama ringkas.
"Danish" Danish mengangkat tangannya apabila Seri cuba membantah. "Itu sahaja yang boleh abang kongsikan."
"Umur?" tanya Seri lagi tetapi wajahnya sedikit masam.
"30 tahun," jawab Danish.
"30? Tapi awak tak nampak macam 30 pun," balas Seri. Dia mengerutkan dahinya.
"Jadi abang kelihatan lebih berusia dari umur sebenar?" tanya Danish. Dia menyilang kedua-dua tangannya ke atas dadanya. Kemeja yang dipakainya menyerlahkan lagi otot dada dan lengannya.
Seri mendengus. Seri lebih banyak menumpukan perhatian ke arah bibir lelaki itu. Seri tidak mahu ditangkap kerana memandang tubuhnya atau wajahnya atau apa saja. Dan kerana matanya hanya tertumpu di bibir itu, Seri dapat melihat dengan jelas senyuman yang mula terbentuk. Senyuman lelaki itu meyakinkan Seri yang Danish tahu bahawa dia kelihatan jauh lebih muda dari usia sebenarnya. Malahan Badrul yang seusia lelaki itu pula yang kelihatan jauh lebih tua.
"Tinggi 178 sentimeter, berat 70 kilogram, warna kegemaran hitam, abang tak cerewet tentang makan dan minuman, saiz kasut 9, saiz baju L dan abang akui abang anak kacukan. Ada apa-apa lagi sayang?" tanya Danish masih lagi dengan senyuman di wajahnya.
Seri melarikan pandangannya. Dia memarahi dirinya dalam diam. Bagaimana lelaki ini mampu membuatkan dia terkesima begini? Dia tidak pernah hilang kata-kata apabila berhadapan dengan sesiapa pun. Tetapi lelaki ini mampu membuatnya lupa walaupun namanya sendiri. Seri bangun lalu mencapai dompetnya tetapi sebelum sempat dia membukanya, tanganya disentuh lembut oleh Danish.
Dalam keadaan kaku begitu, Seri masih lagi sedar yang Danish telah menghulurkan beberapa helai not kepada pelayan yang muncul entah dari mana. Pelayan itu kembali semula dengan resit dan baki wang. Hanya syiling yang diambil oleh Danish. Baki not kertas dengan nilai paling besar RM50 dan beberapa helai RM10 ditinggalkan di dalam dulang kecil tersebut. Pelayan itu menundukkan kepalanya beberapa kali sambil mengucapkan terima kasih.
Danish bangun tetapi tangannya masih tidak lekang dari tangan Seri. Dia menarik lembut Seri yang dalam keadaan kaku, jatuh ke dalam pelukkannya. Seri mengangkat wajahnya dari dada bidang lelaki itu dan pandangan mereka bertaut. Getaran jantungnya masih tidak berhenti.
"Merpati dua sejoli pun ada di sini rupanya."
Suara itu mematikan segala fantasi yang bermain di fikiran Seri. Dengan pantas dia menjauhkan tubuhnya dari tubuh Danish. Tetapi tanggannya masih erat di dalam genggaman Danish.
"Yati." Itulah pertama kali sejak persahabatan mereka putus, Seri menyebut nama tersebut.
Mereka berbalas pandangan ibarat dua ekor haiwan buas yang sedang mencari peluang untuk menerkam terlebih dahulu. Tetapi pandangan itu terputus apabila Seri ditarik lembut ke sisi Danish. Tubuh mereka begitu rapat sehinggakan udara pun tidak boleh melaluinya.
"Kita bertemu lagi," kata Danish.
Mata Yati beralih ke arah Danish. Yati menguntum senyum sambil jarinya bermain-main dengan ekor rambutnya yang melepasi bahu. Seri mengetap gigi melihat gelagat Yati. Tidakkah dia sedar yang dia bakal menjadi isteri orang? Seri mendengus keras. Matanya tajam sekali melihat ke arah Yati.
"Malam ni majlis akad nikah kau kan?" tanya Seri. Sengaja dia berbuat begitu untuk menyedarkan perempuan itu.
Yati membalas soalan itu dengan jelingan tajam. Tetapi marah perempuan itu tidak lama kerana dia kembali merenung ke arah Danish seolah-olah lelaki itu adalah pencuci mulut. Tubuh Seri bergetar menahan marah. Danish adalah miliknya dan tiada sesiapa pun yang boleh merampas miliknya. Dia pernah tewas sekali tetapi dia tidak akan tewas buat kali kedua.
YOU ARE READING
ONGOING Kau Yang Satu
Romance[A Novel] Cinta yang diupah membawa ke jinjang pelamin. Bahagia yang diimpi, derita yang tiba. Dendam itu manis. Tetapi setelah kebenaran terbongkar, masihkah ada sisa cinta?