39

28 1 0
                                    

39

Puan Hasna memeluk erat tubuh Chinta. Berkerut kening Chinta memandang Marwah yang berdiri tidak jauh dari mereka. Marwah mengangkat tangan tanda mohon maaf. Chinta mengeluh perlahan.

“Maafkan mama kalau dah buat kamu terkejut,” ucap Puan Hasna apabila melihat senyuman hambar bekas menantunya itu.

“Mama sihat?” soal Chinta tanpa mengendahkan kata-kata wanita itu sebentar tadi. Puan Hasna mengangguk dengan senyuman. Sayu hatinya melihat wajah cengkung wanita itu.

“Maafkan mama,” ucapnya lagi dengan perasaan sebak. Chinta menggelengkan kepalanya.

“Mama tak perlu minta maaf pada Chinta. Mama tak bersalah. Chinta cuma nak dengar perkataan maaf tu keluar daripada mulut Adam,” balasnya dengan nada tegas. Puan Hasna mengangguk.

“Mama pun tak maafkan Adam selagi dia tak minta maaf pada Chinta. Jangan risau, mama akan pujuk Adam untuk rujuk semula dengan Chinta. Yang penting Chinta setuju nak jadi menantu mama lagi,” katanya separuh merayu. Chinta tersenyum hambar tanpa berkata apa-apa.

“Mama masak apa?” soalnya sambil memandang juadah yang terhidang di atas meja.

“Mama masak makanan kegemaran kamu. Ayam masak merah,” jawab Puan Hasna yang agak teruja apabila melihat Chinta mula menarik kerusi. Marwah hanya tersenyum melihat telatah kedua-duanya. Dia ikut menarik kerusi.

“Makan lah. Kau dah seminggu tak jaga makan. Kalau aunty nak tahu, hampir setiap hari saya kena paksa dia ni untuk makan,” lapornya sambil mencapai pinggan. Chinta hanya menjeling sahabatnya itu. Puan Hasna tersenyum hambar.

Ya Allah, permudahkan lah urusan Chinta dan Adam. Aku mohon, Ya Allah.

Doanya dalam hati. Dia tidak sanggup kehilangan Chinta. Wanita itu sudah dia anggap seperti anak sendiri.

*****

Ekram menghampiri Adam yang sedang leka membaca buku di tangannya.

“Kau masih ada masa nak baca buku?’ soalnya dengan kening berkerut. Adam hanya memandang sekilas ke arah rakannya itu.

“Salah ke?” soalnya tenang.

“Memang lah tak salah. Tapi ni bukan masa yang sesuai kau nak baca buku. Macam mana dengan Chinta?” soal Ekram mula tidak sabar. Patah semangatnya untuk memujuk lelaki itu apabila melihat sikap Adam yang tenang seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Cukup lah Ram. Aku penat,” balas Adam sambil bangun dari kerusinya.

“Kau sengaja nak larikan diri. Kau tak takut kehilangan Chinta?” soal Ekram masih tidak berpuas hati. Dia sudah tidak ingat entah sudah berapa kali dia bertanyakan soalan tersebut.

“Aku tahu kau tu kawan aku. Tapi tak bermaksud semua benda kau nak masuk campur. Ni keputusan aku. Kau tak ada hak nak tanya aku soalan tu,” balas Adam dengan nada tegas sebelum melangkah berlalu. Ekram melepaskan keluhan berat. Dia buntu untuk membantu sahabatnya itu. Adam sendiri tidak memberi peluang kepada dirinya sendiri untuk memikirkan semula keputusannya itu. Ekram bangun perlahan dari kerusi lantas berlalu dengan perasaan kecewa.

*****

Datin Syahida mengeluh perlahan. Dia ikut bersedih melihat wajah muram Delisya.

“Jangan lah buat muka macam tu. Aunty pun tak senang tengok,” tegurnya sambil menarik kerusi di hadapan Delisya. Hampir setiap hari wanita itu melepak di butiknya selepas balik dari memujuk Chinta.

“Tak nak balik? Dah malam ni. Sekejap lagi aunty nak tutup kedai,” katanya lagi.

“Aunty tak suka ke Elis datang sini?” balas Delisya tanpa memandang wajah wanita itu. Pandangannya sedari tadi tetap sama menghala ke luar kedai. Datin Syahida menarik nafas berat.

AKU TANPAMUWhere stories live. Discover now