BAB 2

16 7 3
                                    

"YA ALLAH, pakaian apa yang Anggun pakai ni? Makin lama makin peliklah pakaian dia tu. Ni kalau Ustaz Junayd nampak Ayu pakai baju macam ni, mesti dia mengucap panjang. Kenapalah pakai rantai sampai terkeluar-keluar dari tudung." Segera Ustazah Ayu menggeleng kepala sambil tangan masih menyentuh stereng kereta. Rantai yang tergantung di leher terus ditanggalkan. Rimas.

Dia tidak selesa dengan penggayaan yang terhias di tubuh Anggun. Rasa macam nak koyakkan aje baju blouse dan skirt labuh yang tersarung.

Dah kenapa pakai skrit ropol-ropol. Tudung pun kemain lagi berlilit sana dan sini.

Ustazah Ayu merasakan tudung yang dipakai langsung tak mengikut syariat islam. Siap pakai subang belah luar lagi.

"Hei, Anggun ni. Kalau nak berhias pun jangan sampai tabarruj." Bibir mencebik.

"Jam dah pukul berapa ni?" ekor mata melingas merenung jam di tangan. Bibir membulat besar.

"Alamak ... dah nak masuk waktu asar. Kejap lagi ada kelas agama dekat surau." Tangan menekup bibir. Ustazah Ayu pantas meluncur pacuan empat rodanya untuk pulang ke rumah. Dia perlu segera bertukar pakaian dan ke surau sebelum kelas bersama Ustaz Junayd tamat petang ini.

"Anggun ni selalu tak keluarkan Ayu. Kalau dia keluarkan Ayu, mesti Ayu boleh jumpa Ustaz Junayd hari-hari."

Sambil fokus dalam pemanduannya, wanita yang dibayangi sekitar awal 30-an itu sempat membebel sendiri. Sedikit terkilan bila Anggun jarang munculkan personalitinya di dunia realiti. Sudah lama dia berada dalam tubuh si gadis, tetapi dia jarang sekali muncul. Tidak seperti Jay dan Anggerik yang sering munculkan diri.

"ASSALAMUALAIKUM, Anggun." Baru saja melangkah masuk ke dalam surau, satu suara menegur Ustazah Ayu. Walaupun suara itu memanggil namanya dengan panggilan Anggun, hati tetap berbunga.

'Ustaz Junayd.' Berdebar-debar hati bila dia perasankan suara itu yang menegurnya. Segera Ustazah Ayu mengerling sekilas pada wajah tersebut. Dia tidak mahu terlalu lama merenung wajah yang mampu memasungkan seluruh pandangan.

Pandangan mata perlu di jaga. Jangan terbuai dengan pandangan mata yang sentiasa memukau.

Lelaki kelahiran Uzbekistan itu sering membuatkan jiwa Ustazah Ayu berdetak hebat tatkala bersua.

Kawal emosi Ayu. Jangan jadi gedik macam Amanda. Tak baik ...

"Lama awak tak menyinggah ke surau. Awak sibuk ke? Kelas agama pun lama tak pergi." Lelaki itu bertanya sambil melebarkan senyuman. Ustazah Ayu angguk kepala sambil menunduk wajah. Tersipu-sipu malu bila berdepan Ustaz Junayd.

"Saya sibuk sikit ustaz." Anggukan bertukar ucapan.

"Oh, patutlah tak datang ke sini. Haritu saya nampak ada seseorang ni sebiji macam awak, tapi saya nak tegur segan pula."

Ustaz Junayd bercerita. Mindanya terkenangkan seseorang yang dilihat ketika dia membeli barang di waktu malam.

Gaya figura yang dilihat dua minggu lepas agak kasar dan jalan terkangkang tidak serupa perempuan. Namun dia tidak dapat kata pasti, sama ada figura itu seorang perempuan ataupun lelaki. Kerana melihat dari bentuk badan, insan itu seorang perempuan. Akan tetapi, melihat gaya berpakaian dan berjalan, gayanya seperti seorang lelaki. Siap bawa kayu bersama seperti mahu memukul orang.

"Oh, kenapa ustaz tak tegur?"

Ustazah Ayu menjongket kening. Sengaja dia bertanya lanjut ingin tahu. Ustaz Junayd meletak jari di atas dagu gaya orang sedang berfikir.

"Saya rasa dia tu pelanduk dua serupa kut. Sebab dia pakai hoodie dan berseluar pendek." Ustaz Junayd membalas lagak bersahaja. Dia memang langsung tidak terfikir yang dilihat itu, Ustazah Ayu.

SPLIT PLAYGIRLWhere stories live. Discover now