Ringan. Itu yang dirasakan oleh Seri saat ini. Seperti jatuh ke dalam gaung tanpa penghujung. Gelap. Semunya tidak jelas. Seperti deria rasanya telah berhenti berfungsi. Suara itu. Yang tidak henti-henti merayu untuk dia bangun. Seri cam suara itu. Suara yang pernah memberinya bahagia tetapi kini hanya membawa duka.
Ada sentuhan lembut di pipinya. Seri ingin menjerit kegembiraan. Akhirnya, dia merasai sesuatu. Sentuhan itu menggelikan. Tetapi entah kenapa, sukar untuk Seri menepisnya. Seolah-olah tangannya tergari.
"Jangan." Seri keliru. Suara siapakah itu? Seperti suaranya tetapi kenapa perit benar bunyinya.
"Sayang." Suara tadi memanggilnya lagi. "Sayang."
Segala tenaga ditumpukan oleh Seri. Sekali lagi dia ingin menjerit kegembiraan apabila kelopak matanya berjaya dibuka sedikit. Tetapi ditutupnya kembali apabila ada cahaya terang menerjah anak mata.
"Tutup langsir tu." Suara itu memberikan arahan.
Sekali lagi Seri mencuba membuka mata. Kali ini dalam suasana samar, dia berjaya. Sesusuk tubuh berada di sisinya, sedang menggengam sebelah tangannya. Seri gagahkan untuk mengangkat tangannya yang sebelah lagi. Sampai di awangan, tangannya disambut oleh tangan lain, dibawa dekat ke pipi. Ada sisa airmata di situ. Seri tahu benar bagaimana rasanya. Sudah acapkali dia menangis dan membiarkan airmatanya kering.
Tapi kenapa sekarang? Kenapa tidak dulu? Seri membuka mulut untuk bertanya tetapi tekaknya terasa perit. Direntapnya tangannya dari pipi itu lalu dibawa ke kerongkongnya.
"Air. Annette, I need water. Now." Sekali lagi suara itu memberikan arahan.
Sebaik air dingin menuruni tekaknya, Seri merasa lega. Hampir separuh gelas diteguknya tetapi Seri mahukan lagi. Tangannya cuba mencapai gelas yang makin menjauh dari bibirnya.
"Tak boleh sayang. Nanti. Abang janji nanti." Suara itu memujuknya.
Suara itu. Suara suaminya. Suara yang pernah menabur janji yang akhirnya tidak dikotai. Suara yang menjanjikan bahagia tapi hanya derita yang diberikan. Kali ini mata Seri terbuka lebih luas. Wajah lelaki itu hampir sekali dengan wajahnya. Seri panik. Seperti haiwan yang dalam kesusahan, perkara pertama yang terlintas ialah melepaskan diri. Dan begitu juga Seri. Digagahi tubuhnya untuk jauh dari situ.
"Sayang, sayang," pujuk Danish.
Kedua-dua tangan Seri dicapai oleh Danish. Dalam keadaan itu, semua memori silam kembali difikirannya. Dalam cubaan Seri untuk menepis tangan sasa yang cuba menggarinya, tangannya terkena bucu meja. Pedih sekali. Seri mengalihkan tubuhnya, kini berbaring mengiring, membelakangi tubuh suaminya. Kedua-dua kakinya ditarik rapat ke dada. Tangannya memeluk kakinya dan kepalanya disembunyikan dari pandangan. Dia tidak mahu airmatanya dilihat sesiapa.
Tubuhnya bergetar cuba menahan esakkan dari terlepas keluar dari bibir. Bibir bawahnya digigit sekuat hati. Seri dapat merasakan sedikit darah di hujung lidahnya. Dia tahu bibirnya telah luka tetapi Seri tidak peduli.
Tubuhnya dipeluk dari belakang. Rasa panik mula menjalar di hatinya. Tetapi dia sudah tiada daya untuk melawan. Dibiarkan saja tangan sasa itu memeluk tubuhnya. Menyerah tidak bererti kalah. Sekali lagi, kegelapan menguasai dirinya.
YOU ARE READING
ONGOING Kau Yang Satu
Romance[A Novel] Cinta yang diupah membawa ke jinjang pelamin. Bahagia yang diimpi, derita yang tiba. Dendam itu manis. Tetapi setelah kebenaran terbongkar, masihkah ada sisa cinta?