Satu

1.4K 21 0
                                    

Juliana Bahrain melangkah masuk melalui pintu gerbang ruang legar rumah agam mewah milik keluarga Fahmi Ilham Fakhri yang dihias indah dengan kuntuman bunga mawar segar berwarna merah dan putih. Taman di luar dihiasi bunga orkid dan hydrangea putih bergantungan di sisi fairy lights, menerangi ruang taman. 

Majlis perkahwinan anak tunggal kepada seorang taikun industri import eksport bersama dengan taikun konglomerat mana mungkin diadakan secara kecil-kecilan. Mengadakan majlis secara besar-besaran sebegitu adalah sesuatu yang mudah. 

Sayup-sayup kedengaran alunan melodi jazz instrumental dimainkan sementara tetamu majlis tiba. Penantian selama tiga tahun selepas majlis pertunangan yang tidak kurang gahnya, berakhir hari ini. 

Kalaulah hanya pengantin perempuan itu adalah Juliana Bahrain. 

Kaki Juliana melangkah masuk ke dalam salah sebuah bilik di rumah agam itu, bibirnya menguntum senyum tatkala matanya tertancap pada susuk tubuh seorang gadis yang kelihatan seperti seorang puteri kayangan, mengenakan dress busana pengantin berwarna off-white rekaan eksklusif Vera Wang. Rambut coklat cair gadis itu dibiarkan lepas dan diserikan dengan sekuntum bunga frangipani putih-pink kegemarannya. 

"Lee, you look so pretty!" ucap Juliana teruja, mengenggam tangan Ilee. Bibir mungil Ilee menguntum senyuman yang lebar. Hari itu adalah harinya. Majlis perkahwinannya. 

Ilee Sahara Azlan Rasheed dan Fahmi Ilham Fakhri. 

Keduanya bakal sah disatukan sebentar sahaja lagi. Setelah tujuh tahun bersama, mereka berdua mengambil keputusan untuk menunaikan janji untuk berkahwin di saat Ilee menginjak umur 28 tahun dan Fahmi berumur 30 tahun. 

Ketibaan pengantin lelaki di dalam sebuah Maybach di sambut, sebelum kemunculan ratu sehari. Saat Ilee melangkah ke ruang legar di mana majlis akan berlangsung, semua mata tetamu terarah kepadanya, namun apa yang hanya Ilee lihat adalah wajah kacak Fahmi yang tersenyum ke arahnya. 

Akhirnya, dia akan menjadi milikku, untuk selamanya. 

Ilee memandang sekilas ke arah Daddynya, Tuan Azlan Rasheed yang duduk bersila, tersenyum ke arahnya. Ilee akan diijabkabulkan oleh Daddynya sendiri. 

Sebelum ini, memang payah untuk Fahmi untuk mengambil hati Tuan Azlan Rasheed. Maklumlah, sebagai Daddy Ilee, dia amat mengerti perangai anak tunggalnya yang keras kepala. Untuk bersama Ilee, seseorang itu perlu mempunyai kesabaran yang lebih. Ilee mempunyai sikap yang suka dicabar dan mencabar, cuma yang pandai sahaja mampu mengatur dan melayaninya. Tuan Azlan Rasheed mahu memastikan yang Fahmi benar-benar layak untuk puterinya yang seorang itu. Setelah agak lama memerhatikan cara Fahmi, Tuan Azlan Rasheed akhirnya memberikan restunya. 

Fahmi yang berbaju melayu cekak musang, bersampin songket yang sedondon dengan warna baju Ilee mengambil tempat duduknya, bersila bertentangan dengan Tuan Azlan Rasheed. Jantung Fahmi berdetak kencang, padahal baru sahaja tadi dia terasa tenang. Fahmi tidak menyangka yang dia akan menjadi gemuruh di saat-saat akhir sebegitu. 

Tuan Azlan Rasheed menghulurkan tangannya, menanti untuk disambut oleh Fahmi, memulakan upacara akad nikah. Fahmi menarik nafasnya dalam, cuba meredakan debaran. Fahmi merasakan suasana di sekelilingnya menjadi hening, pemandangan di sekitarnya kabur. Fahmi cuma dapat melihat Tuan Azlan Rasheed dan Ilee, yang duduk di atas pelamin, tidak jauh di darinya. 

Huluran tangan Tuan Azlan Rasheed disambut, digenggam erat. Sekali lagi nafas ditarik dalam, liurnya ditelan, menenangkan debaran di hati yang semakin hebat. Terasa bagai jantung Fahmi berdegup di telinganya. 

"Aku nikahkan kau, Fahmi Ilham Fakhri  dengan anak perempuanku, Ilee Sahara Azlan Rasheed dengan mas kahwin sebanyak Ringgit Malaysia lapan ribu sembilan ratus sembilan satu, tunai."

CIKLET: Bila Aku Masih MilikmuWhere stories live. Discover now