~13~ Seri - Sangkar Emas

1.4K 33 0
                                    

Sudah sebulan Seri di banglo mewah yang agak terpencil ini. Temannya hanyalah Diana. Sudah puas juga dicari, tetapi tiada telefon atau sebarang bentuk alat perhubungan untuk dia menghubungi ibu dan ayahnya. Alasan apakah yang diberikan oleh Danish kepada semua kenalannya?Tidak adakah seorang pun yang hairan dengan kehilangannya?

Rutin hidupnya sepanjang tempoh itu adalah sama. Bangun seawal pagi untuk memastikan semuanya sempurna sebelum lelaki bergelar suaminya itu bangun. Seri makin tidak faham dengan gelagat Danish. Tidak mahu roti bakar untuk sarapan kononnya tidak kenyang. Tetapi apabila Seri menyediakan bihun atau nasi goreng, kononnya terlalu berat. Semua yang dilakukan Seri, salah di mata lelaki itu.

Sarapan pagi adalah satu-satunya waktu Seri dapat melihat Danish. Tetapi seperti biasa, Danish hanya akan mengakui kewujudannya sekiranya ada perkara hendak dikomplennya. Danish hanya berbual mesra dengan Diana walaupun gadis itu membalas dengan bahasanya sendiri.

Waktu tengahari, Danish muncul sesuka hati. Kadang-kala Seri merasakan membazir memasak makan tengahari sedangkan lelaki itu tidak pulang, tetapi dia tidak berani untuk membantah arahan suaminya. Ada kalanya walaupun pulang, Danish tidak menjamah walau secubit pun makanan yang terhidang.

Diana adalah gadis paling senang untuk dijaga, bagi Seri yang tidak berpengalaman menjaga orang lain. Selesai makan tengahari, gadis itu akan tidur hingga ke petang. Pada waktu itulah Seri mengambil kesempatan merayau kawasan sekeliling, mencari insan lain untuk dijadikan teman. Tetapi sayang, banglo mewah di pinggir bukit itu, tiada jiran yang paling hampir.

Seri banyak menghabiskan masa di belakang banglo itu, melihat jauh ke bawah, memerhatikan pemandangan Kuala Lumpur, tempat yang dekat dengan pandangan tetapi jauh jaraknya. Alangkah bagus kalau aku boleh terbang.

Perasaannya sekarang ini, ibarat digari dan kuncinya ada dihadapan mata tetapi jarak yang memisahkannya dengan kunci itu, membataskan kebebasannya. Seri pernah tekad untuk memanjat pagar tinggi yang mengelilingi banglo mewah itu tetapi niatnya dimatikan. Dia pernah terlihat haiwan liar di pinggir hutan berdekatan pagar banglo itu. Sempatkah dia menuruni bukit mencari perlindungan dengan adanya haiwan liar itu?

Seri melangkah longlai masuk ke dalam rumah. Dia memeriksa Diana di dalam bilik tidur, memastikan lampin pakai buang gadis itu masih lagi bersih sebelum ke dapur. Tv yang memang sentiasa dipasang, bagi memecahkan kesunyian, dipandang sekali lalu sahaja.

Seri mengeluarkan bahan-bahan untuk makan malam. Danish tidak pernah pulang awal, dan kalau ada pun, dia tidak pernah makan malam. Sepanjang ingatan Seri sejak menjadi isteri, rasanya hanya beberapa suap saja makanan yang disediakannya dijamah oleh Danish.

"Baiklah puan-puan, untuk makan malam, saya akan sediakan spageti aglio olio. Bahan-bahannya ialah," kata-kata Seri terhenti. Diseka airmata yang mulai menuruni pipinya. "Maaf puan-puan, bahan-bahannya ialah..."

Sekali lagi kata-kata Seri terhenti. Luluh hatinya mengenangkan nasib diri. Tetapi Seri tetap bersyukur. Sekurang-kurangnya dia tidak dikasari. Seri kembali mengukir senyuman di wajah. Matanya tepat memandang ke arah deretan anak patung milik Diana yang disusunnya di atas kerusi, berhadapan dengan kaunter. Itulah temannya, selain Diana, yang sentiasa mendengar celotehnya.

Sekali lagi Seri menyambung semula kata-katanya, ibarat seorang chef dihadapan penonton. Dia membayangkan wajah-wajah insan yang disayanginya, dan bukannya anak patung tidak bernyawa. Selesai memasak, Seri sekali lagi ke bilik Diana. Gadis itu dikejutkan untuk mandi.

Seri memastikan yang dia selalu sampai sebelum Diana bangun. Kerana kalau gadis itu bangun terlebih dahulu, maka bawah katil akan menjadi tempat persembunyiannya. Seri tidak tahu kenapa gadis itu memilih untuk berada di tempat gelap itu. Apakah sejarah di balik kehidupan gadis itu?

ONGOING Kau Yang SatuWhere stories live. Discover now