~16~ Seri - Kasih Kian Pudar

2.3K 35 4
                                    

Seri mengerling ke arah jam di dinding ruang tamu. Sudah hampir tengah malam. Bukan niatnya untuk menanti tetapi selepas terjaga dari tidur, susah untuk dia kembali melelapkan mata. Mungkin ini peluangnya untuk bersemuka dengan suaminya, bertanyakan sebab kenapa dia diperlakukan begitu.

Seri mengerling ke luar. Entah kenapa tiba-tiba dia merindui suasana hiruk-pikuk kota. Keadaan sunyi ini menghimpit dirinya, menjadikan dia sesak untuk bernafas. Dia juga rindukan ibu dan ayahnya. Bukannya dia tidak pernah berpisah dengan mereka sebelum ini. Semasa menuntut pelajaran di luar negara, hampir dua tahun dia tidak pernah pulang ke tanahair. Walaupun begitu, dia tetap dapat berhubung dengan mereka, mendengar suara atau melihat muka melalui video call. Tapi sekarang, di tempat terpencil ini, seolah-olah dunia luar tidak wujud langsung.

Seri berdiri, mendekati tingkap berdekatan. Pokok-pokok ara yang dibuai angin membuatkan Seri menoleh ke arah lain. Hanya dan dan Diana di banglo mewah itu. Kadang-kala keadaan itu menakutkannya. Bagaimana sekiranya terjadi sesuatu? Bagaimana sekiranya Diana jatuh sakit? Danish bukan sentiasa ada di situ. Hari ini contohnya, dia masih belum pulang walaupun sudah lewat.

Sekali lagi Seri mengerling ke arah jam. Selepas difikir semula, dia membuat keputusan untuk masuk tidur. Tidak ada gunanya dia menunggu lagi kalau suaminya lewat begini, sedangkan esok dia perlu bangun awal. Seri melangkah ke arah anak tangga tetapi kakinya terhenti apabila kedengaran bunyi kereta.

Semakin dekat kereta itu, semakin kuat hatinya berdebar. Seri menarik nafas, berdoa di dalam hati yang emosi suaminya baik. Dia tidak mahu ditengking atau diperli lagi. Dia bukannya anak kecil. Usianya sudah menjangkau 27 tahun. Mata Seri tertancap pada pintu rumah apabila kedengaran bunyi anak kunci.

Suaminya melangkah masuk, menutup semula pintu lalu menguncinya. Dia mulai melangkah ke arah tangga lalu terhenti apbila terlihat Seri di situ. Wajahnya yang serius tiba-tiba terpalit dengan senyuman sinis.

"Kau tunggu aku ni, kau rindu ke?" tanyanya dengan nada mengejek.

Seri menggelengkan kepala. "Tidak."

Wajahnya kembali serius. Matanya tajam ke arah Seri. "Jadi? Kau nak apa tengah malam ni?"

Seri menggenggam kedua-dua tangannya di sisi. Entah kenapa, berhadapan dengan Danish menjadikan dia takut untuk bersuara. Setiap hari dia membisikkan pada diri yang Danish bukan lelaki yang dikenalinya dulu. Lelaki yang berdiri di hadapannya ini benci padanya walaupun dia tidak tahu kenapa.

"Kenapa?" tanya Seri perlahan.

Danish mengerutkan dahi. "Kenapa apa? Dan kalau cakap dengan aku, cakap kuat sikit. Kau ni dungu ke sampai itu pun nak kena ajar?"

Seri mengangkat kepala, bertentang mata dengan suaminya. "Kenapa abang buat saya macam ni? Apa salah saya?"

"Oh, kau nak tahu salah kau." Danish mendekatinya, rapat sekali. "Kau sebenarnya tak salah apa-apa. Ayah kau yang salah tapi sebab kau anak dia, kau perlu tanggung kesalahannya. Kau nak jadi anak mithali bukan?"

Danish menampar pipinya perlahan. Matanya tepat ke arah wajah Seri. Tetapi tumpuannya lebih ke arah bibir Seri. Dia merapatkan wajahnya dengan Seri dan pantas Seri mengundurkan diri.

ONGOING Kau Yang SatuWhere stories live. Discover now