"NADYA!"lembut suara wanita yang memanggil namanya membawanya kembali dari alam mimpi. Mimpi yang sekali lagi rasa seperti nyata. Langit sudahpun cerah memandangkan siang telahpun menjelma. Entah bila dia terlena di atas buaian itu, dia tidak menyedarinya. Wajah lembut wanita yang sudahpun dimamah usia tua dihadapannya itu kelihatan kerisauan.
"Kenapa, ibu?"soalnya. Hairan dengan kerisauan yang menjelma di wajah wanita itu. Ini bukan kali pertama dia terlena di atas buaian di luar rumah. Sebelum dia meninggalkan Malaysia dulu pun, perkara ini sudah menjadi kebiasaan untuknya. Jadi, dia tidak dapat dapat mengagak sebab di sebalik kerisauan wanita itu.
Wanita itu tidak menjawab. Sebaliknya memandangnya seolah dia bercakap dengan bahasa alien.
"Mama?"dia menyoal sekali lagi. tidak selesa dipandang begitu.
"Tak. Mama nampak macam Nadya mimpi buruk tadi. Itu yang mama risau."balas wanita tua itu.
"Biasalah nightmare. Yang tadi mama pandang Nadya macam Nadya cakap bahasa alien tu kenapa? Nadya meracau ke dalam mimpi tadi?"soal Nadya lagi.
Mamanya menggelengkan kepala. Sejujurnya, dia hanya terkejut apabila anak perempuannya memanggilnya ibu tadi. Mungkin kerana masih mamai akibat baru bangun. Jadi dia tidak ingin membincangkan hal itu. Dengan bijaknya menukar topik perbualan tanpa menjawab soalan yang diajukannya tadi, "Syukri telefon tadi. Dia cari Nadya. Katanya Nadya tak angkat call. Mama cakap kat dia yang Nadya tak ada kat rumah. Mama betul-betul ingat Nadya keluar sebab Nadya takde dalam bilik tadi. Sekali mama keluar rumah, kat sini rupanya anak mama tengah membuta."
"Syukri cari Nadya kenapa, ma?"soalnya, tidak memperdulikan detail lain yang dikongsi oleh mamanya tadi. Lelaki itu mencarinya? Hal yang paling tidak disangka.
"Dia tak cakap pulak tadi. Dia cuma pesan suruh Nadya call dia balik nanti. Rindu lah tu, isteri tinggalkan dia sorang-sorang kat sana."usik mamanya. Ya, wanita itu dan papanya sendiri tidak tahu sebab sebenar Nadya pulang ke rumah.
Nadya tidak tahu bagaimana harus dia jelaskannya. Dia tidak bergaduh dengan Syukri. Tiada sebarang pertengkaran yang berlaku. Hanya dia memutuskan bahawa dia sudah penat dengan sikap lelaki itu lalu meninggalkannya. Jawapan yang keluar dari mulut Nadya ketika ditanya tentang alasan kepulangannya adalah dia 'homesick' setelah meninggalkan Malaysia terlalu lama dan Syukri terlalu sibuk dengan kerja untuk menemaninya pulang.
"Nadya? Kenapa ni? Kamu bergaduh dengan Syukri ke?"soal mamanya apabila Nadya terdiam tanpa jawapan. Biarpun anaknya itu memang jenis yang tidak banyak bercakap sejak mula tapi selalunya apabila nama Syukri disebut, pasti ada saja benda yang hendak dibualkannya. Tapi kali ini dia terdiam pula.
Nadya sekadar ketawa sambil menggelengkan kepalanya apabila mendengar soalan ibunya. "Gaduh dengan Syukri? Takdelah, mama. Kalau ada masalah pun, kami takkan bergaduh punya. Sebab Syukri akan selalu mengalah dengan Nadya." Dia tidak menipu. Mereka memang tidak bergaduh. Dan jika ada pergaduhan yang berlaku, lelaki itu memang akan selalu mengalah dengannya. Selalu. Sejak dahulu lagi.
Lelaki itu tidak dapat menahan hakikat yang dia akan sakit dengan kata-katanya. Jadi, lelaki itu akan selalu meminta maaf sebelum pegaduhan dapat tercetus. Tapi lelaki itu tidak pernah teragak-agak pula untuk menyakitinya dengan kelakuan. Mungkin salahnya juga kerana kali pertama dia melihat lelaki itu berpelukan bersama wanita lain ketika dia shopping di pasaraya, dia tidak berkata apa-apa. Malah di saat lelaki itu cuba sedaya upaya memberi alasan bodoh yang kononnya boleh menjelaskan punca kecurangan lelaki itu juga, dia tidak bersuara. Hanya mendengar tanpa sebarang reaksi membuatkan lelaki itu menyangka dia tidak kisah tentang perbuatannya. Sejujurnya bukan dia tidak peduli. Hatinya sakit. Tapi dia tidak tahu cara untuk menjelaskannya dengan kata. Dia juga tidak pasti harus menunjukkan reaksi yang bagaimana kerana perkahwinan mereka bukan atas dasar cinta. Setidaknya bukan dari pihak lelaki itu. Lelaki itu hanya mengahwininya kerana dia rasa bertanggungjawab atas hidupnya. Itu saja. Manakala dia pula sejak dahulu lagi hanya ada cinta untuk lelaki itu.
"Haa. Tengok tu. Diam lagi. kalau ada masalah cuba kongsi dengan mama."kerisauan dalam suara mamanya membawanya kembali ke realitinya kini.
"Masalah apanya, mama? Iesha kan baru bangun. Mengantuk lagi ni."Nadya menjawab dengan nada gurauannya.
Mamanya menganggukkan kepala. Mungkin penipuannya berjaya. "Nampak sangat mengantuknya tu sampai nama sendiri pun boleh silap. Dah pergi mandi. Lepastu telefon Syukri. Gelisah jer suara dia mama dengar tadi. Baru kena tinggal 2 hari."
"Your wish, my command."gurau Nadya sambil mengucup pipi ibunya sebelum bangun dari buaian itu. Bersedia untuk pergi membersihkan dirinya.
Mamanya menampar belakangnya ketika dia berlalu. Hanya gurauan di hari biasa mereka. Dia hanya ketawa.
Tawanya terhenti sebaik saja kakinya melangkah masuk ke rumahnya. Senyumannya juga terpadam dari wajahnya tanpa sebarang kesan seolah-olah ia tidak pernah muncul di situ. Otaknya kembali ligat berputar. Bukan tentang Syukri. Tiada apa yang perlu difikirkan tentang lelaki itu.
Mimpi yang menghantuinya untuk kali kedua ini yang menjengah di fikirannya. Dia hanya terfikir bagaimana jika mimpi itu bukan sekadar mimpi? Bagaimana jika ia adalah memori gelap yang telah terkunci jauh di dalam kotak ingatannya? Kemalangan kereta yang dialaminya sewaktu kecil telah memadamkan seluruh kisah hidupnya sebelum dia berusia 10 tahun. Yang dia mampu ingat adalah hanyalah kenangan ketika dia berusia 10 tahun dan ke atas bermula dari dia di saat dia tersedar dalam bilik dipenuhi warna putih itu.
Gadis yang selalu muncul di dalam mimpinya berusia dalam likungan 9 atau 10 tahun. Mungkin juga gadis itu adalah dia. Mungkin memori gelapnya itu kembali terjaga selepas 14 tahun dia kehilangannya muncul kembali kerana rasa sakit yang berkali-kali tanpa gagal diberikan oleh lelaki yang disayanginya itu. Kekecewaan yang diberikan oleh orang yang dicintainya apabila hatinya dipatahkan berkali-kali. Dan kepercayaannya dikhianati berkali-kali oleh lelaki yang bersumpah untuk selalu melindunginya. Ya, lelaki itu menunaikan janjinya untuk selalu melindungi Nadya. Tapi hanya secara lahiriahnya. Hanya dari ancaman luar. Tapi untuk melindungi hati dan perasaannya, lelaki itu benar-benar gagal untuk melakukannya kerana bahaya yang paling besar datang dari lelaki itu sendiri. Mungkin itu sebabnya memori gelapnya terpanggil untuk menjelmakan diri.
Bagaimana jika keluarganya ini sebenarnya bukan keluarganya tetapi wanita dan lelaki yang cuba diselamatkan gadis di dalam mimpinya itu adalah ibu dan ayah kandungnya? Bagaimana jika sebenarnya tragedi hitam adalah kisah sebenar zaman kanak-kanaknya? Bagaimana jika dia sebenarnya bukan Nadya tetapi Iesha? Dia memejamkan matanya.
'Dendam harus dibalas!' dia seolah-olah dapat mendengar bisikan itu di dalam kepalanya. Matanya kembali dibuka.
Keputusannya telahpun muktamad!
YOU ARE READING
Dendam
Mystery / ThrillerPuas menghadapi kecurangan Syukri membawa Nadya kembali ke Malaysia. Namun memori lama mula menghantui fikirannya. Memori yang dia tidak tahu dia pernah ada. Memori yang menjelma samar-samar menunjukkan kebenaran hidupnya. Memori di waktu kecilnya...