Kereta sewa yang membawa Seri dari KL ke Genting akhirnya berhenti juga di hadapan pintu utama hotel. Sementara menunggu pemandunya menurunkan begnya, Seri melihat-lihat persekitaran hotel bertaraf lima bintang yang ditempah khas oleh lelaki dan perempuan itu untuk majlis resepsi mereka. Nampaknya mereka memang berhabis-habisan untuk majlis ini. Bukan mudah untuk mengumpulkan semua tetamu di tempat yang agak mencabar jalannya.
Sebaik dua beg yang dibawanya telah ada di sisi, Seri menghulurkan beberapa keping not kepada pemandu tersebut. Seri mencapai beg kecil lalu menarik beg troli besarnya. Matanya tercari-cari kelibat lelaki yang bakal menjadi tunang sementaranya.
"Maaf cik." Seri menoleh ke arah lelaki yang hampir sebaya dengan ayahnya itu.
"Ya?" tanyanya kehairanan. Tidak cukupkah duit yang dihulurkannya tadi? Seri mencapai beg tangannya. "Maaf pakcik, kejap ya."
"Ini duit lebih cik," kata lelaki itu sambil menghulurkan kembali beberapa keping not kepadanya.
Seri menghembuskan nafas lega. "Pakcik ni buat saya terkejut saja. Saya ingatkan tak cukup tadi. Yang lebih tu pakcik simpan ya."
"Tapi cik-"
"Ikhlas dari saya untuk pakcik. Pakcik ada kad? Manalah tahu saya perlukan perkhidmatan kereta sewa lagi," potong Seri sebelum sempat lelaki itu menolak.
"Pakcik tak ada kad. Tapi kalau cik sudi, ini nombor telefon pakcik," kata lelaki itu sambil menghulurkan kertas kecil tertulis nombor telefonnya.
"Baik, terima kasih ya pakcik." Seri mengeluarkan smartphonenya. Nombor yang diberikan oleh lelaki itu direkodnya. Dia yakin yang kertas sekecil itu pasti akan hilang.
"Terima kasih cik. Semoga panjang umur dan murah rezeki." Seri menganggukkan kepala lalu mengangkat sebelah tangannya ke arah lelaki itu.
Kereta sewa tersebut hilang dari pandangan tetapi tunang sementaranya yang berjanji akan bertemu dengannya di hadapan pintu utama hotel, masih belum kelihatan. Seri menarik beg trolinya ke arah bangku yang disediakan di luar hotel. Jam di telefonnya menunjukkan yang dia awal 30 minit dari waktu yang dijanjikan. Seri melepaskan satu keluhan. Mungkin dia patut masuk dan check-in dahulu. Masih sempat lagi.
Seri bangun mengibas seluar jeans yang dipakainya sebelum menarik begnya dan membimbit beg kecil berisi alat solek dan kebersihan dirinya. Beg tangannya disilang kemas ke tubuhnya.
"Seri."
Tubuh Seri kaku dengan sendirinya. Mati hidup semula pun dia akan ingat suara itu. Suara lelaki yang pernah meluahkan kata-kata cinta kepadanya suatu ketika dahulu. Suara lelaki yang pernah berjanji akan sehidup dan semati dengannya. Suara lelaki yang pernah dipujanya. Suara lelaki yang pernah menjadi tunangannya.
Seri memaniskan wajah, menghiaskannya dengan senyuman. Tidak ada seorang pun yang boleh tahu akan gelora di hatinya. Dia melepaskan pegangan beg besarnya sebelum berhadapan dengan lelaki itu.
"Badrul, apa khabar?"
Lelaki itu menghadiahkan sebuah senyuman lebar ke arahnya. Hati Seri sedikit bergoncak. Lelaki itu masih kacak seperti yang diingatinya setahun lalu. Masih tegap dan mampu menarik perhatian sesiapa sahaja. Kedudukkannya sebagai CEO syarikat milik keluarganya juga merupakan satu bonus kepadanya. Anak lelaki tunggal kepada lelaki bergelar Dato' Sri.
"Khabar baik. Setahun kita tak jumpa, awak masih cantik seperti dulu," kata Badrul.
"Terima kasih." Seri mendiamkan diri. Tiada apa yang ingin dibualkannya dengan lelaki ini. Matanya meliar melihat sekelilingnya.
"Sayang, buat apa di sini? Lama tau I tunggu." Seri mengetap gigi mendengar suara itu. "Oh, Seri rupanya."
Seri menoleh ke arah suara itu. Bekas kawan baiknya merangkap perampas tunangnya. Seri akui yang Yati jauh lebih cantik darinya. Kalau tidak, tentu dia tidak dapat menjadi antara model terkenal di Malaysia ni. Apa saja yang dipakainya, nampak cantik. Seri memarahi diri kerana tidak mengenakan pakaian yang lebih menarik tadi. Seluar jeans dan blaus yang dipakainya dirasakan terlalu selekeh berbanding pakaian yang dikenakan oleh perempuan itu.
YOU ARE READING
ONGOING Kau Yang Satu
Romance[A Novel] Cinta yang diupah membawa ke jinjang pelamin. Bahagia yang diimpi, derita yang tiba. Dendam itu manis. Tetapi setelah kebenaran terbongkar, masihkah ada sisa cinta?