BAB 4

15 7 0
                                    

ANGGUN masuk ke kamar mandi. Air dibiarkan saja mencurah-curah membasahi tubuh dari kepala hingga ke kaki. Perlahan-lahan tubuhnya melorot ke bawah sehingga dia duduk bersandar di dinding. Tampak matanya sedikit bergetar. Bibirnya juga begitu. Dia sedang menahan sebak. Jantung terasa mahu pecah acap kali duduk bersendirian.

Ayu.Jay. Anggerik. Yin. Amanda.

Nama-nama itulah yang tidak akan terasing dari hidupnya. Nama yang banyak memberi kesan negatif kepadanya. Namun dia perlu akur bahawa dialah yang mencipta mereka semua sebagai mekanisme pertahanan untuk melindungi diri. Walaupun dia sendiri tidak tahu, mengapa mekanisme pertahanan itu muncul dan mengapa mereka muncul. Ingatannya pada kenangan lalu telah hilang dan membuatkan dia tiada jawapan pasti untuk membuat konklusi tentang setiap perwatakannya.

Ah, hati menjadi buntu bila memikirkan hal itu.

Di kala mereka keluar, Anggun akan tidur buat sementara. Jika mereka terbangun dari lena, maka Anggun tidak akan tersedar apa yang telah dilakukan oleh personaliti bergandanya di dunia realiti. Dia akan hilang kesedaran setiap kali personalitinya berubah. Dia tidak akan ingat apa yang telah berlaku jika dia muncul kembali sebagai Anggun, personaliti utamanya. Itulah yang pasti.

Mungkin mereka sudah sebati dalam hidupnya, tetapi Anggun tetap mahu mereka lenyap dari terus menghantuinya.

Entah mengapa, dia merasa sedih bila mengenangkan nasib diri yang terasa bagai tiada jawapan hingga ke pengakhiran.

"Sampai bila aku nak hadap semua ni? Sampai bila aku nak kena duduk dalam dunia yang aku sendiri tak sedar?" sangat perlahan, dia berkata-kata. Tapi cukup menggambarkan rasa beban yang kian menjalar.

Semakin dia dewasa, ada di antara personalitinya yang boleh berkongsi kesedaran seiring dengannya. Itulah yang paling dia risaukan. Jika personalitinya semakin kuat, ia boleh muncul dalam keadaan yang sama dan menguasai personaliti utamanya. Lebih teruk, ia boleh menguasai kelakuan dan kesedarannya.

Bukan dia tidak reda dengan segala yang menimpa diri, cuma kadang-kadang dia perlu akur yang dia tewas dengan emosi sendiri.

"Selagi korang tak lenyap dari hidup aku, selagi itulah aku tak boleh kahwin. Selagi korang wujud dalam badan aku, selagi itulah aku menderita." Lemah dia menyambung bicara. Mata dipejam rapat sambil kepala menunduk sedih.

Urat kepalanya mula terasa sakit bila terlalu banyak berfikir. Jemari segera memicit kepala yang terasa berdenyut.

"Anggun! Jangan kecewa. Kalau kau kecewa perempuan yang paling kau benci tu akan keluar." Segera Anggun tersedar. Dia mengepal penumbuk menahan kesakitan.

Anggerik tak boleh keluar!

Tak boleh. Dia tak boleh bersedih begini. Takut dia yang susah jika personalitinya berubah.

Tahun demi tahun, Anggun masih tercari-cari punca sebenar personalitinya berubah melalui emosi.

"HELLO, kesayangan hamba Miss Noob." Baru saja Anggun muncul di tingkat bawah, dia dapat melihat figura Habib sedang berdiri sambil mendongak wajah memandangnya. Terbelalak biji mata melihat kemunculan tunangnya secara tiba-tiba.

"Kenapa awak datang tak beritahu saya?"

Anggun bertanya kadar segera. Wajahnya berkerut seribu. Anggun tidak suka bila Habib muncul tiba-tiba. Lagipun ini rumah anak dara, mana boleh ikut suka hati saja di masuk tanpa ada kedua orang tua. Elnara pun selamba badak aje benarkan Habib masuk ke dalam rumah.

"Saya nak buat surprise je. Nak ajak sayang makan makanan kegemaran sayang." Anggun mencebik bibir.

Bukannya dia terkejut pun dengan kehadiran Habib yang secara tiba-tiba itu. Cuma dia kurang berkenan cara Habib tidak meminta izinnya untuk datang.

SPLIT PLAYGIRLWhere stories live. Discover now