Duapuluhtiga

1K 14 1
                                    

Juliana menolak troli melangkah keluar dari balai ketibaan Kloten Airport, Zurich. Fahmi berjalan tidak jauh di belakang, memimpin tangan Liam dan Lily yang kelihatan girang. Turut bersama, Tuan Azlan Rasheed, Puan Sarimah, Tuan Fakhri Khalid dan Puan Maria. Dari rancangan untuk menghantar si kembar kepada Ilee, ia telah bertukar menjadi satu percutian keluarga. Alang-alang sudah lama tidak bercuti sebagai sebuah keluarga di luar negara. 

Terlihat kelibat Ilee dan Dhanni tersenyum lebar, menanti di sisi sebuah tour van Mercedes yang diparkir di hadapan sebuah lagi Mercedes GLC. Pandangan Juliana dilemparkan sekilas ke arah panorama pergunungan Alps yang diselaputi salji musim sejuk di kejauhan. 

Liam dan Lily berlari anak menuju ke arah Ilee, merangkul erat tubuh Mummy mereka. Ilee terasa sebak. Dadanya terasa pecah dengan kerinduan, dikucup dahi dan wajah kedua anak kembarnya itu sepuasnya, mahu menghilangkan segala rindu yang menggunung di hati. 

Setelah bersalaman dengan kedua orang tuanya sendiri, Ilee menapak ke arah Tuan Fakhri Khalid dan Puan Maria. Sungguhpun dia bukan lagi menantu kepada mereka berdua, Ilee tetap hormat kepada keduanya. Dicapai tangan keduanya dan disalam. Puan Maria merangkul tubuh Ilee erat buat seketika. 

"Ilee macam mana? Okey?" tanya Puan Maria saat rangkulan dileraikan. Ilee tersenyum nipis dan mengangguk. 

"Eloklah tu," sambung Puan Maria, tersenyum. Tuan Fakhri Khalid dan dirinya sendiri masih sayang akan Ilee walau apa yang telah terjadi antara Ilee dan Fahmi. Faham yang bukan jodoh Ilee dan Fahmi untuk berkekalan sehingga ke akhir hayat. Namun tidak bererti mereka tidak boleh masih menjadi satu keluarga. 

Setelah bagasi semua diletakkan ke dalam sebuah Mercedes GLC yang mengiringi tour van mereka, mereka semua masuk ke dalam perut van. Dhanni mengarahkan pemandu untuk membawa mereka ke Le Bijou, di mana mereka semua akan menginap untuk dua minggu akan datang. Semuanya sudah diatur oleh Dhanni yang sudah terlalu biasa ulang alik ke Zurich atas urusan kerja selama ini. 

Malam itu, mereka semua dijemput oleh Dhanni untuk makan malam bersama di Simon's Steakhouse, setelah memberi masa untuk mereka yang baru sampai berehat. Buat seketika, semuanya terasa normal. 

Setelah dua hari berada di kota Zurich, barulah mereka semua dapat membiasakan diri dengan perubahan masa. Hari itu, Dhanni mencadangkan mereka untuk ke Lake Zurich, mudah jika mahu membeli-belah, sekaligus membawa si kembar untuk berjalan dan melihat bandar Zurich. 

Seronok benar Liam dan Lily berada di luar, bermain dengan salji saat mereka berjalan melalui sebuah taman. Satu pengalaman yang baru untuk si kembar. Tempoh bermastautin di Sydney dahulu tidak pernah disajikan dengan pengalaman bersalji. 

Ilee tersenyum melihat kerenah Liam dan Lily yang bermanja dengan Dhanni, menarik tangan lelaki itu untuk turut bermain salji bersama mereka. Fahmi yang sedang berjalan di sisi Juliana tidak jauh di belakang mereka cuma memerhati adegan di hadapannya itu. Sedikit cemburu dengan keakraban si kembar dengan Dhanni. 

Juliana perasa sorot mata Fahmi yang tidak lepas memandang Ilee dan Dhanni. Sejak mereka tiba di Zurich, belum lagi Ilee menuturkan sepatah perkataan pun kepada Fahmi mahupun dirinya. Ilee lebih banyak mengelak untuk berinteraksi dengan mereka berdua, membiarkan Dhanni lebih banyak berkomunikasi dengan mereka. Mujur sahaja kedatangan orang tua mereka dapat menjadi satu gangguan agar situasi menjadi kurang kekok. 

"Ju, Mama nak shopping dengan Auntie Sarimah. Dhanni dah mintak tolong driver hantarkan. Nak ikut tak?" tanya Puan Maria, mematikan lamunan Juliana. Tangan mertuanya itu menggamit lengannya lembut. 

"Darling, boleh I pergi?" tanya Juliana kepada Fahmi yang berdiri di sisinya. Fahmi sekadar membalas dengan anggukan. 

Ilee melabuhkan punggungnya di sebuah bangku di taman, merehatkan kakinya, membiarkan Dhanni untuk melayan kerenah Liam dan Lily. Dhanni tahu yang Ilee masih belum terlalu sihat untuk terlalu aktif, maka dia menawarkan diri untuk melayan Liam dan Lily ketika Ilee penat. 

CIKLET: Bila Aku Masih MilikmuWhere stories live. Discover now