GADIS berusia 9 tahun itu membuka matanya dan bangun dari lantai tempatnya berbaring. Dia tidak pasti bagaimana dia boleh sampai di sini atau dia memang tahu. Tapi dia yakin walau bagaimanapun cara dia dibawa ke sini, tempat ini adalah bahaya baginya. Dia hanya berharap ini semua sekadar mimpi ngeri yang menjelma untuk mengganggu tidurnya. Jika ia benar sebuah mimpi, dia benar-benar berharap dia akan segera terjaga kerana semua ini terlalu mengerikan baginya.
Dia segera berdiri. Keadaan disekelilingnya segera diteliti. Ruang tempatnya berdiri hanya kosong. Tiada sebarang perabot. Tiada sebarang hiasan juga. Dinding juga tidak dicat. Tempat ini terlalu kosong seolah rumah yang telah lama ditinggalkan. Atau boleh jadi ia sebuah banglo atau villa lama jika diukur pada keluasan ruang rumah ini. Yang ada di rumah ini hanyalah tingkap nako yang tiada kacanya dan pintu kayu yang menjadikannya kelihatan seperti sebuah rumah.
Nanti dulu! Pintu? Gadis itu segera berlari ke arah pintu itu. Tombol pintu itu dipulas. Mungkin ada peluang untuk dia melarikan diri. Namun seperti klise yang terdapat dalam setiap drama dan cerita lainnya, cubaan yang dilakukannya hanyalah sia-sia berteman hampa. Pintu itu dikunci dari luar atau mungkin disekat oleh sesuatu. Dia cuba memecahkan pintu itu dengan tubuhnya. Tapi sekali lagi, ia hanya cubaan yang sia-sia.
Dia mengeluh. Tidak pasti apa yang harus dilakukannya. Menunggu untuk diselamatkan? Tidak sama sekali. Kerana untuk diselamatkan, seseorang harus tahu dia dalam bahaya. Paling tidakpun kehilangannya perlu disedari oleh seseorang. Tapi pastinya itu tidak mungkin berlaku. Siapa yang akan menyedari kehilangannya? Ibu dan ayahnya? Mereka juga mungkin sedang ditangkap dan berada dalam keadaan bahaya sepertinya. Jirannya mungkin akan sedar. Oh ya, mana mungkin jirannya akan sedar kehilangan keluarganya. Kerana mereka tidak pernah ada jiran. Mereka tinggal di tempat terpencil yang terletak dipendalaman. Jauh dari semua orang.
Guru-guru dan teman-teman di sekolahnya? Dia tidak ke sekolah. Dia hanya belajar dari rumah. Ada seorang guru yang dibayar oleh keluarganya datang mengajarnya di rumah. Tapi sekarang adalah hari pertama cuti penggal pertama persekolahan. Walaupun dia tidak belajar disekolah, dia masih lagi harus belajar dan bercuti mengikut waktu persekolahan. Ini bermakna masih ada dua minggu sebelum gurunya menyedari akan kehilangannya. Dan mungkin dalam masa itu, dia sudahpun meninggalkan dunia ini. Kerana itu dia harus cepat. Dia harus lakukan apa saja cara asalkan dia dapat meninggalkan tempat ini dan meminta bantuan dari sesiapa mungkin.
"Permainan bermula!"tiba-tiba ada suara yang menyapanya. Tepat dari dalam telinga kanannya. Dia segera meraba ke lubang telinganya. Ada sesuatu dalam telinganya. Sesuatu seperti... Dia segera mengeluarkan alat itu dari telinganya. Alat pendengaran?
"Pusing ke belakang dan jalan ke kanan. Kau akan jumpa tangga. Naik tangga tu sekarang."suara dari alat pendengaran itu berbunyi lagi. Suara itu mungkin telah ditapis, diubah atau mungkin mulutnya ditutup oleh sapu tangan untuk mengubah suaranya tapi gadis itu yakin suara itu adalah suara wanita.
"Aku cakap sekarang!"suara itu kedengaran lagi dari alat itu. Kali ini suara itu sedikit marah. Mungkin kerana gadis itu tidak memberi respons seperti yang diharapkannya.
"Siapa cakap Iesha nak main"jerkah gadis itu. Dia memandang sekelilingnya sekali lagi. Cuba mencari siapa yang bercakap dengannya. Kata-katanya hanya disahut tawa.
"Kau takkan jumpa aku sama macam kau takde pilihan. Kalau kau tak main, kau tahulah nasib ibu dan ayah kau. Kau boleh merayau dijalanan macam anak yatim."sinis suara itu membalas membuatkan tubuhnya sedikit menggeletar. Namun dia cuba untuk mengawal dirinya. Dia mungkin kanak-kanak, namun dia telah dididik begitu. Diajar supaya berfikiran dan bertindak seperti orang dewasa. Tiada permainan. Tiada keseronokan.
"Aku takde masa nak layan kau, budak. Bergerak sekarang atau diorang mati."arah wanita itu lagi. Gadis itu memasukkan kembali alat pendengaran itu ke dalam telinganya dan segera bergerak ke arah yang dikatakan oleh wanita itu. Tiada lagi masa untuk bermain. Dia mendaki satu demi satu anak tangga sambil memandang disekelilingnya. Masih lagi mencari sumber suara itu. Walau dia tidak dapat melihat orang yang bercakap dengannya, dia yakin bahawa orang itu dekat dan sedang memerhatikan setiap tingkahnya.
YOU ARE READING
Dendam
Mystery / ThrillerPuas menghadapi kecurangan Syukri membawa Nadya kembali ke Malaysia. Namun memori lama mula menghantui fikirannya. Memori yang dia tidak tahu dia pernah ada. Memori yang menjelma samar-samar menunjukkan kebenaran hidupnya. Memori di waktu kecilnya...