40
“Adam, ni kali terakhir aku nak tanya kau. Sebagai kawan, aku nak yang terbaik untuk kau. Aku minta maaf kalau sebelum ni aku agak keterlaluan mencampuri urusan hidup kau,” ucap Ekram dengan riak wajah yang serius. Adam menarik nafas panjang.
“Pasal Chinta lagi?” soalnya separuh meneka.
“Kau nak lepaskan dia macam tu aje? Kau yakin yang kau tak menyesal? Aku dapat rasakan yang kau masih sayangkan dia. Kalau tak, kenapa kau masih balik rumah tu?” tanya Ekram. Dia bukan tidak tahu yang lelaki itu sering balik ke rumah yang didiaminya bersama Chinta. Apa yang dia tahu Chinta sudah tidak tinggal di rumah itu sejak mereka berpisah. Adam mengeluh perlahan.
“Kau perlu jumpa Chinta. Aku dengar daripada Nazri yang Chinta nak balik Sabah. Aku tak tahu lah dia nak menetap kat sana atau apa. Tu sebab aku nak kau jumpa dia. Aku tak nak kau menyesal,” sambung Ekram separuh menasihati.
“Balik Sabah?” soal Adam dengan riak wajah yang jelas terkejut. Ekram tersenyum sinis.
“Kau tak tahu? Aku tak faham dengan kau ni. Cepat sangat kau lupakan Chinta,” katanya separuh menyindir.
“Aku bukannya dah lupakan dia,” balas Adam dengan nada perlahan.
“Kau masih sayangkan dia?” soal Ekram sengaja mahu mendengar sendiri jawapan jujur sahabatnya itu. Adam diam tidak menjawab.
“Susah sangat nak mengaku,” rungut Ekram.
“Aku tak pernah bencikan Chinta,” balas Adam setelah agak lama membisu. Ekram menggeleng.
“Bila kau nak jumpa dia?” soalnya.
“Esok,” jawab Adam ringkas.
“Kenapa tak hari ni aje?” soal Ekram lagi yang kurang berpuas hati dengan jawapan lelaki itu.
“Aku balik dulu,” balas Adam tanpa menjawab.
“Adam,” tahan Ekram. Adam membalas pandangan rakannya itu.
“Tahniah. Aku marah kat kau sampai lupa nak ucap tahniah. Aku tahu kau dah lama bersedia nak jadi papa. Aku doakan kali ni semuanya berjalan lancar,” ucap Ekram dengan senyuman ikhlas. Dia hampir lupa dengan berita gembira yang disampaikan oleh sahabatnya itu kerana masih tidak berpuas hati dengan tindakan Adam terhadap Chinta.
“Terima kasih Ram. Aku pergi dulu,” balas Adam dengan senyuman. Ekram hanya mengangguk. Tanpa sedar dia mengeluh.
*****
Marwah hanya memandang Chinta yang sedang mengemas pakaiannya untuk dimasukkan ke dalam bagasi.
“Kau dah nekad?” soalnya dengan riak wajah tidak berpuas hati. Chinta hanya memandang sekilas ke arah rakannya itu. Mulutnya terkunci untuk menjawab.
“Kau tak nak beritahu mak mentua kau?” soal Marwah lagi dengan kening berkerut. Dia tahu yang rakannya itu memang rapat dengan keluarga Adam terutama Puan Hasna. Jika wanita itu pergi begitu sahaja mesti luluh hati Puan Hasna.
“Tak perlu. Aku akan call mama bila dah sampai sana nanti. Aku tak nak mama sedih bila tahu aku tak akan balik sini lagi,” balas Chinta tanpa memandang Marwah. Tangannya sibuk bergerak mengemas. Kedengaran Marwah mengeluh.
“Adam?” soalnya.
“Buat apa?” soal Chinta kembali. Semakin berkerut kening Marwah mendengar jawapan rakannya itu.
“Kau mesti lah kena beritahu dia. Dia memang bukan suami kau lagi. Tapi dia pernah jadi suami kau. Tak salah beritahu dia,” balasnya dengan nada tegas. Chinta tersenyum sinis.

ANDA SEDANG MEMBACA
AKU TANPAMU
RomanceAdam- "Jika memang sudah ditakdirkan..." Bella- "Kau tipu aku?! Apa kau fikir aku akan merayu??" Chinta - "Dah lama saya tunggu awak. Tapi..." Delisya- "Jantan tak guna!" Ikatan yang wujud antara kita adalah sesuatu yang tidak pernah dijangka. Saya...