Dengan berbekalkan baki kudrat yang ada, Seri melangkahkan kaki untuk meninggalkan sangkar emas itu. Tiada satu apa pun yang dibawanya kecuali beg kecil mengandungi pasport, sedikit wang dan tiket kapal terbang dari Annette yang berjaya disembunyikan tanpa pengetahuan sesiapa. Banglo mewah itu dipandang sepi. Seri menyembamkan kepala di bahu Annette, cuba menyembunyikan diri.
Selepas melihat apa yang telah berlaku, Annette sanggup merayu kepada penghantar susu supaya Seri dapat menyusup keluar. Seri sudah tidak boleh lagi menunggu sehingga keesokkan harinya. Wajah bengis Danish masih segar diingatannya. Lelaki kulit putih itu bersetuju untuk menghantarnya sehingga ke pinggir bandar. Itupun sudah cukup baik bagi Seri. Tubuhnya yang masih sakit, digagahi untuk terus bertahan. Agak jauh juga perjalanan yang perlu ditempuhi mereka. Seri sendiri tidak sedar bahawa banglo mewah itu begitu terpencil kedudukannya.
"Mam, kita dah sampai," bisik Annette.
Seri menegakkan tubuhnya. Mereka sudah sampai di jalan utama yang akan membawanya ke bandar. Annette berbual seketika dengan lelaki kulit putih itu sebelum menghulurkan beberapa keping not hijau. Wang yang dibawa oleh Seri tiada gunanya di tanah asing ini. Tapi dia akan berusaha untuk membalas budi baik Annette suatu hari nanti.
"Lets go mam."
Seri menurut langkah Annette sehingga sampai di perhentian bas. Mereka duduk, kedua-duanya membisu, menyedari masa untuk bersama sudah semakin singkat.
"This is for you mam." Seri mencapai beg kertas yang dihulurkan oleh Annette. Di dalamnya terdapat muffler. "What they did to you..."
Pantas tangan Seri menyentuh rambutnya yang sudah tiada rupa rambut lagi. Kepalanya hanya ditutupi topi yang berjaya dijumpainya di dalam bilik Danish. Segera dia membuang topi itu lalu digantikan dengan muffler hadiah dari Annette.
"Terima kasih Anne," bisik Seri. Tangannya mencapai tangan Annette. Sebaik terlihat kelibat bas yang makin hampir, dikuatkan lagi cengkaman tangannya. "I will miss you."
Mereka berdiri, berpelukkan, sebelum Seri melangkah lalu menghilang ke dalam perut bas. Walaupun sehingga bas itu bergerak, Annette masih setia berdiri di tempatnya. Airmata Seri kembali mengalir. Begitu baik hati sahabat yang baru sangat dikenalinya. Dibuka genggaman tangannya yang mengandungi beberapa helai not berwarna hijau yang berjaya diselitkan oleh Annette.
Seri membuka beg kecil di atas ribaannya lalu mengeluarkan tiket kapal terbang. Waktu berlepas ialah awal keesokkan harinya. Tapi Seri yakin dengan keadaan Dee Dee dan Diana yang masih tidak menentu, tiada siapa yang akan peduli akan dirinya. Dia sedikit bersyukur dengan situasi itu. Tetapi syukurnya tidak lama apabila terkenangkan Diana. Hati Seri sayu memikirkan yang dia tidak akan berpeluang lagi untuk bertemu gadis itu.
Bas berhenti hampir dengan lapangan terbang. Beg kecilnya digenggam erat lalu dia turun bersama penumpang lain.
Perut Seri berkeroncong tetapi ditahannya. Dia perlu berjimat dengan wang yang dimilikinya. Hanya selepas kembali ke tanahair, barulah wang yang dibawanya dari sana akan boleh digunapakai. Bukan tidak boleh mencari pengurup wang, tetapi Seri tidak mahu keadaan dirinya yang masih lebam di sana sini menjadi persoalan.
Seri hanya membeli sebotol air mineral sebelum menghenyakkan punggungnya di atas bangku. Kedudukannya jauh dari pandangan mata. Muffler di kepala yang melilit lehernya, ditarik menutupi hampir seluruh wajahnya.
Tangannya menyentuh perutnya. Entah apa keadaan bayinya sekarang. Sewaktu membersihkan diri tadi, terdapat tompokan darah di seluarnya.
Ibu bersalah padamu sayang. Ibu patut melindungi kamu dengan lebih baik lagi.
YOU ARE READING
ONGOING Kau Yang Satu
عاطفية[A Novel] Cinta yang diupah membawa ke jinjang pelamin. Bahagia yang diimpi, derita yang tiba. Dendam itu manis. Tetapi setelah kebenaran terbongkar, masihkah ada sisa cinta?