Duabelas

939 14 0
                                    

Ilee memandang ke luar tingkap, melihat titik embun yang baru naik pada cermin tingkap. Jam di pergelangan tangan dikerling sekilas dengan perasaan gugup. Anak-anak yang sedang lena di sisi di renung. 

Setelah sekian lama berbolak-balik dengan keputusannya, Ilee akhirnya membuat keputusan yang muktamad. Akhirnya, dia kembali ke bumi Kuching. Sudah tiba masanya Liam dan Lily pulang ke tanah air dan merasa suasana Hari Raya Aidilfitri yang sebenarnya. 

Tiga hari sebelum menjelangnya Hari Raya Aidilfitri, Ilee memandu Volvo XC90 miliknya menuju ke kawasan perumahan Taman Pelita. 

"Mum, where are we going?" tanya Liam yang duduk di dalam carseat di tempat duduk belakang. Ilee mengerling cermin pandang belakang, melihat si kembar yang leka memandang ke luar tingkap dengan ekspresi yang penuh ingin tahu. Sejak sampai semalam, Liam dan Lily sungguh teruja. Selama ini hanya mendengar cerita mengenai Malaysia dari bibir nenek-nenek mereka, Fahmi dan Ilee, akhirnya mereka pulang jua. Pelbagai soalan ditanya si kembar kepada Tuan Azlan Rasheed, Puan Sarimah dan Mak Cik Kalsom. 

Bibir Ilee menguntum senyum. "Surprise," ujar Ilee pendek. Sengaja dia tidak mahu memberitahu si kembar ke mana arah tuju mereka. 

Kereta yang dipandu berhenti di hadapan sebuah banglo, interkom di hadapan pintu pagar ditekan. Sebentar kemudian, pintu pagar terbuka luas. 

"Ilee, kamu balik," ucap Puan Maria lirih, lantas mendakap erat tubuh Ilee saat Ilee melangkah masuk ke rumah mertuanya itu. Sengaja dia tidak memberitahu Tuan Fakhri Khalid dan Puan Maria terlebih dahulu tentang kepulangan dia dan si kembar. Mahu memberi satu kejutan!

Ilee tersenyum nipis, membalas pelukan Puan Maria. Namun, senyuman Ilee termati saat melihat kelibat Fahmi melangkah ke arah mereka dari arah dapur. Puan Maria meleraikan pelukan, kini mengalihkan perhatiannya kepada Liam dan Lily. Fahmi semakin hampir melangkah ke arahnya, tidak jauh di belakang, Juliana. Mulut Ilee terasa kering dan pahit dengan tiba-tiba. Dadanya terasa sesak. 

"Mama, saya nak hantar Liam dan Lily je ni. Kena balik rumah terus, ada urusan urgent sikit," ujar Ilee memberikan alasan, tergocoh-gocoh mahu cepat pergi dari situ. Dia mahu mengelak dari bersemuka dengan Fahmi mahupun Juliana. Dia tidak sanggup!

"Lee," terdengar suara Fahmi memanggilnya saat kaki Ilee sudah betul-betul di hadapan pintu. Satu langkah sahaja lagi dia sudah keluar dari rumah, tetapi dia sudah tertangkap terlebih dahulu. Alamak! 

Ilee sekadar memberhentikan langkahnya, enggan menoleh ke arah Fahmi. Matanya dipejam, cuba menenangkan diri dari berbakul perasaan yang sedang berbaur. 

"Nanti saya hantarkan Liam dan Lily pulang," sambung Fahmi lagi setelah beberapa ketika. Tanpa bicara, Ilee terus berlalu, langkahnya pantas dituju ke kereta. 

~~

Ilee melangkah masuk ke dalam kamarnya, menghempaskan tubuhnya ke katil. Bibirnya melahirkan satu keluhan berat. Terasa sunyi. Ilee sudah terlalu terbiasa dengan kehadiran Liam dan Lily selama itu untuk mengisi kesunyiannya dan buat pertama kali setelah sekian lama, si kembarnya itu tidak bersamanya. 

Sengaja Ilee menghantar Liam dan Lily ke rumah mertuanya. Bimbang jika Fahmi tahu akan kepulangannya, Fahmi akan ke rumah Tuan Azlan Rasheed. Jika begitu, bagaimana untuk Ilee lari? Ilee belum punya kekuatan untuk berhadapan dengan Fahmi sendirian. 

Telefon bimbit yang tiba-tiba berdenting di dalam beg tangan membuatkan Ilee terkejut. Dicapai, skrin dilihat. 

DHANNI QHALIL: I heard you're already in Kuching?

ILEE SAHARA: Yes. Kenapa?

DHANNI QHALIL: Nak ajak awak dinner malam ni.

CIKLET: Bila Aku Masih MilikmuWhere stories live. Discover now